KEBANGKITAN generasi baru Islam dinanti...

Saturday, April 18, 2009

Sayap Kiri Perjuangan

Setelah 2 bulan menyepi dari menulis, alhamdulillah akhirnya hari ini dengan izin Allah S.A.W saya diberi kesempatan untuk kembali ke dunia penulisan. Melihat kepada tajuk artikel saya pada kali ini, saya yakin ramai di kalangan sahabat-sahabat yang sedang membaca artikel ini sudah mendapat gambaran secara kasar apa yang dimaksudkan dengan sayap kiri perjuangan. Lebih kurang 2 hari yang lepas saya sempat melawat beberapa blog sahabat-sahabat seperjuangan. Antara tajuk yang menarik perhatian saya adalah ‘entry’ di blog kak Nurul (zaujah ust syaari) yang bertajuk “Catatan seorang isteri.” Walaupun saya hanya sempat membaca secara ‘surface’ kandungan artikel tersebut, namun ia sudah cukup untuk memberi gambaran tentang isi yang ingin dihuraikan di dalam artikel tersebut. Seperti kak Nurul, saya juga cuba memasukkan entry ‘isteri seorang pejuang’ di dalam ‘google search’. Hasilnya keluarlah beratus-ratus website dan juga blog yang mengulas tajuk berkenaan. Antara yang paling popular adalah puisi yang ditulis khas buat isteri dan bakal isteri bagi seorang insan yang bergelar pejuang. Namun artikel saya pada kali ini bukanlah untuk mengulas puisi tersebut mahupun membuat ulasan artikel tulisan kak Nurul.



Sekadar ingin berkongsi sebuah sirah yang telah sekian lama dibaca di dalam sebuah buku yang saya kira antara koleksi terbaik saya, dibeli hampir 4 tahun lepas, bertajuk “Jangan bersedih, jadilah wanita yang paling bahagia” terbitan Al-Hidayah Publisher. Buku tersebut merupakan terjemahan daripada buku yang ditulis oleh Dr. ‘Aidh bin ‘Abdullah Al-Qarni yang merupakan di antara penulis yang saya kagumi. Merujuk kepada muka surat 169 yang bertajuk “Kisah seorang wanita melahirkan pahlawan”, Dr. ‘Aidh membawakan kisah isteri kepada Hubaib Ibn Musallamah Al-Fahri. Hubaib merupakan ketua pasukan tentera muslimin dalam peperangan menentang bangsa Romawi. Manakala isterinya merupakan salah seorang parajurit dan tentera di dalam pasukan muslimin tersebut. Sebelum peperangan bermula, isteri Hubaib datang menemui beliau lantas bertanya, “ Di mana aku dapat menemuimu apabila perang telah berkecamuk dan barisan pasukan tentera bercerai-berai?”

Hubaib menjawab, “ Engkau akan temukan aku di dalam khemah pemimpin Romawi atau engkau akan temukan aku di syurga!”

Setelah perang meletus, Hubaib berperang bersama pasukan tenteranya dengan keberanian yang tiada tandingannya dan akhirnya kemenangan berpihak kepada kaum muslimin. Lantas Hubaib segera menuju ke khemah panglima Romawi untuk menunggu isterinya. Alangkah terkejutnya Hubaib setelah tiba di khemah panglima Romawi apabila beliau mendapati isterinya terlebih dahulu berada di dalam khemah tersebut menanti kehadiran beliau.

Walaupun kisah ini telah dibaca setelah sekian lama, namun ia masih lagi tersemat diingatan saya sehingga kini kerana ia merupakan di antara sirah yang mampu membakar semangat juang saya agar terus thabat di jalan perjuangan ini. Sesekali terfikir, adakah aku mampu untuk menjadi mujahidah sehebat isteri Hubaib, turun ke medan perang demi menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini?

Sahabat-sahabat sekalian,

Sengaja saya bawakan kisah ini kerana mungkin masih ramai di kalangan kita belum pernah membaca serta mengetahuinya. Masih banyak lagi sirah yang sememangnya cukup untuk memberi gambaran betapa pentingnya muslimat sebagai sayap kiri perjuangan. Memetik mutiara hikmah yang pernah ditulis oleh Almarhum Syeikh Mustafa Masyhur dalam bukunya Tariqud Da'wah dalam bab Tegakkanlah Rumah Tangga Muslim di mana beliau menyebut :

