Photobucket

KEBANGKITAN generasi baru Islam dinanti...

Showing posts with label siasah. Show all posts
Showing posts with label siasah. Show all posts

Thursday, January 27, 2011

Vote for change!!


Normala, 38 merupakan seorang guru lulusan Maktab Tuanku Bainun, Pulau Pinang sebelum meletakkan jawatan pada akhir 2010 kerana mahu menumpukan sepenuh masa kepada tugas parti.

Beliau yang dilahirkan di Kampung Serom 3, Muar Johor ini merupakan anak sulung daripada lima orang adik beradik.

Bapanya, Sudirman Suratman merupakan bekas ketua peserta Felcra dan juga pengerusi koperasi Felcra Sekijang manakala ibunya Mukmini Yahya juga merupakan peneroka Felcra.

Beliau yang mesra di kalangan penduduk setempat dengan panggilan Cikgu Mala, mendirikan rumah tangga dengan Makrof Abd Mutalib dan mempunyai tiga orang anak.

Pernah diiktiraf sebagai guru cemerlang oleh Kementerian Pelajaran dan pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang.

Cikgu Mala pernah menerima Anugerah Guru Aktif sempena Sambutan Hari Guru Daerah Segamat.

Cikgu Mala turut menerima Anugerah Khas sempena Perbahasan Ala Parlimen pada Perayaan Hari Guru.

Normala mula bergiat aktif dalam PAS selepas tamat pengajian di maktab pada tahun 1997.

Pada tahun 2000 beliau dilantik sebagai Ketua Dewan Muslimat PAS Labis.

Selain Ketua Muslimat Johor, beliau juga merupakan Exco Pendidikan Dewan Muslimat PAS Pusat.

Kini beliau menumpukan kepada usaha membantu masyarakat Labis setelah dipertanggungjawabkan sebagai penyelia pusat aduan rakyat Dun Tenang.

Tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia...


Saturday, January 3, 2009

Demi perjuangan, Rashid Ganushi tinggalkan Tunisia

Susunan Ustaz Zainudin Hashim



Beliau mendapat pendidikan awal di kampung halamannya sebelum meneruskan pengajian peringkat menengah di bandar Qabis, kemudian menyambung di Tunis ibu negara Tunisia di peringkat pengajian tinggi di Universiti Zaitunah.

Kemudian Rashid ke Mesir dan Syria menyambung pelajaran di salah sebuah universiti di situ dalam bidang Falsafah, dari sinilah beliau mula berjinak dengan 'Falsafah Islam' yang membentuk pemikiran manusia kepada agama.

Selanjutnya beliau menyambung pelajaran di Univeristi Sorbonne, Perancis bagi menghalusi perbandingan antara falsafah Islam dan Barat, hingga beliau semakin tertarik untuk memperdalami pemikiran serta falsafah Islam yang mencakup semua keperluan hidup manusia.

Pada akhir 60-an, beliau kembali ke Tunisia untuk bergerak aktif dalam gerakan Islam hingga berjaya menubuhkan Harakah Nahdah Islamiyah dengan menjadikan golongan belia sebagai sasaran dakwahnya hingga menular ke negara jiran seperti Algeria dan Maghribi.

Beliau pernah dipenjara beberapa kali kerana dituduh menyebarkan fahaman yang boleh mengancam keselamatan negara.

Pada 1981 beliau dijatuhkan hukuman penjara 11 tahun, pada 1987 sekali kali dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup, pada 1998 beliau berjaya meloloskan diri hingga ke Eropah.

Beliau banyak menghasilkan bahan-bahan ilmiah berupa rencana dan buku-buku bahan bacaan rujukan seperti 'Toriquna ila al-hadarah', Nahnu wa al-Gharb, Hak al-Ukhtilaf wawajib wehdat as-sof, al-Qadiyyah al-Palestiniyyah fi muftariq at-turuq dan al-Mar'ah baina al-Quran wawaqi' al-Muslimin.

Perjuangan Islam dalam arena politik di Tunisia mengalami hambatan yang amat serius apabila Kementerian Pengadilan dan Undang-undang Tunisia mengeluarkan arahan melarang Harakah Nahdah Islamiyah membentuk sebuah parti politik berdasarkan agama.

Justeru, ramai daripada kalangan para aktivis gerakan Islam yang ada kaitan langsung dengan Ikhwan Muslimun terpaksa meninggalkan negara berikutan tangkapan demi tangkapan bagi mengatur langkah dan strategi khususnya bagi menghadapi kerenah para pemerintah negara yang diketuai Presiden Zein El-Abidin Ali yang kuat berpegang kepada aliran Sekularisme.

Ura-ura laporan media massa Tunisia bahawa pihak berkuasa Tunisia mungkin akan mempertimbangkan bagi membenarkan pembentukan sebuah parti Islam yang layak bertanding dalam pilihan raya umum, terrnyata pandangan yang meleset.

Kementerian Pengadilan dan Undang-undang Tunisia menganggap pembentukan parti berasas Islam itu seolah-olah mengiyakan pemerintah sebagai sebuah pemerintah kafir kerana tidak melaksanakan peraturan dan undang-undang dalam pentadbiran negara.

Menterinya, Albashir Attakari dalam kenyataannya di stesen televisyen Tunisia mengatakan, "Kami menolak mana-mana kelompok atau gerakan yang berhasrat mahu membentuk parti atas dasar agama Islam yang menjadi agama semua rakyat Tunisia. Jika kami menerima parti politik berasas agama, maka sama saja kami mengkafirkan semua rakyat Tunisia."

Beliau yang bercakap dalam nada penuh yakin menegaskan, bahawa parti yang berlandaskan agama termasuk Islam tidak dibenarkan wujud kerana ia sudah menjadi peraturan dan perlembagaan negara yang melarang terbentuknya sebuah parti atas dasar agama yang telah diguna pakai sejak Tunisia mencapai kemerdekaan daripada Perancis pada 20 Mac 1956.

Ini kerana menurutnya rakyat sudah dapat menerima Parti Tajammu� Dusturi Demokratik yang juga parti pemerintah.

Harakah Nahdah Islamiyah pimpinan Rashid Ganushi mengatakan bahawa organisasinya sejak dibentuk pada 1981 berupaya untuk berdamai dengan pihak berkuasa bagi mendapatkan legitimasi dari aspek undang-undang negara.

Keghairahan kononnya pihak berkuasa mahu mempertimbangkan pembentukan sebuah parti Islam, sebenarnya ia hanya gimik politik kotor bagi meredakan keadaan.

Pada masa sama, pihak berkuasa mengeluarkan arahan agar semua para aktivis, pertubuhan, gerakan yang berselindung di bawah nama Islam ditangkap dan disita.

Rashid Ganushi sebagai pimpinan tertinggi Harakah Nahdah Islamiyah, pernah dilarang selama berada di bawah kekuasaan Presiden Zein El-Abidin Bin Ali bagi menyampaikan ceramah, motivasi, khutbah melalui radio Zaituna, yang diambil sempena nama masjid terbesar di Tunisia.

