Buat mereka yang mungkin telah terlepas peluang keemasan yang ditawarkan oleh Allah di bulan Ramadhan, juga buat mereka yang merindui ruh ibadah seperti bulan Ramadhan, jangan lah bersedih kerana sesungguhny Allah kembali membuka seluas-luasnya pintu kerahmatan di bulan Dzulhijjah bermula pada hari ini sehingga kemuncaknya pada 9 Dzulhijjah. Ini berdasarkan hadith Nabi saw yang bermaksud:
Daripada Ibnu Abbas r.a, Rasulullah saw besabda: " Tidak ada hari yang amal soleh padanya lebih dikasihi Allah selain daripada hari-hari sepuluh ini (sepuluh hari pertama Dzulhijjah)." Para sahabat bertanya: Walaupun berjihad di jalan Allah? Rasulullah saw bersabda: "Walaupun berjihad di jalan Allah, kecuali lelaki yang keluar berjihad membawa diri serta hartanya dan tidak kembali lagi selepas itu (syahid)." (Riwayat Ahmad dan Tirmidzi)
Kelebihan sepuluh hari awal bulan Dzulhijjah ini telah ditulis di dalam rislah asal yang bertajuk Fadl Ayyam 'Asyr Dzulhijjah.
Kelebihan sepuluh hari awal Dzulhijjah
الحمد لله رب العالمين, والصلاة والسلام على سيد المرسلين ..... وبعد:
Di antara kelebihan dan kurniaan Allah untuk hamba-Nya ialah dijadikan bagi mereka beberapa musim untuk memperbanyakkan amal ibadat dengan dijanjikan pahala yang berganda banyaknya. Salah satunya ialah:
Sepuluh hari yang terawal pada bulan Zul-Hijjah.
Beberapa dalil dari Al-Quran dan Hadis telah menyebut tentang kelebihannya:
Firman Allah I:
وَالْفَجْرِ وَلَيَالٍ عَشْرٍ (سورة الفجر: 1-2
"Dan demi waktu fajar, dan malam yang sepuluh itu." (Al-Fajr:1-2)
Yang dimaksudkan di sini ialah sepuluh malam yang pertama pada bulan Zul-Hijjah. Demikian juga tafsiran Ibnu Abbas, Ibnu Az-Zubair, Mujahid dan lainnya. (Di riwayatkan oleh Imam Bukhari).
2. Dari Ibnu Abbas r.a, Rasulullah saw telah bersabda:
( ما من أيام, العمل الصالح فيهن أحب إلى الله من هذه الأيام العشر). قالوا: ولا الجهاد في سبيل الله؟ قال : (ولا الجهاد في سبيل الله إلا رجل خرج بنفسه وماله فلم يرجع من ذلك بشيء ).
[رواه البخاري 969، وأحمد 1968، والترمذي 757، واللفظ له].
Maksudnya: “Tidak ada hari yang amal soleh padanya lebih dikasihi Allah selain dari hari-hari yang sepuluh ini.” Para sahabat bertanya: Walaupun berjihad di jalan Allah? Rasulullah bersabda: “Walaupun berjihad di jalan Allah, kecuali lelaki yang keluar (berjihad) membawa diri serta hartanya dan tidak kembali lagi selepas itu (syahid).”(H.R: Al-Bukhari, Ahmad, At-Tirmizi).
3. Firman Allah I:
}وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فِي أَيَّامٍ مَّعْلُومَاتٍ{ [سورة الحج: 28]
Maksudnya: "Hendaklah kamu menyebut nama Allah pada hari-hari yang ditentukan." (Al-Haj:28)
Kata Ibnu Abbas : Maksudnya ialah hari-hari yang sepuluh itu.
4. Dari Ibnu Umar r.a, Rasulullah saw bersabda:
(ما من أيام أعظم عند الله، ولا أحب إليه العمل فيهن من هذه الأيام العشر، فأكثروا فيهن من التهليل والتكبير والتحميد)
[رواه أحمد 5446-صحيح]
Maksudnya: “Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah dari hari-hari yang sepuluh ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid.”
5. Adalah Said bin Jubir (perawi yang meriwayatkan Hadis Ibnu Abbas di atas) apabila tiba hari yang tersebut beliau beribadah bersungguh-sungguh sedaya-upayanya. (Riwayat Ad-Darimi- Hasan).
6. Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar: Yang jelasnya, di antara sebab keistimewaan sepuluh hari Zul-Hijjah ini ialah kerana terhimpun di dalamnya beberapa ibadat yang besar iaitu: solat, puasa, sedekah dan Haji. Pada waktu lain, ibadat-ibadat ini tidak pernah terhimpun sebegitu.
AMALAN-AMALAN YANG BAIK DILAKUKAN PADA HARI-HARI TERSEBUT:
1. SOLAT
Disunatkan keluar cepat menuju ke tempat solat fardhu (berjemaah) dan memperbanyakkan solat sunat kerana ianya sebaik-baik amalan.
