Photobucket

KEBANGKITAN generasi baru Islam dinanti...

Saturday, May 31, 2008

FINAL EXAM!!


Tinggal lagi dua hari sebelum peperiksaan final bakal bermula. Debaran kian terasa, tapi sempat lagi surf internet. Sem ni hanya 3 subjek yang diambil. Subjek pertama yang bakal ditempuh, UNGS2050, Ethics and Fiqh for Everyday Life. Subjek yang membahaskan tentang etika-etika yang berkait dengan segala aktiviti harian seorang muslim. Sedikit sebanya subjek ini membuka mata para pelajar akan kepincangan yang berlaku dalam masyarakat dan kehidupan seharian kita.

Setelah hampir 2 sem tidak mengambil subjek agama, akhirnya sem ni dalam sejarah kesemua subjekyang diambil adalah subjek agama. Paling best UNGS2030, The Islamic Worldview dan UNGS2040, Islamic Knowledge and Civilization. Terasa macam pelajar ilmu wahyu pulak sem ni. Tapi seronok coz setiap hari hati diisi dengan pengetahuan agama yang sedikit sebanyak membantu untuk mengukuhkan tahap keimanan disamping menambah ilmu di dada.

Minggu terakhir kelas paling menarik kerana kami diminta untuk buat book review tentang sirah Nabi Muhamad S.A.W. untuk subjek Islamic Worldview. Setiap orang diwajibkan untuk membaca 1bab dari buku yang telah dipilih oeh Ustaz Salah dan membuat rumusan daripada pembacaan masing-masing seterusnya membentangkannya di dalam kelas. Usaha Ustaz Salah sedikit sebanyak membantu ku untuk menambah thaqafah terutamanya tentang kisah perang yang dilalui oleh Rasulullah. Mudah-mudahan lepas ni tak lah kena hentam lagi apabila tak dapat jawab soalan tentang sirah.

Minggu depan cuti final bakal bermula. Last paper 5/6 malam, subjek Islamic Worldview. InsyaAllah aku akan bertolak pulang ke kampung keesokan harinya. Dah lama tak balik. Rindu semakin terasa. Sekarang ni pun fikiran asyik di rumah je, tulah simptom akhir sem. Sem depan bakal bermula kehidupan baru di tempat baru, persekitaran baru dan suasana baru. Walaupun tempatnya lebih dekat dengan rumah tapi belum tentu dapat balik selalu memandangkan course yang bakal diambil agak tough dan selalunya penuh dengan kelas dan study berdasarkan pengalaman senior-senior yang telah pun berada di sana. Mudah-mudahan aku terus thabat dalam jalan perjuangan ini serta berjaya graduate 5tahun lagi. Kepada semua sahabat bittaufiq wan najah. Rajin-rajin study, moga kejayaan menanti kita semua. Ameen..

Friday, May 30, 2008

Beri Ganjaran Pada Diri


Alhamdulillah, setelah beberapa minggu bertungkus-lumus dan bergelumang dengan buku-buku yang banyak, akhirnya berjaya juga siapkan kesemua term paper. Setiap hari mengadap laptop untuk taip kesemua term paper. First time kena buat 3 term paper dalam 1 sem. But it's just a beginning for a new life as undergraduate student in Bachelor of Dental Science (BDS).

Teringat kata-kata seorang motivator muda yang kian mencipta nama, saudara Amin Idris, dalam 1 slot motivasinya, "Kita perlu memberi ganjaran pada diri sendiri apabila kita berjaya melaksanakan sesuatu seperti yang telah kita rancang dari awal. Ia sebagai perhargaan buat diri sendiri dan sebagai penaik semangat untuk menjadikan kita bersungguh-sungguh dalam setiap perkara yang kita lakukan."

Sebagai menyahut saranannya, semalam aku bersama-sama roommate ku menyambut kejayaan kami dengan makan malam (western) di kafe mahalah. Walaupun sekadar di kafe mahalah tapi kepuasannya terasa kerana kami memang jarang makan di kafe. Selalunya makan di bilik saje. Lebih privacy. Sempat juga menonton drama saka. Itulah senario masyarakat Malaysia, hanya fokus pada cerita tahyul yang akhirnya menimbulkan simptom ketakutan yang amat sangat di kalangan masyarakat terutamanya kepada kanak-kanak. Cerita yang penuh dengan fiksyen dan langsung tidak membina dan mengembangkan pemikiran masyarakat. Apa maknanya? jawapan: tak ada maknanya. Masyarakat hari ini asyik mengaitkan hidup mereka dengan perkara tahyul. Setiap kejadian yang dianggap aneh, pasti dikaitkan dengan evil spirit. Dalam tak sedar kita terkadang lebih takut hantu dari takutkan Allah yang akhirnya mebawa kepada syirik. Itulah fenomena masyarakat sekarang.

Back to our main point, benar sekali saranan saudara Amin Idris. Belajarlah untuk memberi ganjaran pada diri sendiri. Pasti anda akan merasa puas dan berbaloi dengan setiap kejayaan yang dikecapi. Try it. Set your goals! And give it an appreciation to yourself once you achieve it! Good Luck!!


Friday, May 23, 2008

Mahathir Mulakan Plan B


"Saya akan pohon untuk masuk Umno apabila Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah berhenti daripada menjadi Presiden Umno, Pengerusi BN dan Perdana Menteri Malaysia" - Tun Mahathir

"Kita mesti mengelakkan dari terperangkap dengan agenda peribadi untuk menggantikan pemimpin yang
lemah dengan pemimpin yang rasuah"
- Anwar Ibrahim.

Selain daripada menyatakan kegembiraan atas keputusan beliau dan menganggap tindakan itu
mengambarkan kehancuran yang sedang berlaku dalam parti Umno, ada beberapa perkara yang perlu dilihat serta dianalisis terutamanya oleh pembangkang.

Berpuluh tahun berada kancah politik Malaysia dengan 22 tahun daripadanya sebagai Perdana Menteri adakah Mahathir meninggalkan Umno semata-mata kerana emosi beliau yang terlalu kecewa dengan pimpinan Umno sekarang yang disifatkan tidak demokratik, lupa perjuangan, pembodek dan macam-macam lagi itu.