Beliau telah dicop sebagai perintis gerakan Islam oleh pihak berkuasa yang mampu menggugat kerajaan.

Sejak itu, beliau sering diburu siang dan malam bagi mengurangkan pengaruhnya yang dilihat semakin mendapat tempat di hati para pencinta Islam di Tunisia, termasuk golongan wanita, para pelajar sekolah dan universiti yang mampu membela hak mereka sebagai warganegara beragama Islam.

Awal 90-an disifatkan oleh para aktivis Islam seluruh dunia sebagai tahun-tahun malang bagi gerakan Islam, kerana pada tahun-tahun itu juga Barisan Pembebasan Islam (FIS) di Algeria yang hampir menang dalam pilihan raya umum negara itu telah dinafikan hak kemenangan.

Malah pemimpin tertinggi mereka seperti Dr Abbasi Madani dan Ali Benhaj dipenjara, tidak kurang juga anggota Harakah Nahdah Islamiyah Tunisia ditangkap dan dipenjara beberapa tahun kerana dituduh mengancam keselamatan negara.

Tidak ada cara yang boleh menyelamatkan diri, maka Rashid Ganushi yang terselamat daripada tangkapan walaupun diburu, meloloskan dirinya untuk ke Eropah dan hidup di sana hingga sekarang.

Monday, May 19, 2008

Politik Wang

Hari ini,dunia dirasakan begitu pelik, Orang anti betul dengan babi,semua cerita pasal babi, makan babi haram, sentuh babi haram, sungguh berjaga-jaga bila tiba bab babi. Begitu juga dengan ayam sembelihan, dengar jer ayam stunning, terus boikot tak nak makan ayam. Nak beli ayam check betul2 ada ke tak cop halal. Kalau dah ada cop halal pun akan dicheck lagi. Sahih ke tak cop halal tu. Yang peliknya bila tiba bab rasuah, ada yang kata rasuah ni satu pelaburan. So, blh on je. semua ambil mudah. Its like you invest something to gain something Kalau tak invest maka tak dapat, so perlulah hulur duit sikit. Mereka kata ini bukan rasuah, ini satu pelaburan. Kerja makan duit rasuah. Projek-projek nak dapat kena hulur rasuah. Bila balik rumah. Bagi bini duit belanja harian. Bagi anak-anak duit poket. Buat rumah besar-besar untuk keselesaan ahli keluarga dan tunjuk kat masyarakat dia orang kaya. time pergi masjid bagi sumbangan yang besar-besar untuk pembesaran masjid, untuk cat masjid, untuk pasang ayat2 quran yang mahal kat masjid. Bila hari raya bagi duit banyak2 kat budak2 yg datang umah. Buat jamuan grand2... Semua tu menggunakan duit hasil kerja yang dicampuri dengan rasuah Tu yang pelik.. Makan babi haram. Makan ayam semebelih tak proper haram. Tapi makan rasuah halal. Investment la katakan.... Bila tengok harakah, terjmpa artikel nih. Macam best la....


Umno pernah beli Adun PAS, tumbangkan kerajaan di Terengganu

Salmah Mat Husain
Thu | May 15, 08 | 8:51:35 pm MYT

PENGKALAN CHEPA, 15 Mei (Hrkh) - Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan Umno dan Barisan Nasional (BN) merupakan parti politik pertama yang menghianati demokrasi dengan mengamalkan sogokan wang.

Katanya, parti tersebut tidak perlu menggelabah sekiranya orang lain (pembangkang) juga cuba melaksanakan perkara yang serupa.

Beliau diminta mengulas kenyataan anggota Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang dikatakan ditawarkan dengan harga yang tinggi sehingga boleh menampung tiga generasi sekiranya melompat parti.

Menurut Dahlan, jumlah sebenar yang ditawarkan oleh �utusan khas� hantar untuk bertemunya sebelum ini hanya akan didedahkan apabila tiba masa yang sesuai.

Sebelum itu Menteri Besar menyampaikan saguhati kepada pelajar cemerlang dalam peperiksaan SPM, STAM dan STPM di Pusat Tarbiah Islamiah (Putik) di sini, petang tadi.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, Umno sebenarnya menjadi guru dalam semua kerja jahat termasuk membeli undi, menyogot wang termasuk membeli wakil rakyat untuk mendapatkan kemenangan.

�Inilah bahananya Umno, dia buang najis, lepas tu dia suruh orang lain basuh, mana boleh, padan dengan muka Umno, tak perlu pertikai lagi la (beli Adun), sebab dia selama ni yang mengajar orang lain,� ujarnya.

Menurutnya kerajaan Terengganu pernah jatuh ketika di bawah kerajaan PAS yang diterajui Allahyarham Daud Samad kerana Umno menggunakan kaedah itu untuk menawan negeri berkenaan.

�Kerajaan Kelantan yang jatuh pada tahun 1978 juga kerana Umno menculik seorang wakil rakyat PAS ketika itu, Haji Omar untuk tujuan menumbangkan kerajaan PAS,� katanya.

Selain itu tiga Adun PAS yang menang pada pilihan raya umum 2004 turut ditawarkan dengan harga yang cukup tinggi tujuan untuk melompat parti kepada BN.

Beliau mendakwa wakil rakyat terbabit ditawarkan hingga RM5 juta. Siapa yang melakukan semua itu kalau bukan Umno.

�Jadi Umno kena faham apa yang berlaku jangan marah sebab mereka sendiri yang mengajar (memulakannya), jadi jangan marahlah, padan muka dia (Umno),� tambahnya.

Ditanya pejabat DAP di Perak yang dibom dengan petrol malam semalam katanya tindakan itu dilakukan oleh mereka yang kecewa.

�Kalau beriman, mereka akan bertindak mengikut cara Islam, sebaliknya bagi yang tidak berpandukan ajaran Islam akan melalukannya begitu.

�Bagi orang yang kecewa tidak boleh berhujah dengan dalil atau kebenaran, dia akan melepaskan geram atau kecewanya dengan bom. Ini semuanya tak betul,� ujarnya.

Friday, May 16, 2008

Perjuangan PAS : Tarbiyah, Dakwah dan Siasah

Masih ada mereka yang tidak memahami , bagaimana PAS berjuang sehingga masih kedengaran suara yang mengatakan perjuangan PAS salah , bida'ah , sesat , tidak mengikut sunnah , bercanggah dengan syariat , hanya mementingkan politik dan 1001 tohmahan dilemparkan kepada PAS .