"Saudara muslim yang sejati, wajib mencari puteri Islam yang sejati dan memilih yang beragama, yang memahami tugas dan risalahnya di dalam hidup ini. Menjadikan pasangan hidupnya sebaik-baik penolong di atas jalan dakwah. Sentiasa mengingatkannya apabila dia lupa, sentiasa memberi peransang dan tidak menghalanginya. Memelihara dirinya di waktu ketiadaan suaminya dan mendidik serta membentuk anak-anaknya menurut bentuk Islam yang sebenar-benarnya. Demikian juga puteri Islam yang sejati, tidak wajar dan tidak patut menerima sebarang jejaka untuk menjadi pasangan hidupnya kecuali seorang muslim yang sejati yang menjadi pendukung dakwah Islam. Saudara muslim juga wajib membentuk rumah tangga muslim yang sejati yang menurut tabiat dan lojiknya mesti menjadi markas dakwah Islam. Setiap anggota dakwah keluarga yang aqil baligh wajib menjadi sahibud-dakwah, pendukung dakwah, menyeru rumahtangga dan keluarga di sekitarnya kepada Allah dengan penuh kesabaran, dengan hikmah dan nasihat yang baik" (Tariqud-Da' wah, Cetakan Kedua,Pustaka Salam).

Petikan ini jelas menunujukkan betapa pentingnya peranan muslimat sebagai pembantu, penasihat, pendidik dan pengurus rumahtangga bagi memastikan kelancaran gerak kerja dakwah dan perjuangan seorang muslim. Muslimat juga memainkan peranan yang cukup besar bagi memastikan kelangsungan abna’ ul harakah sebagai penyambung mata-mata rantai perjuangan.

Satu lagi kisah yang menarik perhatian saya di dalam buku tersebut adalah pada muka surat 89, “Jalan menuju Allah merupakan sebaik-baik jalan”. Dr. ‘Aidh menyelitkan kisah seorang suami yang sedang bertengkar dengan isterinya lalu berkata,

“Sesungguhnya aku akan mencelakakanmu!”

Lantas isterinya menjawab, “Engkau tidak akan mampu.”

Suaminya berkata, “Mengapa tidak?”

Si isteri menjawab, “Jika kebahagiaan berada di dalam harta, maka engkau dapat mencegahnya dariku. Jika kebahagiaan berada dalam perhiasan, maka engkau dapat menahannya dari sampai kepadaku. Kebahagiaan itu bukan apa pun yang engkau miliki, atau dimiliki oleh manusia lainnya. Sesungguhnya aku menemukan kebahagiaanku dalam imanku yang ada di dalam hatiku, dan hatiku tidak dapat dikuasai oleh seorang pun melainkan oleh Tuhanku.”

Seorang muslimat yang bergelar mujahidah yang telah mewaqafkan dirinya di jalan perjuangan mestilah mempunyai matlamat hidup yang jelas serta mampu menentukan awlawiyat atau keutamaan dalam sebarang situasi. Sebagaimana Khadijah yang nekad memilih Rasulullah S.A.W untuk menjadi pendamping hidupnya. Oleh kerana beliau tertarik dengan keperibadian serta akhlak Rasulullah S.A.W serta yakin bahawa Rasulullah mampu untuk memimpinnya kepada kebaikan, Khadijah akhirnya memutuskan untuk menghantar utusan bagi meminang Rasulullah S.A.W menjadi suaminya. Sekalipun ia dikira melanggar tradisi Arab, di mana seorang wanita hanya boleh menunggu lamaran daripada lelaki.

Tujuan saya membawakan kisah ini bukanlah untuk mempromosikan ‘budaya’ perigi mencari timba. Di mana mengakibatkan sebahagian wanita kini menjadi terlalu obses untuk mencari pasangan hidup hingga hilang sifat malu yang menjadi kayu ukur keimanan mereka. Apa yang ingin saya tekankan di sini ialah bagaimana Khadijah mampu untuk memutuskan sesuatu yang dikira dapat memberi kebaikan kepada dirinya dan bagaimana matangnya pemikiran beliau dalam membuat keputusan. Elemen ini juga dapat dilihat dengan jelas dalam kisah sebelumnya di mana si isteri tidak sedikit pun goyah dengan ancaman suaminya kerana matlamat hidupnya adalah untuk menikmati kebahagiaan yang hakiki. Jiwa-jiwa seperti ini lah yang kita dambakan untuk terus hidup dalam masyarakat kita. Api dan semangat perjuangan inilah yang kita harapkan untuk terus menyala agar ia terus menerangi laluan kita bagi menempuh jalan perjuangan yang semakin sukar.