Mahathir memulakan apa yang boleh disebut sebagai peperangannya dengan Abdullah tidak lama selepas jawatan Perdana Menteri itu diserahkan oleh beliau sendiri kepada Abdullah.

Sepanjang tempoh itu, satu-satunya yang boleh dikaitkan dengan kemarahan paling ketara beliau terhadap Abdullah hanyalah pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Sungai Buloh.

Isu jambatan bengkok atau AP dan kemudiannya penguasaan budak-budak tingkat empat hanyalah asam garam terhadap kemarahan tersebut. kecuali ada pihak yang benar-benar yakin terhadap keikhlasan Mahathir di atas kritikan terhadap Abdullah boleh menolak teori ini.

Manakala Anwar, selepas pembebasannya mula menyusun langkah dan mengatur strategis satu demi satu untuk mencapai hasrat yang beliau sendiri uar-uarkan iaitu mahu menukar kepimpinan negara ini atas slogan untuk perubahan.

Walaupun tidak melafazkan beliau sebagai orangnya, namum atas dasar 'understanding' mahupun berdasarkan percakapan umum yang persetujuannya telah diolah dengan cukup teliti, dengan jelas dapat dibaca hanya Anwar lah tokoh yang bakal ditabalkan sebagai Perdana Menteri untuk menggantikan kepimpinan yang ada.

Melihat kepada senario pasca pilihan raya umum ke-11 baru-baru ini, kebarangkalian Anwar akan sampai ke puncak kuasa semakin melebar.
Tidak hairanlah Anwar dalam reaksinya terhadap perkembangan terkini Mahathir, seperti melihat ada agenda besar disebaliknya.

"Kita mesti mengelakkan dari terperangkap dengan agenda peribadi untuk menggantikan pemimpin yang lemah dengan pemimpin yang rasuah" katanya dalam blog beliau.

Berbalik kepada Mahathir, si politikus licik ini sudah menghidu kemungkinan-kemungkinan tersebut sejak awal-awal lagi. Kekhuatiran beliau terhadap Anwar menjadi Perdana Menteri tidak perlu dijelaskan sekiranya memahami krisis yang berlaku pada tahun 1998.

Justeru, dari situlah usaha untuk memastikan Anwar tidak berjaya sampai ke puncak kuasa diusahakan habis-habisan oleh beliau. Tetapi malangnya di bawah kepimpinan Abdullah peluang Anwar terbuka luas. Sama ada Abdullah sendiri mahukan Anwar menjadi Perdana Menteri, itu persoalan yang lain, hakikatnya di bawah Abdullah laluan Anwar lebih mudah.

Langkah paling selamat perlu dilakukan oleh Mahathir hanyalah mengantikan Abdullah secepat mungkin kepada tokoh lain yang mestilah tidak mesra Anwar sifatnya.

Berdasarkan apa yang Mahathir lakukan sepanjang serangannya terhadap Abdullah selama ini dapat dirumuskan hanya bertujuan untuk mengantikan Abdullah secepat yang boleh.

Selepas pilihan raya, usaha itu semakin diperhebatkan, malahan beliau sama ada secara terancang atau kebetulan telah mendapat 'back-up' daripada sebahagian Umno yang lain apabila semakin ramai secara terbuka memberi tekanan atau mewakili suara mendesak berlakunya peralihan kuasa yang diketahui Mahathir adalah orang paling awal mencetusknnya.

Namun sejauh mana kejayaan itu, persoalan inilah perlu dianalisis secara mendalam oleh pihak-pihak yang mempunyai kaitan politik secara langsung atau tidak langsung dengan perkembangan mutakhir politik Mahathir ini.

Atas satu tujuan iaitu untuk memastikan jawatan Presiden Umno sekaligus Perdana Menteri Malaysia diserahkan kepada orang lain dari Umno sebelum dirampas oleh Anwar, boleh jadi Mahathir telah gagal strategi pertamanya kerana Abdullah masih lagi disaat ini Presiden Umno dan Perdana Menteri.

Bagaimanapun boleh jadi strategi Mahathir diperingkat ini berjaya kerana beliau (strategi serangan pertama itu) hanyalah mahukan seperti mana yang berlaku ketika ini iaitu mewujudkan tekanan-tekanan dari Umno terhadap Abdullah supaya melepaskan jawatannya.

Justeru sebab paling besar kenapa beliau meninggalkan Umno hanya berkisar kepada dua kemungkinan tersebut iaitu sama ada memulakan strategi baru selepas kegagalan plan A beliau atau memasuki fasa seterusnya untuk menyempurnakan plan peralihan kuasa daripada Abdullah kepada seorang yang tidak mesra Anwar.

Mana-mana daripada dua sebab di atas, Mahathir kini telah memasuki plan B yang mana atas kapasiti beliau bukan lagi ahli Umno, kemungkinan 'game' selepas ini akan melibatkan parti-parti politik pembangkang dengan lebih efisyen daripada apa yang parti-parti politik pembangkang sumbangkan menjayakan perancangan awal beliau - sama ada secara sedar atau tidak sedar.

Antara yang boleh diramalkan, tindakan Mahathir ini akan menimbulkan suasana panik di kalangan Umno yang secara tidak faham akan membaca partinya sedang menuju kehancuran.

Sudah tentu momentum panik itu kurang berkesan dengan Mahathir seorang sahaja yang keluar parti,dengan strategi yang tersusun tindakan meninggalkan parti ini akan berterusan dari masa ke semasa dengan penyertaan pihak tertentu atas nama pengikut Mahathir.

Dalam masa yang sama, usaha untuk menimbulkan rasa panik ini akan dibantu pula dengan kempen-kempen pembangkang yang akan menggunakan modal Mahathir keluar parti kepada rakyat jelata supaya menjauhi Umno kerana parti itu semakin kacau beliau.

Hasilnya, desakan supaya memulihkan Umno dari kalangan ahlinya akan semakin hebat yang mana caranya telahpun diletakkan ke dalam kepala mereka sejak awal-awal lagi iaitu plan peralihan kuasa.