Terlebih dahulu saya akui bahawa PAS tidak sunyi dari kelemahan dan kesilapan sebagai sebuah organisasi yang dipimpin oleh manusia. Namun kesilapan dan kelemahan itu tidaklah membawa PAS terbabas ke 'gaung dalam' yang membunuh aqidah dan mencederakan syakhsiyyah sebagai sebuah organisasi yang memperjuangkan Islam . [1]

Sebaliknya kelemahan dan kesilapan yang berlaku , bukan sahaja masih boleh diperbaiki dan disempurnakan tetapi nyata PAS mempunyai cara dan kaedah yang cukup baik untuk terus memantau perjalanan organisasinya agar menepati objektif dan ghayahnya ( matlamat ) [2] .

Organisasi PAS juga mempunyai pelbagai medium untuk memastikan segala misi dan visi perjuangannya berjalan berasaskan syara' .

Kepimpinan Ulama' , Jawatan Kuasa Disiplin Parti , Muktamar Tahunan , Mesyuarat Dewan Harian , Mesyuarat Bulanan , Mesyuarat Khas , Liqa' Fikri , Tamrin , Mukhayyam , Kuliah Haraki , Usrah Mingguan , Konvensyen PAS Negeri , Ijtimak Pilihanraya , Kuliah Agama dan banyak lagi cara dan kaedah untuk PAS mengawal organisasinya berjalan melandasi syariat Ilahi dan sunnah an Nabawi .

Jika terdapat perbedaan dalam approach atau method perjuangan PAS berbanding kumpulan Islam yang lain , ini tidak bermakna PAS salah dan bercanggah dengan syariat dan sunnah.

Secara umumnya , wajar saya tegaskan bahawa PAS bergerak dalam ruang orientasi yang saya pecahkan secara kasar kepada 3 ruang utama iaitu :

Tarbiyyah dan Pengkaderan ( pembinaan dan pembentukan )
Dakwah ( penerangan )
Siasah ( politik )

Tarbiyyah dan Pengkaderan .

Aset penting yang meletakkan PAS terus istiqamah dan komited dengan perjuangan ialah agenda tarbiyyah dan pengkaderan yang menjadi nadi kepada pergerakkan PAS .

Tarbiyyah digerak dan diaktifkan untuk membina :

· Aqidah yang benar berasaskan manhaj Ahlis sunnah wal Jamaah
· Fikrah yang syumul sebagaimana syumulnya ajaran Islam itu sendiri
· Syakhsiyyah yang solehah berasaskan akhlak mahmudah bimbingan Rasulullah saw.

Sementara pengkaderan pula berfungsi untuk membina :

Kepimpinan yang berkarisma dan berwibawa .
Organisasi yang mantap dan hebat.
Tindakan yang strategic dan berkesan .

Memastikan perkara ini berlaku dalam PAS , Lajnah Tarbiyyah dibentuk pada semua peringkat organisasi PAS , bermula dari peringkat Pusat , Negeri , Kawasan bahkan cawangan. Begitu juga di peringkat dewan – dewan seperti Dewan Ulama' , Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat turut meletakkan Lajnah Tarbiyyah antara Lajnah kanan yang diberi tumpuan utama.

Aktiviti asas bagi melaksanakan cita – cita tarbiyyah banyak tertumpu kepada pembentukkan usrah dipelbagai peringkat ( kepimpinan atau ahli ) , tamrin , liqa fikri dan pelbagai program atau aktiviti semasa yang dilihat perlu dari masa ke semasa dengan berbagai wajah yang menghormati kepentingan kepelbagaian approach .

Kini PAS melalui Dewan Pemudanya pula menubuhkan Akademi Kepimpinan Pemuda yang akan berfungsi bersama pelbagai modulnya untuk mengkaderkan kepimpinan pelapis yang berwibawa menepati karisma seorang pemimpin Islam yang soleh.

Dakwah Ilallah ( Penerangan )

Berlandaskan perintah Allah yang mewajibkan setiap individu muslim menyampai dan menyebarkan Islam , dakwah telah menjadi aktiviti asas yang sangat principal sifatnya. [3]

Biarpun PAS menghadapi aneka halangan dan ancaman dari pelbagai pihak termasuk polis/FRU yang sering digunakan oleh musuh – musuh Islam yang menghalang kemaraan dakwah Islam ke tengah masyarakat , dakwah untuk menginsafkan ummah agar kembali kepangkuan Islam serta berjuang mendaulatkannya tetap diteruskan .

Ada dikalangan pemimpin PAS yang dibunuh , dipenjara , dibuang daerah dan dikenakan pelbagai tindakan kerana dakwah mereka . Namun segalanya tidak menghalang PAS dari terus melaksanakan amanah besar ini sebagai sebuah Gerakan Islam yang pastinya bertanggungjawab terhadap masa depan ummah.

Tugas dakwah ini digalas oleh semua , dari Presiden hinggalah ahli biasa dengan peranan masing – masing berasaskan keupayaan atau kemahiran mereka malah turut menghormati tahap keupayaan masing - masing.

Maudhu' ( kandungan ) dakwah PAS sangat jelas [4] , menepati apa yang diajar oleh Allah swt. PAS mendekati semua lapisan masyarakat . Bermula dengan masyarakat yang tertindas hinggalah pemimpin yang menindas dan ummat yang lesu hinggalah ulama' yang bisu .

Pelbagai pendekatan diketengahkan dalam membawa mesej perjuangan. Dewan Pemuda PAS membawa pendekatan Pemuda sebagai Duta Kasih Sayang dan Penyelamat .

Pendekatan dakwah PAS melengkapi 2 kategori utama :

1 : Dakwah Ammah ( umum )

Kuliah Agama , Forum , Seminar
Ceramah Umum , Muzakarah , Debat
Motivasi , Demonstrasi
Penerbitan Buku , Penerbitan akhbar ,
Edaran VCD , Edaran Risalah ,
Talk Show , Dialog dll

2 : Dakwah Fardiyyah . ( khas )

Pertemuan Tertutup
Ziarah dan Dakwah
Aktiviti Amal Kebajikan

Dakwah PAS tidak bermusim dan tidak juga tertakluk kepada kepentingan pengaruh individu dan politik . Biarpun sehari selepas tamatnya pilihanraya , PAS telah memulakan aktiviti dakwahnya kepada masyarakat , demikian juga sehari selepas dibebaskan dari penjara pimpinan PAS terus melangsungkan dakwahnya.

Sekalipun dakwah yang dibawa oleh PAS tidak popular malah menerima tentangan sengit dari pelbagai pihak seperti hukuman hudud , PAS tetap menunaikan tanggungjawab dakwahnya dengan memberi penjelasan kepada masyarakat mengenai peri pentingnya Negara kita melaksanakan undang – undang dan peraturan Islam itu.

Biarlah kita kehilangan undi popular dan sokongan ramai yang membawa kita kalah dalam pilihanraya , namun dakwah untuk membawa Islam kesetiap pintu hati manusia tetap diteruskan.