Thauban berkata: Aku mendengar Rasulullah saw bersabda (maksudnya): “Hendaklah kamu memperbanyakkan sujud kepada Allah, kerana setiap kali kamu sujud kepada-Nya, Allah akan angkatkan darjatmu kepada-Nya dan dihapuskan kesalahanmu.” (H.R Muslim.)
Ini umum untuk semua waktu.
2. PUASA
Dari Hunaidah bin Khalid, dari isterinya, dari setengah isteri-isteri Rasulullah saw berkata: "Rasulullah saw berpuasa pada hari sembilan Zul-Hijjah, pada hari Asyura (10 Muharram) dan tiga hari pada setiap bulan." (H.R Imam Ahmad, Abu Daud dan Nasa’ei).
Kata Imam An-Nawawi: Berpuasa pada hari-hari sepuluh adalah sunat yang sangat digalakkan.
Di dalam hadith yang lain pula Raslullah saw bersabda: "...Sesiapa yang berpuasa pada salah satu daripada hari-hari tersebut (10 hari pertama Dzulhijjah) adalah seumpama berpuasa sepanjang tahun, beribadaha pada salah satu daripada malam-malam tersebut adalah seumpama beribadah di malam Lailatulqadr." (Riwayat At-Tirmidzi)
Berdasarkan hadith ini, malam-malam di 10 hari pertama Dzulhijjah adalah masa terbaik bagi umat Islam untuk kembali bermujahadah melaksanakan Qiamullail bagi meraikan tawaran kedua dari Allah selepas berlalunya Ramadhan. Selain itu, amat digalakkan untuk berpuasa terus bermula dari 1 Dzulhijjah hingga 9 Dzulhijjah, namun bagi yang tidak mampu adalah lebih afdhal untuk berpuasa pada 9 Dzulhijjah yang dianggap sebagai hari kemuncak kerana fadhilatnya yang lebih besar.
3. TAKBIR, TAHLIL dan TAHMID
Ini kerana hadis Ibnu Umar yang di atas mengatakan: “Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil (mengucapkan La-ilaha-illaLlah), bertakbir (mengucapkan Allahu-Akbar) dan bertahmid (mengucapkan Alhamdulillah).”
Kata Imam Bukhari: "Ibnu Umar dan Abu Hurairah r.a menuju ke pasar pada hari-hari sepuluh dan bertakbir. Orang ramai yang mendengarnya kemudian turut bertakbir sama."
Katanya lagi: "Ibnu Umar sewaktu berada di dalam khemahnya di Mina bertakbir, apabila orang ramai yang berada di masjid dan pasar mendengarnya, mereka turut bertakbir sama sehingga Mina riuh dengan suara takbir."
Ibnu Umar r.a bertakbir di Mina pada hari-hari tersebut selepas mengerjakan solat, pada waktu rehat, di dalam majlis dan di semua tempat. Maka sunat mengangkat suara sewaktu bertakbir berdasarkan perbuatan Sayyidina Umar, anaknya dan Abu Hurairah r.a.
Antara lafaz-lafaz takbir yang diriwayatkan oleh para sahabat dan tabiin:
الله أَكْبَر. الله أكْبَر. الله أكْبَر كَبِيْراً.
الله أكْبَر. الله أكْبَر. لا إِلهَ إِلا الله وَالله أكْبَر.
الله أكْبَر. وَلِلّهِ الْحَمْد.
الله أكْبَر. الله أكْبَر. الله أكْبَر. لا إِلهَ إلا الله وَالله أكْبَر.
الله أكْبَر. الله أكْبَر . وَلله الْحَمْد.
4. PUASA PADA HARI ARAFAH
Hendaklah berpuasa bagi sesiapa yang mampu pada hari Arafah (9 Zul-Hijjah) kerana amalan ini telah sabit dari Rasulullah r. Baginda telah bersabda mengenai kelebihannya.
(أحتسب على الله أن يكفر السنة التي قبله والسنة التي بعده)
[رواه مسلم]
Maksudnya: “Aku mengharapkan Allah menghapuskan kesalahan setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.” (H.R Muslim).
Antara hadith lain, Habsah pernah berkata bahawa Nabi Muhammad s.a.w tidak pernah meninggalkan pusa 9 Dzulhijjah, bahkan baginda pernah menyebut: "Tidak ada hari yang paling mulia yang dituntut umatku berpuasa melainkan puasa bulan Ramadhan dan puasa pada 9 Dzulhijjah."
Jumhur ulama mengatakan bahawa adalah mustahab berpuasa bagi mereka yang bukan jemaah Haji dan tidak digalakkan bagi mereka yang sedang menunaikan haji berdasarkan kepada hadith dari Umm Fadhil (isteri al-Abbas):
أنهم شكوا في صوم النبي صلى الله عليه وسلم يوم عرفة، فأرسلت إليه بلبن، فشرب، وهو يخطب الناس بعرفة
Maksudnya; "Bahawa mereka ragu akan puasa Nabi saw pada hari Arafah, maka dikirim kepada baginda susu lalu (baginda) meminumnya, dan beliau sedang berkhutbah di Arafah" - (Hadith riwayat Muttafaqun 'alaih)
Ia menunjukkan tidak disukai (tidak digalakkan) berpuasa bagi mereka yang berwuquf disaat yang agung ini, dan hikmah tidak berpuasa kerana kemungkinan akan melemahkan mereka dari melakukan zikir dan do'a, dan melakukan amalan-amalan haji.