Sehubungan itu, mentafsir tindakan Mahathir keluar Umno kerana kecewa dengan apa yang berlaku dalam parti itu semata-mata perlu difikirkan banyak kali.

Seorang yang licik seperti Mahathir apa sahaja yang dilakukan tidak dibuat secara membuta tuli bahkan masa paling sesuai untuk beliau tinggalkan Umno ini dipercayai dari kajian mendalam berdasarkan plan strateginya.

Ada beberapa waktu yang boleh dikatakan Mahathir sesuai untuk meniggalkan Umno, tetapi beliau hanya memilih meninggalkan Umno setelah road show nya menemui begitu ramai perwakilan serta pimpinan Umno dalam perlbagai program yang dianjurkan selesai.

Paling ketara beliau telah meniggalkan mesej penting kepada ahli-ahli Umno dalam ucapan terakhirnya sebagai ahli Umno.

"Saya akan pohon untuk masuk Umno apabila Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah berhenti daripada menjadi Presiden Umno, Pengerusi BN dan Perdana Menteri Malaysia"

Oleh: Hafiz Mohd Baqi
sumber: http://siasahdaily.blogspot.com/

Monday, May 19, 2008

Cinta ana-anti-anta



Post in adalah gabungan antara pandangan ustaz Maszlee Malik dan ustaz Hasrizal. Hayati dan ambil iktibar.

"Sesungguhnya mukmin itu bersaudara" (Surah al-Hujuraat:ayat 10)

"Tidak beriman seorang muslim itu sehingga dia mencintai saudaranya sepertimana dia mencintai buat dirinya" (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Bagi mereka yang mempelajari kedua-dua ayat dan hadis di atas, apa yang difahami ialah semua mukmin itu bersaudara dan juga ia menerangkan tentang tanggungjawab seorang Muslim kepada saudaranya yang lain. Selain daripada kedua-dua ayat dah hadis di atas, berdozen lagi dalil-dalil yang menunjukkan kewajipan seseorang Muslim mencintai, mengambil berat, membantu, bersikap peduli dan juga mengasihi saudara seagamanya. Perkataan "ukhuwah" yang bermakna "persaudaraan" sering dijadikan tema untuk persaudaraan ikhlas yang bertunjangkan iman dan takwa ini.

Kisah-kisah para sahabat yang berkorban dan berjuang untuk para sahabat masing-masing menjadikan contoh teladan kepada generasi Muslim zaman moden. Inilah yang menjadi pengamalan anak-anak harakah Islamiah dan dakwah semenjak kebangkitan Islam di tahun
70'an lagi.

Kebangkitan Islam yang telah menemukan kemuncaknya di Malaysia telah menyaksikan pesatnya usaha dakwah, kemunculan sekolah-sekolah agama, bank-bank Islam dan pelbagai lagi di atas nama Islam. Tiada siapa yang dapat menafikan, itu semua adalah hasil daya usaha sama ada secara langsung atau tidak langsung, pendukung-pendukung gerakan Islam semenjak tiga dekad yang lalu. Di waktu yang sama, pemikiran barat sekular, liberalisasi dan juga budaya hendonisme pesat menular dan bersaing. Keindahan persaingan kedua-dua arus ini telah melahirkan budaya yang baru di dalam fenomena kebangkitan Islam di Malaysia.

Jika di awal kebangkitan Islam dahulu, dunia hanya dilihat sebagai hitam dan putih. Kehidupan di dalam dunia ini di waktu itu hanya dilihat sama ada berpihak kepada Islam ataupun Jahiliah. Di alaf ini, dunia tidak lagi hitam dan putih dan bukan lagi Jahiliah versus Islam. Penjalinan di antara apa yang ada di dunia dan apa yang ada di dalam nas telah menyaksikan pelbagai kesan. Ada yang positif dan ada yang negatif. Antara yang terkesan dengan fenomena yang baru ini ialah persoalan "ukhuwwah".

Cinta Remaja Dakwah.
Sebagai seorang pensyarah di IPT yang bergelar ustaz, penulis mempunyai peluang yang menarik untuk bercampur dengan para pelajar yang menempuh zaman muda belia mereka. Pelbagai masalah, isu dan juga pengalaman yang mereka bawa untuk dibincangkan. Antara perkara yang sering dibawa berbincang
ialah persoalan cinta. Alaf yang serba unik telah menyaksikan bagaimana para remaja dan belia dakwah tidak dapat lari dari fenomena cinta. Menariknya, cinta yang mereka alami ini telah di"Islamik"kan seperti mana bank-bank, institusi-institusi kewangan lain diislamkan. Maka timbullah istilah "Cinta Ukhuwwah". Ayat-ayat dan hadis-hadis sering dijadikan alat untuk menjustifikasikan apa yang dilakukan. Menarik lagi gejala ini menular di kalangan mereka yang berkopiah, berserban, bertudung litup, naqib-naqibah usrah dan mereka yang menggunakan ganti nama "ana-anta dan ana-anti".

Sms,Yahoo Messenger, email dan lain-lain kemudahan perhubungan era ICT telah menjadi penghubung utama cinta "anta-anti" ini. Ia lebih selamat, kerana tidak perlu berdating seperti pasangan yang tidak Islamik. Tidak perlu membazir tambang teksi, tambang bas dan juga membazir membeli kertas kajang berbau wangi dan dakwat yang berwarna-warni seperti mana halnya anak-anak muda lain yang jauh dari arus kebangkitan Islam. Bermula dengan kata-kata tazkirah, berakhir dengan ikon senyuman, teddy bear dan kadang-kadang gambar wanita bertudung.

Malah ada yang menjadikan kehadiran di seminar-seminar, kursus-kursus dan juga wacana-wacana ilmiah sebagai peluang untuk berjumpa. Bagi yang aktif berpersatuan pula, mesyuarat-mesyuarat dan aktiviti-aktiviti persatuan sering menjadi medan pelepas rindu. Alahai...kreatif betul anak-anak muda dakwah alaf baru ini.