Siasah ( politik )

Islam adalah agama yang syumul , merangkumi seluruh aspek kehidupan termasuklah politik. Mengasingkan politik dari perjuangan Islam ertinya mengurangkan sukatan perjuangan Islam yang telah diperjuangkan oleh Nabi saw. [5]

PAS meletakkan politik sebahagian dari tanggungjawab perjuangan yang mesti diperjuangkan.

Kini kuasa politik berada ditangan UMNO dan BN yang enggan melaksanakan syariat meskipun berbuih mulut mereka mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam . Malah UMNO dan BN telah menyuburkan bumi Malaysia ini dengan pelbagai maksiat dan mungkar yang telah dihalalkan melalui mazhab Islam Hadharinya.

PAS berkewajipan mengambil tampuk kuasa politik dari golongan yang enggan melaksanakan syariat Islam dan PAS telah berijtihad untuk menggunakan pendekatan aman dan damai tanpa peperangan dan pertumpahan darah , dalam usaha PAS mahu mengambil alih kuasa politik tersebut.

Realiti ini membawa PAS mendaftarkan organisasinya di bawah Pendaftar Pertubuhan dan ianya sah untuk bergerak di sisi undang – undang Negara waktu ini. Semua orang boleh mengakui bahawa Islam tidak boleh dilaksana tanpa kuasa politik. Justeru itu , penglibatan dibidang politik ( siasah ) adalah kewajipan besar untuk kembali mengangkat Islam ini ke tempat yang selayaknya sebagai agama suci .

KESIMPULAN

Saya tidak nampak alasan yang munasabah bagi pihak yang menolak perjuangan PAS. Mereka barangkali boleh untuk tidak menyertai PAS , tetapi untuk mereka menolak dan menafikan perjuangan PAS adalah suatu yang sangat tidak adil.

Kelemahan dan kesilapan boleh diperbaiki jika ada. Menolak dan menafikan perjuangan sucinya yang diasaskan sejak tahun 51 yang lalu memerlukan alasan yang konkrit dan dalil yang pasti , bukan beralaskan emosi dan sentiment perbedaan kumpulan.

Saya selalu menegaskan kepada umum , jika terdapat suatu yang dilakukan oleh PAS bercanggah dengan syariat dan sunnah , sila nyatakan ! Jika ianya berbentuk dakwaan , sila kemukan bukti !

Kita mencari kebenaran . Andai benar atau ada , PAS melakukan perkara yang bercanggah dengan syariat , saya dan seluruh ahli PAS yang ikhlas terhadap perjuangan pasti akan menyanggahinya. Namun begitu , janganlah tuduhan melulu tanpa lampiran bukti , dakwaan palsu tanpa kepastian dalil dan emosi berprasangka tanpa berlaku adil.

[1] Fasal 3 . Perlembagaan PAS : Dasar PAS ialah Islam .
Fasal 4 . Perlembagaan PAS : Seruan PAS ialah ALLAHU AKBAR .

[2] Fasal 5 . Perlembagaan PAS : Tujuan PAS ialah :

1 : Memperjuangkan wujudnya di dalam Negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai – nilai hidup Islam dan hokum – hukumnya menuju keredhaan Allah .

2 : Mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan Negara .

[3] ولتكن منكم أمة يدعون إلى الخير و يأمرون بالمعروف و ينهون عن المنكر و أولئك هم المفلحون
" dan hendaklah ada dikalangan kamu ummat yang berdakwah kearah kebaikan , menegakkan syariat dan mencegah kemungkaran dan mereka adalah golongan yang beroleh kemenangan."

Surah ali – imraan : 104

[4] Fasal 6 . Perlembagaan PAS : Usaha – usaha :

1 . Menyeru ummat Manusia kepada syariat Allah dan Sunnah RasulNya melalui dakwah secara lisan , tulisan dan amalan .

2 . Memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syariah serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai – nilai keislaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan disegenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran , ekonomi dan social serta pelajaran dan pendidikan .

[5] فما لا أصل له فمهدوم و ما لا حارس له فضائع الدين أصل و السلطان جارس
" Agama adalah tapak dan pemerintah ( kedaulatan ) adalah pengawal , suatu yang tiada tapak pasti runtuh dan suatu yang tiada pengawal pasti hilang ." – al Imam Ghazali dalam Ihya' Ulumiddin

posted by Us.Hj. Nasrudin Hj. Hassan At Tantawi

Saturday, March 29, 2008

Bantahan Perlantikan Zaid Ibrahim

To: Umat Islam Malaysia

Petisyen ini adalah satu cara untuk menunjukkan bantahan anda selaku Umat Islam kepada Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Abdullah Badawi terhadap perlantikan Zaid Ibrahim sebagai Menteri yang bertanggungjawab terhadap portfolio perundangan di Malaysia.Zaid Ibrahim adalah nama yang sinonim dan terkenal sebagai pembela kuat IFC (http://bantahifc.bravehost.com/).Zaid telah mempersoalkan keperluan Fasal 121A di dalam Perlembagaan Persekutuan.Zaid Ibrahim juga terlibat dalam sesi-sesi penerangan(lihat:http://www.article11.org/Resources/resources.html) IFC dan Artikle 11.Zaid juga telah membuat kenyataan mengalakkan perjudian atau loteri untuk tujuan derma.Adakah Zaid Ibrahim anda mahu sebagai pendokong undang-undang di negara Malaysia?Jika tidak..nyatakan bantahan anda!!

Untuk menandatangani petisyen bantahan
ini, sila ke laman web
http://www.petitiononline.com/notozaid/petition.html

Thursday, March 27, 2008

Jom Pakai Riben Kuning

Reaksi UMNO terhadap pelantikan Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu jelas menunjukkan betapa biadapnya puak-puak UMNO terhadap institusi beraja di Malaysia terutamanya kepada Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin. Ternyata kata-kata UMNO terhadap Lim Kit Siang telah memakan diri mereka sendiri. Takdir Allah telah menunjukkan segala korupsi yang berlaku di dalam UMNO. Akhbar Berita Harian semalam, 26/3/08 melaporkan bahawa alumni Sekolah Menengah Sultan Sulaiman menyokong penuh keputusan pihak istana melantik Ahmad Said sebagai MB Terengganu. Tuanku Mizan merupakan bekas pelajar sekolah berkenaan dan ahli alumni sekolah tersebut terdiri daripada sahabat-sahabat baginda di zaman persekolahan dahulu.

Seandainya tentangan oleh puak UMNO terhadap keputusan istana ini berlanjutan, berkemungkinan besar pilihan raya akan diadakan semula di negeri Terengganu. Semua jentera pilihan raya di Terengganu kini bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan tersebut. Berikutan tentangan UMNO terhadap keputusan pihak istana, semua rakyat digesa untuk memakai riben kuning bagi menyatakan sokongan terhadap keputusan Yang Di-Pertuan Agong. Riben kuning tersebut perlu diikat di kereta masing-masing. Pemakaian riben ini perlu diteruskan sehingga isu pelantikan MB Terengganu ini selesai sepenuhnya. Ini bertujuan untuk menyatakan sokongan padu rakyat terhadap keputusan Tuanku Mizan sekaligus sebagai protes terhadap sikap biadap yang ditunjukkan UMNO.