Buat semua mujahidah pejuang Islam,
Jadilah insan yang punya matlamat yang jelas yang tahu arah pergerakannya,

Sama ada ke kiri atau ke kanan, ke depan atau ke belakang…

Andai engkau tersilap langkah,

tiada salahnya untuk berpatah balik dan memulakan perjalanan yang baru…

Andai engkau jatuh tersungkur,
kuatkan semangatmu untuk terus bangun dan berlari ke hadapan…

Andai engkau gagal,
ketahuilah bahawa kegagalan itu tidak akan terus menjadi milikmu sekiranya kau terus berusaha demi mencapai kejayaan…
Andai engkau di dalam kesedihan,

Merintihlah di hadapan Rabb mu kerana hanya Dia yang mampu memberi ketenangan kepadamu…


Jadilah seperti pohon kurma,
Tinggi cita-citanya,

Kebal dari penyakit,

Dan bila dilempar batu, ia membalas dengan buah kurmanya…


Jadilah seperti lebah,

Makan dari yang baik dan mengeluarkan yang baik…

Apabila ia hinggap pada ranting, ia tidak mematahkannya,

Menghisap sari bunga tanpa menyengatnya,
Mengeluarkan madu tanpa menyengat,

Terbang dengan membawa kecintaan dan hinggap dengan membawa kasih sayang…

Ia mempunyai suara dengungan bagaikan berita gembira...
Serta suara desingan bagaikan ungkapan kepuasan…

Seakan-akan ia bagaikan malaikat yang ada di langit, turun ke bumi dari alam yang kekal…


Tinta Raudhah As-syifa’
18 April 2009

2.45 p.m

10 Amalan Yang Terbalik


Marilah kita bermuhasabah atau menilai dan menghitung kembali tentang amalan harian kita. Kadang-kadang kita akan dapati amalan kita adalah terbalik atau bertentangan dari apa yang patut dilakukan dan dituntut oleh Islam. Mungkin kita tidak sedar atau telah dilalaikan atau terikut-ikut dengan budaya hidup orang lain. Perhatikan apa yang dipaparkan di bawah sebagai contoh amalan yang terbalik:-


1. Amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga si mati selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah di mana Rasulullah telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk keluarga simati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka. Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyedia makanan dan belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir makan kenduri tersebut khuatir kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim yang ditinggalkan oleh simati atau harta peninggalan si mati yang belum dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?


2. Kalau hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin) orang kerap salam berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam). Kalau tak ada duit nak dikepit dalam tangan, maka segan ia nak pergi makan kenduri. Tetapi kalau ia menziarah orang mati, tidak segan pula salam tak berisi. Sepatutnya kalau menziarah keluarga si matilah kita patut memberi sedekah. Kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa kerana tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan untuk ia menambah pendapatan.


3. Ketika menghadiri majlis pemimpin negara kita berpakaian cantik kemas dan segak tetapi bila mengadap Allah baik di rumah maupun di masjid, pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tak berbaju. Tidakkah ini suatu perbuatan yang terbalik.


4. Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan di beri jamuan, kita rasa segan nak makan sampai habis apa yang dihidangkan kerana rasa segan dan malu, sedangkan yang dituntut dibanyakkan makan dan dihabiskan apa yang dihidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir.


5. Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah, sangat malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk mengelakkan rasa riak.


6. Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah orang Islam akan kita dapati perbelanjaan di bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun. Sedangkan sepatutnya perbelanjaan di bulan puasa yang terendah. Bukankah terbalik amalan kita?


7. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan membuat kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila balik dari Mekah tak buat kenduri pun. Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik? Atau kita mempunyai tujuan lain.


8. Semua ibu bapa amat bimbang kalau-kalau anak mereka gagal dalam periksa. Maka dihantarlah ke kelas tuisyen walau pun banyak belanjanya. Tapi kalau anak tak boleh baca Quran atau solat, tak bimbang pula bahkan tak mahu hantar tuisyen baca Quran atau kelas khas mempelajari Islam. Kalau guru tuisyen sanggup dibayar sebulan RM20.00 satu pelajaran 8 kali hadir tapi kepada Tok Guru Quran nak bayar RM15.00 sebulan 20 kali hadir belajar pun menggeletar tangan.Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih berbimbang jika anak tidak dapat baca Al Quran atau bersolat dari tidak lulus periksa.


9. Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang malam, pagi petang, mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah (masjid) tak hujan, tak panas, tak ribut pun tetap tak datang ke masjid. Sungguh tak malu manusia begini, rezeki Allah diminta tapi nak ke rumahNya segan dan malas.


10. Seorang isteri kalau nak keluar rumah samada dengan suami atau tidak, bukan main lagi berhias. Tetapi kalau duduk di rumah, masyaAllah. Sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias untuk suaminya, bukan berhias untuk orang lain. Perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan rumahtangga kurang bahagia.




Cukup dengan contoh-contoh di atas. Marilah kita berlapang dada menerima hakikat sebenarnya. Marilah kita beralih kepada kebenaraan agar hidup kita menurut landasan dan ajaran Islam yang sebenar bukan yang digubah mengikut selera kita. Allah yang mencipta kita maka biarlah Allah yang menentukan peraturan hidup kita.

Sabda Rasullullah SAW: "Sampaikanlah dariku walaupun satu ayat."

(Riwayat Bukhari)