Fenomena yang berlaku ini dimeriahkan dan dikosmetikkan lagi oleh nasyid-nasyid Melayu yang berpaksikan cinta muda-mudi. Klip-klip video nasyid pun, tajuk-tajuk yang bombastik berbau cinta asmara. Hakikatnya, fenomena cinta "anta-anti" ini semakin ketara dan semakin rancak. Ada yang berakhir dengan perkahwinan, dan ada juga yang kecewa di pertengahan jalan, dan tidak kurang juga yang telah menjerumuskan kedua-dua pasangan ke lembah maksiat. wal'iyadhubillah...

Salah Faham Ukhuwwah fillah Teringat juga penulis kepada satu fenomena apabila seorang siswi datang mengadu dia diusik oleh Pak Lebai. Bukan sekadar sms, kad ucapan hari lahir, kad hari raya, malah sejambak bunga ros di hari lahir juga telah dikirimkan oleh Pak Lebai tersebut.Tidak tahulah penulis apakah tanggapan masyarakat terhadap fenomena seumpama ini. Yang pasti di setiap kad, sms dan di jambangan bunga tersebut terukir kata-kata "Ukhuwwah fillah kekal abadi..".sekali lagi makna ukhuwwah disalah gunakan.

Satu kes yang lain pula, seorang siswa meluahkan kekecewaannya apabila dihampakan oleh seorang siswi yang satu "jemaah" dengannya. Beliau tidak sangka setelah berpuluh-puluh minggu mereka bertukar-tukar sms dan tazkirah melalui email, akhirnya siswi tersebut bertunang dengan orang lain yang juga satu "jemaah" dengan mereka.Aduh..lagi hebat daripada filem "Love Story" yang pernah popular di tahun-tahun 70'an dahulu. Yang pasti, sekali lagi tema "ukhuwwah fillah" menjadi camouflagde" ke atas perhubungan antara dua jantina yang ada kesedaran Islam ini.

Dalam satu insiden yang lain pula, seorang siswi pernah meminta pendapat penulis. Seorang seniornya yang sedang menuntut di dalam IPT yang sama dengan beliau telah bersungguh-sungguh melamarnya. Walaupun telah ditolak lebih 20 kali, namun si teruna terus melamarnya juga.Sekali lagi slogan "ukhuwwah fillah" menjadi lapik dan dijadikan bahan ugutan. Jika si siswi tadi menolak
lamarannya, maka hatinya akan hancur, dan ia bertentangan dengan mafhum hadis tadi. Oleh kerana bersimpati dengan si senior tersebut, si siswi terpaksa menerima lamaran itu. Menarik bukan "trend" percintaan golongan anta-anti ini.

Seorang siswa juga pernah meluahkan kemarahannya ke atas naqib usrahnya di bilik penulis. Mengapa tidak, tatkala di dalam usrah, berkepul-kepul dalil dan fikrah yang dibawanya. Sampaikan ketika pertukaran ke usrah lain, si naqib meminta siswa tadi agar berbai'ah untuk kekal di dalam perjuangan dan tidak menyertai jemaah lain. Sayangnya, di dalam perjalanan balik kampung, siswa tersebut nampak sang naqib berjalan berpegangan tangan dengan naqibah sekelas mereka...ini yang paling menarik.Lebih hebat lagi, kedua-dua mereka lengkap dengan aksesori berkopiah dan bertudung litup. Jika di zaman 70'an dahulu nescaya apa yang dilakukan oleh sang naqib dan naqibah tersebut bakal
menerima cop "kafir" dari pendukung gerakan dakwah yang lain.

Di satu sudut yang lain pula, seorang siswa yang sering menceritakan kehebatan "Abuya"nya kepada
penulis, juga tidak dapat lari dari fenomena cinta anta-anti ini. Penulis amat kagum dengan siswa yang sering muncul dengan baju Melayu berkancing dan juga songkok berwarna-warninya ini. Matanya yang bercelak sahaja sudah cukup untuk rakan-rakan yang lain hormat kepada beliau. Sayangnya atas takdir Allah, ketika penulis berkunjung untuk menziarahi beliau, penulis ternampak gambar seorang Muslimah menghiasi desktop komputer peribadinya. Ditanyakan sama ada itu adik, kakak ataupun emaknya atau mungkin neneknya, beliau menafikan. Beliau terpaksa mengaku bahawa itu adalah "kawan"nya. Yang hebatnya, tertulis di sebelah keayuan wajah gadis tersebut "Ukhuwwah fillah membawa ke Jannah".

Persoalannya, adakah fenomena ini sihat? Adakah ia sudah cukup islamik? Atau penulis yang ketinggalan zaman sehingga naif terhadap trend muda mudi masa kini? Ataupun fiqh Islamiyy juga perlu diubahkan untuk disesuaikan dengan perubahan semasa. Di dalam artikel yang terhad ini, penulis tidak berhajat untuk memberikan hukuman mahupun pandangan terhadap fenomena yang menarik ini. Biarlah para pembaca membuat penilaian mereka terhadap "sihat" atau tidak sihatnya budaya ini. Semoaga ada di kalangan pembaca yang akan dapat memberikan pandangan yang rasional serta boleh diwacanakan. (Diperolehi daripada Majalah i edisi Bulan Februari) ~ Diambil dari http://www.al-azhar.com, rasanya ditulis oleh Dr. Mazlee yang sekarang ni study kat New Castle



Lanjutan Cinta Anta-Anti oleh Ustaz Hasrizal.
Author: ustaz hasrizal

Saya masih ingat kepada tulisan Ustaz Maszlee Malik tentang Fenomena Cinta Anta Anti beberapa bulan yang lalu. Anggaplah artikel saya ini sebagai penyambung kepada mesej yang sama, iaitu usaha untuk mendidik adik-adik remaja memikirkan tentang perkahwinan yang seimbang di antara tuntutan yang idealistik dengan realiti. Berlandaskan agama...

Bagi mereka yang tidak segan untuk menguruskan cinta dan perkahwinan mereka mengikut kemahuan hawa nafsu dengan membelakangkan wahyu, biarlah mereka belajar tentang akibat yang bakal ditanggung.