Idris, Rosol dan Din Adam ditarik gelaran Datuk

KUALA TERENGGANU, 26 Mac:
Tiga pemimpin Umno Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh, Datuk Rosol Wahid dan Datuk Din Adam telah ditarik balik gelaran mereka oleh istana Terengganu.

Menurut sumber yang rapat dengan istana, penarikan gelaran ketiga-tiag mereka itu berkuatkuasa serta merta.

Dalam pada itu, Datuk Muhamad Awang Tera (Chukai) telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar Terengganu, satu jawatan yang tidak pernah wujud sebelum ini.

Sebuah NGO, Majlis Pemesyuaratan Rakyat Terengganu (Mampat) dan beberapa NGO lagi akan menganjurkan solat hajat di masjid Terapung, Kuala Ibai malam esok untuk memohon kepada Allah untuk keselamatan baginda Sultan Terengganu dan anakanda baginda yang menjadi Pemangku Raja.

Ia akan diadakan bermula sembahyang Isya secara berjamaah di masjid berkenaan dan bakal diimami oleh Iman Masjid Negara, Sheikh Ismail Al Hafiz.

10 sebab mengapa Idris tidak wajar direstui jadi MB

Mat Zain Mat Isa, HARAKAH

Kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, mengenai kedudukan dan peranan Yang diPertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dalam kemelut pelantikan Menteri Besar Terengganu bagaikan menjawab teka-teki mengenainya yang kini bersarang di benak rakyat negara ini.

Dalam kenyataan disiarkan kebanyakan media semalam (Rabu, 19 Mac), Abdul Gani menjelaskan Tuanku Mizan yang juga Sultan Terengganu tidak mempunyai apa-apa peranan mengikut undang-undang dalam pelantikan itu.

Menurutnya, urusan pelantikan Menteri Besar terletak sepenuhnya kepada Pemangku Raja dan Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) Terengganu.

"Yang diPertuan Agong menyedari sepenuhnya mengenai peruntukan itu dan Baginda tidak boleh mencampuri urusan pelantikan Menteri Besar," akhbar melaporkan kenyataan Abdul Gani.

Penjelasan Abdul Gani adalah ekoran spekulasi yang bertiup kencang mengenai kedudukan Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu, Dato' Seri Idris Jusoh sebagai Menteri Besar yang tidak disenangi pihak istana.

"Mengikut Perkara 34 (1) Perlembagaan Persekutuan, Yang diPertuan Agong tidak boleh menjalankan fungsi Baginda sebagai Raja Negeri Terengganu kecuali sebagai Ketua Agama Islam," jelas Abdul Gani lagi.

Kemelut pelantikan Menteri Besar Terengganu kini sudah masuk hari ke 12. Tidak dapat dipastikan bilakah ianya bakal berakhir, selagi punca atau sebab-musabab kepada kemelut itu tidak dileraikan.

Ekoran keadaan tidak menyenangkan itu, timbul berbagai tanggapan dan spekulasi mengenai hubungan Idris dengan pihak istana. Meski pun perkara itu sukar dipastikan, kenyataan Abdul Gani tadi bagaikan mengesahkan perkara itu.

Jika tidak demikian, apa perlunya seorang Peguam Negara membuat penjelasan mengenai peranan dan kedudukan Yang diPertuan Agong dalam pelantikan seorang Menteri Besar di negeri Baginda?

Bahkan, kenyataan Abdul Gani yang menyebut, "Baginda tidak boleh mencampuri urusan pelantikan Menteri Besar" seolah-olah meletakkan batas sempadan kuasa terhadap Baginda dalam perkara ini.

Ekoran penjelasan Abdul Gani itu, yang turut menjelaskan spekulasi selama ini, berbagai pihak mahu tahu lebih mendalam apa sebenarnya yang telah dilakukan Idris sepanjang sepenggal menjadi Menteri Besar sebelum ini sehingga menyebabkan pihak istana dikatakan tersangat tidak senang dengan beliau.

Berdasarkan tinjau pendapat dan maklumbalas yang dikumpul daripada beberapa rakan di Terengganu, beserta beberapa maklumat yang telah sedia diketahui, berikut disenaraikan beberapa kemungkinan yang barangkali menjadi sebab-musabab kepada keadaan tersebut. Ia tidak semestinya tepat, tetapi boleh dijadikan sandaran hujah.

Pertama, Idris telah membuktikan dirinya sebagai pemecah-belah rakyat Terengganu. Kehidupan rakyat diporak-perandakan hingga ke akar umbi. Rakyat dipisahkan secara nyata menerusi garisan politik.

Pilih kasih dan penindasan berlaku, terutama kepada golongan penyokong pembangkang dalam hampir setiap aspek kehidupan. Tiada lagi kehidupan harmoni, saling sayang-menyayang atau berbaik sangka, terutama apabila dikaitkan dengan kecenderungan politik masing-masing.

Permusuhan tidak terbatas kepada parti berlawanan saja, malah Idris turut menyemarakkan perpecahan di kalangan para pemimpin dan ahli partinya sendiri. Pertelagahan kepimpinan di antara puak-puak bersengketa di Terengganu bukan saja gagal diselesaikan Idris, malah semakin diparahkannya.

Idris secara terang-terangan mencantas musuh-musuh politiknya, atau sesiapa saja yang dilihat boleh menggugat kedudukan politik anak-anak buahnya. Permusuhan makin membarah di dalam batang tubuh Umno sendiri.

"Sebagai payung tempat rakyat bernaung, apakah Tuanku Sultan akan selesa apabila rakyat Baginda hidup berpuak-puak dan bermusuhan? Siapa lagi paling bertanggungjawab menyuburkan perpecahan itu, jika tidak Idris?", tanya seorang rakan di Batu Enam, Kuala Terengganu.

Kedua, pemerintahan Idris dipenuhi aksi-aksi zalim dan rakus terhadap rakyat. Perkara ini telah penulis sebut dua hari lalu, tapi perlu diulangsebut semula. Idris merampas tanah dianugerahkan kerajaan PAS kepada rakyat, merobohkan rumah-rumah yang sedang mereka dirikan. Tidak sedikit air mata rakyat tumpah kerana kezaliman itu.

Paling melukakan hati umat Islam ialah apabila Idris tergamak merobohkan sebuah masjid di Bujal, Kemaman. Serakah politik beliau telah menutup sebarang penyelesaian lebih rasional, walau pun melibatkan tempat suci agama itu.

�Amaran Allah dalam al-Quran bab zalim ni sangat keras. Jangan dikatakan untuk menzalimi orang, untuk berbaik-baik dan menyokong orang yang zalim saja pun dah layak disentuh api neraka,� ulas seorang ustaz di Besut pula.