5. KELEBIHAN HARI RAYA KORBAN (YAUM AN-NAHR), 10 ZUL-HIJJAH.Kebanyakan orang Islam telah lupa akan kelebihan hari ini. Kebesaran dan kelebihan perhimpunan umat Islam yang begitu ramai dari seluruh pelusuk dunia. Sesetengah ulama’ berpendapat hari ini ialah hari yang paling afdhal didalam setahun sehingga melebihi hari Arafah. Kata Ibnu Al-Qayyim: "Sebaik-baik hari di sisi Allah ialah hari Nahr, iaitu hari Haji yang besar (Hajj Al-Akbar)" seperti yang tersebut di dalam Sunan Abi Daud [No.1765],
Antara hadith Rasulullah saw yang bermaksud: “Sesungguhnya hari yang paling besar di sisi Allah ialah hari Nahr, kemudian hari Qar”. (Hari Qar ialah hari yang para jamaah haji mabit (bermalam) di Mina iaitu hari kesebelas Zul-Hijjah).
Setengah ulama' lain pula berpendapat hari Arafah lebih afdhal kerana berpuasa pada hari itu mengampunkan dua tahun kesalahan, tidak ada hari lain yang Allah merdekakan hamba-Nya lebih ramai dari hari Arafah dan pada hari itu juga Allah I turun menghampiri hamba-Nya dan berbangga kepada malaikat dengan hamba-Nya yang berwukuf pada hari tersebut.
Yang lebih tepatnya ialah pendapat yang pertama (Hari Nahr), kerana hadith telah jelas menyebutkan kelebihannya dan tidak ada yang menyalahinya.
Samada hari Nahr atau hari Arafah yang lebih utama, hendaklah setiap muslim, yang bermukim atau yang mengerjakan haji mengambil peluang ini dengan sepenuhnya untuk mendapatkan kelebihan beribadat pada keduanya.
6. SEDEKAH
Amatlah digalakkan bagi umat Islam untuk menggandakan amalan bersedekah lebih daripada biasa berdasarkan fadhilat 10 awal Dzulhijjah secara umum, di mana setiap amalan kebajikan akan digandakan ganjarannya.
CARA MENYAMBUT MUSIM KEBAJIKAN:
1. Setiap muslim hendaklah menyambut kedatangan musim kebajikan umumnya dengan bertaubat yang sebenar-benarnya, meninggalkan segala dosa dan maksiat kerana dosalah yang menyekat manusia dari kebaikan dan menjauhkannya dari Tuhannya.
2. Menanam semangat dan azam yang kuat untuk mendapatkan keredhaan Allah swt.
Firman Allah yang bermaksud: "Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, nescaya Kami tunjukkan kepada mereka jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar bersama mereka yang berbuat baik." (Al-Ankabut: 69).
Terdapat juga riwayat-riwayat yang lain menceritakan tentang kelebihan 10 hari awal Dzulhijjah antaranya:-
Nabi SAW bersadba:
“Tidak ada amalan yang lebih suci di sisi Allah dan tidak ada yang lebih besar pahalanya daripada kebaikan yang dia kerjakan pada sepuluh hari al-Adha (Dzul Hijjah). (Hadith riwayat Darimi 1/358 dengan sanad yang hasan, sebagaimana dijelaskan dalam al-irwa’ 3/398 oleh al-Albani).
Ibnu Rajab mengatakan, “Hadits ini menunjukkan bahwa beramal pada sepuluh hari bulan Dzul Hijjah lebih dicintai di sisi Allah daripada beramal pada hari-hari yang lain tanpa pengecualian. Apabila beramal pada hari-hari itu lebih dicintai Allah maka hal itu lebih utama di sisiNya”. (Lathaiful Ma’arif 458)
Abu Utsman al-Hindi (Lihat biografinya dalam Tahdzibut Tahdzib 6/249 oleh Ibnu Hajar) berkata: “Para salaf mengagungkan tiga waktu dari sepuluh hari yang utama. Sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadhan, sepuluh hari pertama pada bulan Dzul Hijjah, dan sepuluh hari pertama bulan Muharram”. (Lathaiful Maarif 39).
Bahkan Said bin Jubair apabila telah masuk sepuluh hari pertama bulan Dzul Hijjah beliau sangat bersungguh-sungguh dalam beramal, sampai tidak ada yang dapat menandinginya. (al-Irwa 3/398).
Sebahagian dari artikel ini telah diambil dan diolah dari risalah asal bertajuk Fadl Ayyam Asyr Zul-Hijjah, terbitan Dar Al-Watan, Riyadh dan telah disemak oleh: Sheikh Abdullah bin Abdur Rahman Al-Jibrin. Dialih bahasa oleh: Abu Anas Madani (Dr Abdul Basit Abd Rahman)
No comments:
Post a Comment