Di dalam artikel saya sebelum ini, saya berkongsi nasihat dengan adik-adik bahawa jika mereka yang bercouple dan buat 'ringan-ringan' sebelum berumahtangga akan menghadapi kesannya di masa hadapan. Apatah lagi jika terjebak ke kancah zina. Selepas berumahtangga, si suami akan terfikir, "jika dengan aku dia berani berzina, apa yang boleh menghalangnya dari berzina dengan orang lain?" Kecurigaan ini menyebabkan jiwanya gelisah setiap kali meninggalkan isteri di rumah. Manakala si isteri berfikir dengan kecurigaan yang sama. Akhirnya rumahtangga itu penuh dengan syak wasangka dan pantang ada yang mencuit, pasti berbalas tuduh menuduh.


Ia bukanlah teori saya, tetapi sebahagian daripada pengalaman yang dikutip semasa mengendalikan kursus bersama Fitrah Perkasa. Pasangan yang pernah berzina sebelum bernikah, akan dihukum oleh Allah di dunia, sebelum hukuman Akhirat. Apakah ada ketenangan hidup, jika rumahtangga diselubungi prasangka? Itulah neraka dunia balasan zina, sebelum neraka Akhirat yang maha seksa lagi duka.

Namun bagi adik-adik yang mempunyai kesedaran Islam, cara mereka 'menjaga hukum Allah' perlu dibimbing. Bukan apa, kadang-kadang pendekatan mereka menimbulkan kehairanan kepada saya. Syariat manakah yang mengajar Muslimat supaya menundukkan pandangan hingga terlanggar tong pemadam api yang tergantung di koridor? Islam manakah yang mengajar Muslimat kita supaya bercakap seperti 'warden penjara' ketika berurusan dengan Muslimin, semata-mata kerana mahu menghayati kehendak Syarak agar mereka tidak melunakkan suara yang boleh menimbulkan fitnah.


Bagi Muslimin juga, pelbagai karenah yang timbul. Kerana mahu menjaga Syariat, mereka langsung tidak berhubung semasa bertunang sehingga tidak kenal di antara satu sama lain. Maka terbatallah hikmah pertunangan yang dianjurkan oleh Islam. Kita menjadi seperti robot keras yang jika tidak A, maka B. Ada yang bertanya kepada saya, berapakah kadar panggilan telefon yang boleh dibuat dalam seminggu semasa bertunang? Kepelbagaian andaian dan cuba-cuba mereka untuk merealisasikan komitmen terhadap agama, mengundang saya untuk berkongsi pengalaman agar adik-adik yang beriltizam dengan Islam ini dapat mencari contoh yang praktikal. Perkahwinan saya jauh daripada layak untuk menjadi contoh yang paling sempurna. Namun, pada satu dua benda yang baik, bolehlah diambil sebagai teladan. Mana-mana yang silap, jadikan sebagai sempadan.

Saya telah bertemu dengan banyak contoh pasangan yang sudah terlalu lama 'mengikat' hubungan tetapi lambat menuju perkahwinan, akhirnya kecundang di tengah jalan. Malah ramai yang berubah menjadi musuh. Hal ini, janganlah terlalu cepat dikaitkan sebagai 'hukuman dari Allah' kerana pernah ada cela zahir atau batin antara kedua pasangan itu. Seorang lelaki dan seorang perempuan yang terlalu lama kenal tetapi tidak menyegerakan perkahwinan, akan dengan sendirinya berubah menjadi musuh akibat fitrah perhubungan itu sendiri.

Bagi pasangan yang berumahtangga, setahun dua yang pertama, biasanya indah dan ditambah lagi dengan kedatangan cahaya mata penyeri rumahtangga. Tetapi apabila masuk tahun ketiga dan keempat, hubungan suami isteri akan teruji. Mudah terjadi, suami mula mudah marah terhadap isteri. Manakala si isteri pula kerap tertekan dengan 'warna sebenar suaminya'.


Saya masih ingat kata-kata Profesor Abdullah al-Ahsan di UIA ketika mengulas tentang Romanticism, "kita selalu tidak rasional dan realistik semasa kita romantik!". Mungkin di awal perkahwinan, romantik itu kuat mendominasi rumah tangga. Ketika itu suami fokus kepada isteri dan isteri pula fokus kepada suami. Tetapi ketika munculnya anak pertama, kedua-duanya beralih fokus kepada anak dan selepas muncul anak kedua, fokus itu perlu diubah suai lagi. Semasa itulah, rumahtangga lebih didominasi oleh tanggungjawab dan tugas. Seronok-seronok sudah berkurang sedikit. Tetapi ia adalah proses biasa.


Hubungan suami dan isteri boleh selamat dan terus memanjat usia matang pada tahun-tahun yang berikutnya. Selamat kerana proses itu berlaku di dalam perkahwinan, bukan di luar. Ini adalah kerana, perkahwinan sebenarnya menggabungjalinkan antara cinta, kasih sayang, tanggungjawab dan peranan. Ada hari air pasang, cinta memainkan peranan. Ada hari air surut, maka tanggungjawab dan kematangan pula mengambil tugas.


Akan tetapi bagi pasangan yang berkenalan semenjak di sekolah menengah, atau di matrikulasi, tetapi selepas tiga atau empat tahun, mereka masih belum berumahtangga, hubungan mereka akan melalui proses yang sama. Malangnya proses itu berlaku di luar perkahwinan. Cinta jadi derita, tiba-tiba sahaja satu perasaan yang pelik datang, dan dengan mudah, mereka akan memutuskan hubungan tersebut. Jemu, itu sahaja.


Sebab itulah, saya sering memberi dorongan kepada adik-adik bahawa, kita
tidak perlu memulakan hubungan jika dalam jangka masa terdekat, tiada kemungkinan untuk perhubungan itu dinaik taraf menjadi perkahwinan. Janganlah berjinak-jinak untuk berkawan antara lelaki dan perempuan semasa di matrikulasi, jika kita sedia maklum yang ibu bapa tidak akan membenarkan perkahwinan, kecuali selepas tamat pengajian. Komitmen 'atas angin' yang tidak disegerakan kepada sebuah perkahwinan, sering berakhir hanya disebabkan oleh emosi yang saya terjemahkan ia sebagai JEMU.