Baginya, tidak mustahil maksud ayat al-Quran ini dihayati Tuanku Sultan sehingga menyebabkan Baginda tidak merestui Idris meneruskan kuasanya di Terengganu. Baginda mungkin tidak rela dipertanggungjawabkan di sisi Allah kerana memberikan kuasa kepada seorang yang zalim.

Ketiga, pemerintahan Barisan Nasional pimpinan Idris macam kumpulan mafia atau samseng. Kongkongan dan pengawasan terlalu ketat terhadap pegawai dan kakitangan awam.

"Berbagai peraturan dan intipan dikenakan ke atas kakitangan. Mereka sangat tertekan dan jiwa terkongkong. Berkhidmat dalam keadaan sentiasa bimbang disalaherti atau dipandang serong oleh kerajaan", ulas Amdang, seorang penulis blog dari Setiu.

Para pengintip ada di mana-mana. Rakyat tidak berani membuka mulut mengenai rasa tidka puas hati mereka terhadap kerajaan.

Dalam keadaan lain, orang-orang politik sangat berkuasa. Jangan dikatakan wakil rakyat, seorang Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang hanya lulus SRP pun berani menepuk meja dan mengherdik pegawai tinggi kerajaan yang tidak sedia mengikut kehendak mereka.

"Pegawai kerajaan dibuat macam kuli batak, kena ikut telunjuk puak-puak samseng ni," kata seorang kakitangan kerajaan di Kuala Terengganu.

Keempat, Idris seorang pemimpin yang boros. Dia akan buat apa juga projek yang terlintas di fikirannya, tanpa mengira berapa kosnya. Dia seolah-olah tidak pernah fikir tentang bagaimana mendapatkan wang. Yang dia tahu hanya bagaimana membelanjakannya.

Jaminan kerajaan Pusat menghulurkan bantuan kepada Terengganu ditumpukannya kepada projek-projek mega dan mewah. Berbilion ringgit duit negara dihabiskannya atas projek besar yang hanya sedikit memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat tempatan.

"RM300 juta di Pulau Duyong, RM270 juta di Pulau Wan Man, ratusan juta lagi di stadium, apa rakyat Terengganu dapat?," tanya seorang rakan, anak jati Pulau Duyong.

Bagi beliau, projek-projek besar itu lebih menjurus kepada pembaziran. Sedangkan, kata beliau, orang yang suka membazir disifatkan Allah di dalam al-Quran sebagai "kawan syaitan".

"Layakkah 'kawan syaitan' dipilih Tuanku Sultan menjadi pemimpin rakyat Baginda?", tanyanya lagi.

Kelima, Idris seorang pemimpin yang tamak dan terlalu gelojoh. Dia suka membolot segala peluang, terutama dalam menghabiskan peruntukan di bawah Wang Ehsan diberikan kerajaan Pusat.

Pihak paling beruntung dalam hal ini ialah kroni Idris. Sama ada kroni itu dari luar atau dari daerahnya Besut, pokoknya para kontraktor dan usahawan lain di Terengganu sendiri sekadar berputih mata.

Bayangkan sebesar projek di dua pulau (Pulau Duyong dan Pulau Wan Man), apa yang kontraktor Terengganu dapat? Bayangkan pula projek di Kemaman pun dibolot kontraktor dari Besut juga!

Keenam, Idris gagal menghormati dan menjaga kemuliaan Institusi Raja. Maaf cakap, dalam hal ini sesiapa pun yang mengenali Idris dan biasa bersamanya dalam mana-mana majlis rasmi pasti akan mengakui Idris memang jenis yang tidak menghiraukan protokol.

Sebuah siaran yang disebarluas di Terengganu dua minggu lalu memetik kata seorang yang dikatakan sering mengiringi Tuanku Sultan dalam majlis-majlis bersama Idris. Beliau terkejut mendengar cara Idris berbahasa dengan Tuanku Sultan.

"Saya pelik dan terkejut apabila mendengar Dato' Idris menggunakan bahasa "I" "You" apabila bercakap dengan Tuanku.... saya tak pernah dengar cara perbualan seperti itu. Malah Dato' Seri Haji Hadi yang warak dan disanjung-sanjung sebagai Tuan Guru serta dihormati oleh Tuanku pun membahasakan dirinya "patik" dan membahasakan Tuanku Sultan sebagai "Tuanku�. Ini Dato' Idris bercakap dengan Tuanku "I" "You", "I" "You"... Ini sungguh biadap," siaran itu memetik kata orang tersebut.

Idris juga mencemarkan kemuliaan istana apabila sewenang-wenangnya menggunakan Logo DiRaja Tangkai Padi pada logo baru Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT). Dikatakan perbuatan biadap itu mendapat teguran Tuanku Sultan.

Tangkai Padi dianggap personal emblem (lambang peribadi) DiRaja dan bukan boleh digunapakai sewenangnya. MBKT akhirnya menukarkan Tangkai Padi itu dengan Bunga Tulip pada logo barunya.

Ada juga maklumat menyebut Tuanku Sultan makin jauh hati dengan Idris apabila hanya diundang merasmikan Masjid Kristal yang menjadi sebahagian Taman Tamadun Islam (TTI). Sedangkan TTI itu sendiri dirasmikan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Badawi. Nampak sangat Idris ni tak tahu protokol, bukan?

Ketujuh, Idris sangat suka bercakap bohong. Didakwanya Terengganu juara UPSR tujuh tahun berturut-turut, sedangkan semua orang tahu fakta itu tidak betul.

Idris mendakwa sejak BN perintah, rakyat Terengganu hidup senang-lenang. Sedangkan ada rakyat yang sangat merempat, hidup dengan mencari rezeki di pusat pelupusan sampah, hidup dengan memakan ubi rebus, lempeng dan biskut. Ada rakyat menjadi pengemis di tangga tokong Cina.

Banyak lagi fakta bohong disebut Idris. Paling melukakan rakyat ialah apabila Idris tergamak berbohong kepada Tuanku Sultan mengenai budak-budak enam tahun khatam al-Quran. Lebih 2,000 orang didakwa dah khatam. Tuanku Sultan dipaksa percaya fakta itu dan diminta menyempurnakan majlis khatam itu, sedangkan Idris tipu hidup-hidup. Mana ada sampai 2,000 budak tu yang khatam?

Kelapan, pemerintahan Idris banyak membawa dan menyuburkan maksiat di bumi Terengganu. Konsert artis, pertandingan karaoke, pertumbuhan pub dan diskodut sangat rancak sejak BN memerintah.

Pembangunan Pulau Duyong juga membawa sama pesta maksiat ke bumi Tok Sheikh Duyong, seorang ulama tersohor di Nusantara zaman dulu.

Kesuburan maksiat sekaligus menghilangkan keberkatan hidup yang sangat didambakan rakyat dewasa ini.