Syukur, saya terselamat dari ujian itu. Semenjak di Tingkatan 1, kehidupan saya di sekolah menengah amat sibuk. Pelajaran, disertai dengan usrah, gerak kerja persatuan, pertandingan-pertandingan yang disertai dan pelbagai aktiviti menjadikan saya terfokus kepada memanfaatkan umur ketika itu tanpa perlu 'cuba-cuba bercinta'. Benarlah kata pepatah Arab:


"Air yang tidak mengalir, akan merosakkan air tersebut. Pemuda yang banyak masa kosong, akan dibunuh oleh masa kosong itu"


Walau bagaimana pun, pasti sudah ramai yang telah pun berada di 'situ'. Sudah kenal. Sudah lama kenal.


Untuk mereka, janganlah pula pendapat saya ini menjadi alasan untuk cepat seseorang itu memutuskan perhubungan. Janganlah biarkan diri kita dipandu oleh keputusan-keputusan emosi semata-mata. Jika pasangan lelaki atau perempuan sudah baik agamanya, atau yang paling utama, sedia dididik dan mahu belajar, maka terimalah seadanya. Saya cukup terkilan apabila mendengar ada dari kalangan adik-adik, khususnya Muslimah, yang terlalu mudah mengambil keputusan memutuskan hubungan semata- mata beralasan terasa ada kesilapan malah dosa yang terselit di celah-celah perkenalannya dengan seorang lelaki Muslim yang baik. Jika pernah buat silap, bawalah bertaubat dan bukannya dengan sewenang-wenang membatalkan hubungan. Ingatlah pesan Nabi SAW,


"Apabila datang melamar kepadamu seseorang yang kamu redha agamanya dan akhlaknya, maka kahwinkanlah. Jika tidak kamu laksanakan, maka akan terjadi fitnah di muka bumi dan kerosakan yang luas". (HR. Tirmidzi)


Pesan saya kepada adik-adik di kampus, dalam soal perkahwinan ini,
JANGAN TERGESA-GESA, DAN JANGAN BERTANGGUH-TANGGUH.

Politik Wang

Hari ini,dunia dirasakan begitu pelik, Orang anti betul dengan babi,semua cerita pasal babi, makan babi haram, sentuh babi haram, sungguh berjaga-jaga bila tiba bab babi. Begitu juga dengan ayam sembelihan, dengar jer ayam stunning, terus boikot tak nak makan ayam. Nak beli ayam check betul2 ada ke tak cop halal. Kalau dah ada cop halal pun akan dicheck lagi. Sahih ke tak cop halal tu. Yang peliknya bila tiba bab rasuah, ada yang kata rasuah ni satu pelaburan. So, blh on je. semua ambil mudah. Its like you invest something to gain something Kalau tak invest maka tak dapat, so perlulah hulur duit sikit. Mereka kata ini bukan rasuah, ini satu pelaburan. Kerja makan duit rasuah. Projek-projek nak dapat kena hulur rasuah. Bila balik rumah. Bagi bini duit belanja harian. Bagi anak-anak duit poket. Buat rumah besar-besar untuk keselesaan ahli keluarga dan tunjuk kat masyarakat dia orang kaya. time pergi masjid bagi sumbangan yang besar-besar untuk pembesaran masjid, untuk cat masjid, untuk pasang ayat2 quran yang mahal kat masjid. Bila hari raya bagi duit banyak2 kat budak2 yg datang umah. Buat jamuan grand2... Semua tu menggunakan duit hasil kerja yang dicampuri dengan rasuah Tu yang pelik.. Makan babi haram. Makan ayam semebelih tak proper haram. Tapi makan rasuah halal. Investment la katakan.... Bila tengok harakah, terjmpa artikel nih. Macam best la....


Umno pernah beli Adun PAS, tumbangkan kerajaan di Terengganu

Salmah Mat Husain
Thu | May 15, 08 | 8:51:35 pm MYT

PENGKALAN CHEPA, 15 Mei (Hrkh) - Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan Umno dan Barisan Nasional (BN) merupakan parti politik pertama yang menghianati demokrasi dengan mengamalkan sogokan wang.

Katanya, parti tersebut tidak perlu menggelabah sekiranya orang lain (pembangkang) juga cuba melaksanakan perkara yang serupa.

Beliau diminta mengulas kenyataan anggota Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang dikatakan ditawarkan dengan harga yang tinggi sehingga boleh menampung tiga generasi sekiranya melompat parti.

Menurut Dahlan, jumlah sebenar yang ditawarkan oleh �utusan khas� hantar untuk bertemunya sebelum ini hanya akan didedahkan apabila tiba masa yang sesuai.

Sebelum itu Menteri Besar menyampaikan saguhati kepada pelajar cemerlang dalam peperiksaan SPM, STAM dan STPM di Pusat Tarbiah Islamiah (Putik) di sini, petang tadi.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, Umno sebenarnya menjadi guru dalam semua kerja jahat termasuk membeli undi, menyogot wang termasuk membeli wakil rakyat untuk mendapatkan kemenangan.

�Inilah bahananya Umno, dia buang najis, lepas tu dia suruh orang lain basuh, mana boleh, padan dengan muka Umno, tak perlu pertikai lagi la (beli Adun), sebab dia selama ni yang mengajar orang lain,� ujarnya.

Menurutnya kerajaan Terengganu pernah jatuh ketika di bawah kerajaan PAS yang diterajui Allahyarham Daud Samad kerana Umno menggunakan kaedah itu untuk menawan negeri berkenaan.

�Kerajaan Kelantan yang jatuh pada tahun 1978 juga kerana Umno menculik seorang wakil rakyat PAS ketika itu, Haji Omar untuk tujuan menumbangkan kerajaan PAS,� katanya.

Selain itu tiga Adun PAS yang menang pada pilihan raya umum 2004 turut ditawarkan dengan harga yang cukup tinggi tujuan untuk melompat parti kepada BN.

Beliau mendakwa wakil rakyat terbabit ditawarkan hingga RM5 juta. Siapa yang melakukan semua itu kalau bukan Umno.

�Jadi Umno kena faham apa yang berlaku jangan marah sebab mereka sendiri yang mengajar (memulakannya), jadi jangan marahlah, padan muka dia (Umno),� tambahnya.

Ditanya pejabat DAP di Perak yang dibom dengan petrol malam semalam katanya tindakan itu dilakukan oleh mereka yang kecewa.

�Kalau beriman, mereka akan bertindak mengikut cara Islam, sebaliknya bagi yang tidak berpandukan ajaran Islam akan melalukannya begitu.

�Bagi orang yang kecewa tidak boleh berhujah dengan dalil atau kebenaran, dia akan melepaskan geram atau kecewanya dengan bom. Ini semuanya tak betul,� ujarnya.

Friday, May 16, 2008

Perjuangan PAS : Tarbiyah, Dakwah dan Siasah

Masih ada mereka yang tidak memahami , bagaimana PAS berjuang sehingga masih kedengaran suara yang mengatakan perjuangan PAS salah , bida'ah , sesat , tidak mengikut sunnah , bercanggah dengan syariat , hanya mementingkan politik dan 1001 tohmahan dilemparkan kepada PAS .

Terlebih dahulu saya akui bahawa PAS tidak sunyi dari kelemahan dan kesilapan sebagai sebuah organisasi yang dipimpin oleh manusia. Namun kesilapan dan kelemahan itu tidaklah membawa PAS terbabas ke 'gaung dalam' yang membunuh aqidah dan mencederakan syakhsiyyah sebagai sebuah organisasi yang memperjuangkan Islam . [1]

Sebaliknya kelemahan dan kesilapan yang berlaku , bukan sahaja masih boleh diperbaiki dan disempurnakan tetapi nyata PAS mempunyai cara dan kaedah yang cukup baik untuk terus memantau perjalanan organisasinya agar menepati objektif dan ghayahnya ( matlamat ) [2] .

Organisasi PAS juga mempunyai pelbagai medium untuk memastikan segala misi dan visi perjuangannya berjalan berasaskan syara' .

Kepimpinan Ulama' , Jawatan Kuasa Disiplin Parti , Muktamar Tahunan , Mesyuarat Dewan Harian , Mesyuarat Bulanan , Mesyuarat Khas , Liqa' Fikri , Tamrin , Mukhayyam , Kuliah Haraki , Usrah Mingguan , Konvensyen PAS Negeri , Ijtimak Pilihanraya , Kuliah Agama dan banyak lagi cara dan kaedah untuk PAS mengawal organisasinya berjalan melandasi syariat Ilahi dan sunnah an Nabawi .

Jika terdapat perbedaan dalam approach atau method perjuangan PAS berbanding kumpulan Islam yang lain , ini tidak bermakna PAS salah dan bercanggah dengan syariat dan sunnah.

Secara umumnya , wajar saya tegaskan bahawa PAS bergerak dalam ruang orientasi yang saya pecahkan secara kasar kepada 3 ruang utama iaitu :

Tarbiyyah dan Pengkaderan ( pembinaan dan pembentukan )
Dakwah ( penerangan )
Siasah ( politik )

Tarbiyyah dan Pengkaderan .

Aset penting yang meletakkan PAS terus istiqamah dan komited dengan perjuangan ialah agenda tarbiyyah dan pengkaderan yang menjadi nadi kepada pergerakkan PAS .

Tarbiyyah digerak dan diaktifkan untuk membina :

· Aqidah yang benar berasaskan manhaj Ahlis sunnah wal Jamaah
· Fikrah yang syumul sebagaimana syumulnya ajaran Islam itu sendiri
· Syakhsiyyah yang solehah berasaskan akhlak mahmudah bimbingan Rasulullah saw.

Sementara pengkaderan pula berfungsi untuk membina :

Kepimpinan yang berkarisma dan berwibawa .
Organisasi yang mantap dan hebat.
Tindakan yang strategic dan berkesan .

Memastikan perkara ini berlaku dalam PAS , Lajnah Tarbiyyah dibentuk pada semua peringkat organisasi PAS , bermula dari peringkat Pusat , Negeri , Kawasan bahkan cawangan. Begitu juga di peringkat dewan – dewan seperti Dewan Ulama' , Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat turut meletakkan Lajnah Tarbiyyah antara Lajnah kanan yang diberi tumpuan utama.

Aktiviti asas bagi melaksanakan cita – cita tarbiyyah banyak tertumpu kepada pembentukkan usrah dipelbagai peringkat ( kepimpinan atau ahli ) , tamrin , liqa fikri dan pelbagai program atau aktiviti semasa yang dilihat perlu dari masa ke semasa dengan berbagai wajah yang menghormati kepentingan kepelbagaian approach .

Kini PAS melalui Dewan Pemudanya pula menubuhkan Akademi Kepimpinan Pemuda yang akan berfungsi bersama pelbagai modulnya untuk mengkaderkan kepimpinan pelapis yang berwibawa menepati karisma seorang pemimpin Islam yang soleh.

Dakwah Ilallah ( Penerangan )

Berlandaskan perintah Allah yang mewajibkan setiap individu muslim menyampai dan menyebarkan Islam , dakwah telah menjadi aktiviti asas yang sangat principal sifatnya. [3]

Biarpun PAS menghadapi aneka halangan dan ancaman dari pelbagai pihak termasuk polis/FRU yang sering digunakan oleh musuh – musuh Islam yang menghalang kemaraan dakwah Islam ke tengah masyarakat , dakwah untuk menginsafkan ummah agar kembali kepangkuan Islam serta berjuang mendaulatkannya tetap diteruskan .

Ada dikalangan pemimpin PAS yang dibunuh , dipenjara , dibuang daerah dan dikenakan pelbagai tindakan kerana dakwah mereka . Namun segalanya tidak menghalang PAS dari terus melaksanakan amanah besar ini sebagai sebuah Gerakan Islam yang pastinya bertanggungjawab terhadap masa depan ummah.

Tugas dakwah ini digalas oleh semua , dari Presiden hinggalah ahli biasa dengan peranan masing – masing berasaskan keupayaan atau kemahiran mereka malah turut menghormati tahap keupayaan masing - masing.

Maudhu' ( kandungan ) dakwah PAS sangat jelas [4] , menepati apa yang diajar oleh Allah swt. PAS mendekati semua lapisan masyarakat . Bermula dengan masyarakat yang tertindas hinggalah pemimpin yang menindas dan ummat yang lesu hinggalah ulama' yang bisu .