Kesembilan, Idris mengabaikan kedaulatan agama. Masjid tandus, selain dipecah-belahkan atas sentimen politik. Elaun penceramah agama tidak diambil berat sehingga ada penceramah mogok dan tidak datang bertugas apabila elaun mereka dilewatkan.

Teguran ikhlas Tuanku Sultan mengenai kekurangan imam dan bilal di seluruh negeri gagal diselesaikan pentadbiran Idris. Mungkin Idris sengaja tidak mengendahkan teguran Baginda. Idris mungkin meluat apabila Baginda dalam membuat teguran itu turut menasihati kerajaan Idris mencontohi apa yang pernah dibuat kerajaan PAS dalam melahirkan tenaga imam dan bilal pelapis.

Jika pun atas sebab-musabab lain, Peguam Negara kata Tuanku Sultan tiada hak mencampuri urusan pelantikan Menteri Besar, sebagai Ketua Agama Islam, Baginda boleh berhujah bahawa Baginda hilang kepercayaan Idris dapat menjamin kedudukan dan kedaulatan agama di negeri Baginda.

Kesepuluh, ada puluhan sebab-musabab lain yang masih boleh disenaraikan sebagai kemungkinan kepada kemelut Idris-Istana ini. Penulis pulangkan perbincangan lanjut itu kepada semua pembaca.

Seperti yang disebutkan, apa yang disenaraikan tadi tidak semestinya betul seratus-peratus, tetapi tidak juga wajar ditolak atau diabaikan sepenuhnya.

Friday, March 7, 2008

Batal dakwat: Hujah paling dungu abad ini

Professor Lembah Kelang
Fri | Mar 07, 08 | 5:01:24 pm MYT

Keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 4 Mac 2008 untuk membatalkan penggunaan dakwat bagi menanda jari pengundi yang telah membuang undi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 adalah merupakan satu tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab dan menyerlahkan belang sebenar SPR.

Tindakan tidak bermaruah ini juga telah menambahkan lagi bilangan siri tindakan oleh SPR yang bertujuan untuk menyelamatkan Barisan Nasional (BN) dari menerima kekalahan dalam PRU ke-12 nanti.

Kemarahan rakyat terhadap SPR, iaitu satu institusi yang seharusnya melaksanakan amanah untuk menentukan masa depan negara tentu ada asasnya, tetapi api kemarahan sebenar seharuslah ditujukan kepada BN kerana parti inilah yang menjadi petualang sebenar yang memporak-peranda dan merosakkan sistem pilihanraya di Malaysia.

SPR memberikan tiga alasan semasa mengumumkan pembatalan tersebut iaitu: (1) faktor perundangan, (2) faktor keselamatan awam dan (3) faktor ketenteraman. Ketiga-tiga alasan tersebut adalah berkaitan antara satu sama lain.

SPR berhujah bahawa penggunaan dakwat pada jari untuk menanda sama ada seseorang itu telah mengundi atau belum adalah bercanggah dengan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan.

Sebagai seorang Perdana Menteri "caretaker government" pula, tentulah kita hairan bagaimana Abdullah Ahmad Badawi boleh memberikan komen beliau pada hari yang sama dengan kenyataan akhbar iaitu pada 4 Mac 2008. Komen dari Abdullah pula mengesahkan lagi keyakinan kita bahawa SPR sebenarnya mendapat arahan apabila Abdullah menyatakan " ... langkah SPR membatalkan cadangan menggunakan tanda dakwat kekal di kuku atau jari tangan pengundi pada PRU Sabtu ini bertujuan mengelakkan berlaku penganiayaan di kalangan pengundi berdaftar".

Hujah bahawa penggunaan dakwat itu dibatal kerana terdapatnya empat orang yang

menyeludup dakwat berkenaan adalah merupakan hujah paling dungu dalam abad ini.

Kita mungkin befikir, kenapa pihak keselamatan tidak menahan keempat-empat orang itu dan seterusnya mendakwa mereka ke mahkamah?

iranya wujud sekalipun keempat-empat penyeludup itu, apa masalahnya sehingga kita menafikan suatu proses demokrasi yang penting dalam negara?

Atau sememangnya Pengerusi SPR, Ketua Polis Negara dan Peguam Negara berfikir mungkin penyeludup ini akan bersidai di tepi-tepi jalan dan cuba untuk memegang tangan orang ramai yang lalu lalang untuk mencalit dakwat berkenaan kepada setiap orang?

Kalau mereka hendak menjadi penyelamat BN sekalipun, janganlah memperbodohkan rakyat dengan hujah yang sedemikian rupa!

Tidakkah Pengerusi SPR, Ketua Polis Negara dan Peguam Negara sedar bahawa pada tahun 2004, SPR India (Election Commision of India) umpamanya telah mengendalikan seramai 671 juta pengundi berdaftar (bukan hanya 10 juta pengundi seperti di Malaysia), dengan menggunakan dakwat keluaran Mysore Paints and Varnish Ltd (dakwat yang sama dibeli oleh SPR) tanpa ada sebarang masalah sejak dari tahun 1937 lagi. Dakwat yang sama juga digunakan oleh negara seperti Afghanistan, Cambodia, Thailand, Singapore, Nigeria, South Africa dan Canada.

Sekiranya alasan percanggahan dengan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan menjadi satu masalah, maka kenapakah pihak Pengerusi SPR dan Peguam Negara gagal mencadangkan kepada kerajaan supaya memasukkan catatan atau mencadangkan pindaan Perlembagaan untuk memberi peruntukan kepada penggunaan dakwat tersebut sedangkan Dewan Rakyat masih bersidang sehingga pertengahan bulan Disember 2007?

Pengerusi SPR pula mengumumkan pada 13 Ogos 2007 bahawa dakwat kuku akan digunakan dalam PRU ke-12 setelah pihak Majlis Fatwa mengesahkan penggunaannya (rujuk Utusan malaysia, 14 Ogos 2007).

Ini menunjukkan bahawa pihak Pengerusi SPR dan kerajaan BN (yang sepatutnya membawa pindaan Perlembagaan sekiranya perlu) sememangnya tidak mahu penggunaan dakwat itu dalam PRU ke-12 ini.

Atau sememangnya pihak Peguam Negara sangat bebal dan tidak tahu memberi nasihat kepada kerajaan BN kerana sibuk dengan kes Suwandi dan Azman di Kuala Terengganu!

Ribuan 'pengundi hantu' ke Terengganu

Malaysiakini.com
Fri | Mar 07, 08 | 5:43:01 pm MYT

KUALA TERENGGANU, 7 Mac (Malaysiakini) - PAS mendakwa 190 buah bas dan 2,000 kereta yang membawa "pengundi hantu" telah dan sedang menuju ke Terengganu dan Kelantan untuk memastikan kemenangan BN.

"Ini angka yang dapat dikesan (oleh PAS), mungkin lebih ramai lagi," kata pesuruhjaya PAS Terengganu Datuk Mustafa Ali.