Pelbagai pendekatan diketengahkan dalam membawa mesej perjuangan. Dewan Pemuda PAS membawa pendekatan Pemuda sebagai Duta Kasih Sayang dan Penyelamat .

Pendekatan dakwah PAS melengkapi 2 kategori utama :

1 : Dakwah Ammah ( umum )

Kuliah Agama , Forum , Seminar
Ceramah Umum , Muzakarah , Debat
Motivasi , Demonstrasi
Penerbitan Buku , Penerbitan akhbar ,
Edaran VCD , Edaran Risalah ,
Talk Show , Dialog dll

2 : Dakwah Fardiyyah . ( khas )

Pertemuan Tertutup
Ziarah dan Dakwah
Aktiviti Amal Kebajikan

Dakwah PAS tidak bermusim dan tidak juga tertakluk kepada kepentingan pengaruh individu dan politik . Biarpun sehari selepas tamatnya pilihanraya , PAS telah memulakan aktiviti dakwahnya kepada masyarakat , demikian juga sehari selepas dibebaskan dari penjara pimpinan PAS terus melangsungkan dakwahnya.

Sekalipun dakwah yang dibawa oleh PAS tidak popular malah menerima tentangan sengit dari pelbagai pihak seperti hukuman hudud , PAS tetap menunaikan tanggungjawab dakwahnya dengan memberi penjelasan kepada masyarakat mengenai peri pentingnya Negara kita melaksanakan undang – undang dan peraturan Islam itu.

Biarlah kita kehilangan undi popular dan sokongan ramai yang membawa kita kalah dalam pilihanraya , namun dakwah untuk membawa Islam kesetiap pintu hati manusia tetap diteruskan.

Siasah ( politik )

Islam adalah agama yang syumul , merangkumi seluruh aspek kehidupan termasuklah politik. Mengasingkan politik dari perjuangan Islam ertinya mengurangkan sukatan perjuangan Islam yang telah diperjuangkan oleh Nabi saw. [5]

PAS meletakkan politik sebahagian dari tanggungjawab perjuangan yang mesti diperjuangkan.

Kini kuasa politik berada ditangan UMNO dan BN yang enggan melaksanakan syariat meskipun berbuih mulut mereka mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam . Malah UMNO dan BN telah menyuburkan bumi Malaysia ini dengan pelbagai maksiat dan mungkar yang telah dihalalkan melalui mazhab Islam Hadharinya.

PAS berkewajipan mengambil tampuk kuasa politik dari golongan yang enggan melaksanakan syariat Islam dan PAS telah berijtihad untuk menggunakan pendekatan aman dan damai tanpa peperangan dan pertumpahan darah , dalam usaha PAS mahu mengambil alih kuasa politik tersebut.

Realiti ini membawa PAS mendaftarkan organisasinya di bawah Pendaftar Pertubuhan dan ianya sah untuk bergerak di sisi undang – undang Negara waktu ini. Semua orang boleh mengakui bahawa Islam tidak boleh dilaksana tanpa kuasa politik. Justeru itu , penglibatan dibidang politik ( siasah ) adalah kewajipan besar untuk kembali mengangkat Islam ini ke tempat yang selayaknya sebagai agama suci .

KESIMPULAN

Saya tidak nampak alasan yang munasabah bagi pihak yang menolak perjuangan PAS. Mereka barangkali boleh untuk tidak menyertai PAS , tetapi untuk mereka menolak dan menafikan perjuangan PAS adalah suatu yang sangat tidak adil.

Kelemahan dan kesilapan boleh diperbaiki jika ada. Menolak dan menafikan perjuangan sucinya yang diasaskan sejak tahun 51 yang lalu memerlukan alasan yang konkrit dan dalil yang pasti , bukan beralaskan emosi dan sentiment perbedaan kumpulan.

Saya selalu menegaskan kepada umum , jika terdapat suatu yang dilakukan oleh PAS bercanggah dengan syariat dan sunnah , sila nyatakan ! Jika ianya berbentuk dakwaan , sila kemukan bukti !

Kita mencari kebenaran . Andai benar atau ada , PAS melakukan perkara yang bercanggah dengan syariat , saya dan seluruh ahli PAS yang ikhlas terhadap perjuangan pasti akan menyanggahinya. Namun begitu , janganlah tuduhan melulu tanpa lampiran bukti , dakwaan palsu tanpa kepastian dalil dan emosi berprasangka tanpa berlaku adil.

[1] Fasal 3 . Perlembagaan PAS : Dasar PAS ialah Islam .
Fasal 4 . Perlembagaan PAS : Seruan PAS ialah ALLAHU AKBAR .

[2] Fasal 5 . Perlembagaan PAS : Tujuan PAS ialah :

1 : Memperjuangkan wujudnya di dalam Negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai – nilai hidup Islam dan hokum – hukumnya menuju keredhaan Allah .

2 : Mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan Negara .

[3] ولتكن منكم أمة يدعون إلى الخير و يأمرون بالمعروف و ينهون عن المنكر و أولئك هم المفلحون
" dan hendaklah ada dikalangan kamu ummat yang berdakwah kearah kebaikan , menegakkan syariat dan mencegah kemungkaran dan mereka adalah golongan yang beroleh kemenangan."

Surah ali – imraan : 104

[4] Fasal 6 . Perlembagaan PAS : Usaha – usaha :

1 . Menyeru ummat Manusia kepada syariat Allah dan Sunnah RasulNya melalui dakwah secara lisan , tulisan dan amalan .

2 . Memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syariah serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai – nilai keislaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan disegenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran , ekonomi dan social serta pelajaran dan pendidikan .

[5] فما لا أصل له فمهدوم و ما لا حارس له فضائع الدين أصل و السلطان جارس
" Agama adalah tapak dan pemerintah ( kedaulatan ) adalah pengawal , suatu yang tiada tapak pasti runtuh dan suatu yang tiada pengawal pasti hilang ." – al Imam Ghazali dalam Ihya' Ulumiddin

posted by Us.Hj. Nasrudin Hj. Hassan At Tantawi