Beliau mendakwa, projek membawa masuk pengundi-pengundi ini dijalankan oleh sebuah syarikat agensi pelancongan yang mendapat kontrak daripada sebuah yayasan milik kerajaan negeri itu.

Dalam sidang medianya pagi tadi, Mustafa mendakwa lagi, sebahagian besar mereka yang menaiki bas itu pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi, termasuk pelajar dari luar negara.

Terdapat juga pekerja asal Indonesia dan Burma di atas bas-bas terbabit, katanya lagi.

Menurut Mustafa, mereka sekarang ditempatkan di sekolah, chalet dan resort, selain pusat tahanan imigresen di Ajil, Hulu Terengganu.

Menurut tafsirannya, "pengundi hantu" itu terbahagi dua kategori: pekerja asing termasuk Indonesia yang bekerja dengan syarikat-syarikat di luar Terengganu, dan rakyat Malaysia yang tidak pernah tinggal di Terengganu tetapi mendaftar untuk membuang undi di negeri ini.

Beliau menggesa petugas-petugas parti itu menahan seseorang yang disyaki sebagai pengundi hantu di pusat-pusat mengundi esok.

Agen tempat mengundi, kata Mustafa, terdiri penduduk tempatan yang menyokong PAS dan mereka boleh mengenali wajah orang-orang luar yang cuba membuang undi.

"Jika mereka rasa was-was, mereka boleh minta pengundi tersebut isi borang untuk mengenal pasti identiti sebenar pengundi," katanya.

Sambil menegaskan beliau mempunyai bukti atas dakwaan-dakwaan ini, Mustafa berkata beliau dimaklumkan bahawa Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh telah mengadakan taklimat kepada pemimpin Umno tiga hari lalu.

Dalam taklimat tersebut, dakwa pemimpin PAS itu lagi, Idris yang juga pengerusi BN negeri berkata mereka mempunyai cara untuk menang, termasuk menggunakan pengundi hantu dan kad pengenalan palsu.

Mustafa, yang juga pengarah pilihanraya pusat PAS, berkata daftar pemilih di Selangor yang dikeluarkan untuk hari pengundian berbeza dengan daftar awal yang diedarkan sejak hari penamaan calon.

Katanya, pada pilihanraya 2004 kejadian seumpama itu pernah berlaku di Selangor sehingga perkara itu dibawa ke mahkamah.

Sidang media itu yang diadakan di pejabat perhubungan PAS negeri di Kuala Terengganu selepas tersebar berita sembilan bas telah ditahan awal pagi ini oleh penyokong-penyokong sebuah parti politik kerana disyaki membawa pengundi luar.

Mustafa juga menyatakan PAS menjangka dapat memenangi 17 daripada 32 kerusi DUN di negeri itu. - tajdid

Pemimpin Gerakan Ikhwan Eropah gesa rakyat Malaysia sokong PAS


Pemimpin Gerakan Ikhwan Eropah gesa rakyat Malaysia sokong PAS Susunan: Nur Ab Rahman Thu | Mar 06, 08 | 10:20:48 pm MYT

UNITED KINGDOM, 6 Mac (Hrkh) - Pemimpin Gerakan Ikwan Muslimun di United Kingdom, Dr Kamal al-Helbawy menggesa rakyat Malaysia supaya menyokong PAS di dalam pilihan raya umum ke-12, Sabtu ini. Tegas beliau, demokrasi dan kebebasan sepatutnya boleh memberikan peluang kemenangan kepada Islam untuk memerintah di dunia ini. Dr Kamal merupakan Pengasas Muslim British Association (MBA), iaitu penaung kepada gerakan-gerakan Islam di United Kingdom. "Kebebasan berpolitik lebih dinikmati di Indonesia berbanding Malaysia. Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi sepatutnya bersikap lebih terbuka dan adil dalam menghadapi pembangkang," katanya dalam satu wawancara bersama Kelab Maya Barisan Rakyat Malaysia Eropah di sini, baru-baru ini. Dr Kamal juga kagum dengan kepimpinan dan intergriti Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS, Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang ketika mentadbir negeri Kelantan dan Terengganu. "Saya menyeru kepada seluruh pertubuhan Islam dan kumpulan nasinonalis di Malaysia supaya bersatu dan bersama-sama mendokong perjuangan yang didokong oleh PAS sebagai wadah utama untuk mencapai kemenangan Islam seterusnya membawa keadilan sejagat di tanah air. Ujar Dr Kamal lagi, kedua tokoh pimpinan PAS itu perlu menjadi pilihan rakyat untuk memimpin sebuah negara yang adil, berlandaskan Islam yang sebenar. Beliau turut menyebut nama pimpinan PAS yang lain seperti Ustaz Azizan Razak, Ustaz Hasan Shukri dan Ustaz Yahya Othman yang pernah bersama-sama beliau di dalam gerakan Islam di peringkat antarabangsa. Beliau turut mengkritik tindakan kerajaan negara ini yang mengadakan pilihan raya lebih awal bagi menafikan kelayakan Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding. Bagi beliau, Anwar boleh dianggap sebagai pemimpin yang berkarismatik dan bersih. Sementara itu, Pengerusi Himpunan Teknorat dan Profesional Melayu Eropah (HEMAT), Dr Haji Abu Tuah Hisyam berkata, rata-rata komuniti Melayu di UK dan Eropah begitu mengharapkan perubahan dalam kepimpinan negara di Malaysia. Ini katanya kerana sudah 50 tahun rakyat diperbodohkan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN). HEMAT merupakan sebuah badan profesional dan teknokrat Melayu yang bekerja di seluruh benua tersebut. "Kami daripada jauh dapat melihat kebobrokan pemerintahan negara di bawah kerajaan BN. Kebebasan yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat telah dirampas sewenang-wenangnya. Imej negara semakin buruk terutama di dalam media Eropah ekoran pencabulan sistem demokrasi dan beberapa penipuan dalam sistem pilihan raya ketika ini. "Pemikiran rakyat telah ditutup dengan pelbagai penipuan dan akta. Rakyat tidak lagi bebas bersuara, sedangkan kebebasan itu merupakan intipati ajaran Islam yang diamalkan secara meluas di barat sehinggakan mereka mampu menjadi bangsa yang menguasai tamadun dunia hari ini," ujar beliau yang bekerja sebagai Research Fellow di sebuah universiti terkemuka di London. Tambah beliau lagi, kemenangan pasti akan tercapai sekiranya seluruh gerakan Islam lain bersatu di bawah PAS. "Sekiranya PAS tidak mencapai kemenangan kali ini, rakyat Malaysia akan terus dibelenggu gula-gula politik Umno dan Barisan Nasional, kami di sini merayu rakyat Malaysia berilah sokongan undi kepada PAS dan Barisan Alternatif di Malaysia," ujarnya. - mns