Photobucket

KEBANGKITAN generasi baru Islam dinanti...

Thursday, December 23, 2010

Sajak kematian yang kembali bergema...

Seminggu membiarkan blog membeku tanpa sebarang entry baru, lantaran masa yang agak menghimpit ditambah dengan kesibukan di clinical year. Hari ini genap seminggu selepas malaikat 'Izrail datang mengetuk pintu rumah kami dan ia juga bererti sudah 47 hari berlalu sehelai daun yang terdapat pada sepohon pokok yang terletaknya di 'Arash Allah gugur dari rantingnya. Pada daun tersebut tertulis nama Wan Salemah binti Wan Mahmud. Terasa bagaikan baru semalam kami mengusung sekujur jasad yang tidak bernyawa, membawanya pulang ke rumah kami untuk diuruskan pengebumiannya, kini pada tanggal 17 Disember 2010, kami kembali menerima sekujur lagi tubuh yang kaku untuk diuruskan. Setahun yang lepas, bapa saudaraku yang juga merupakan abang sulung ibuku dijemput pulang ke pangkuan Ilahi di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), kini sekali lagi di tempat yang sama 'Izrail datang memberi salam kepada salah seorang ahli keluarga kami untuk dibawa pulang.

Wan Salemah binti Wan Mahmud atau aku gelarkan sebagai cik mi, merupakan kakak kepada ibuku, anak yang ke-3 dari 8 orang adik-beradik. Ditakdirkan Ilahi, beliau tidak pernah berkeluarga dan tidak pernah berkerja di mana-mana pejabat. Satu-satunya pekerjaan yang dilakukannya adalah menjadi pengasuh buat anak-anak saudara dan juga cucu-cucu saudaranya. Aku dan semua adik-beradikku adalah antara yang telah dijaganya sejak kami masih bayi apabila ma dan ayah ke tempat kerja. Dia bagaikan ibu yang kedua buatku, menguruskan aku sejak dari kecil. Setelah aku dewasa, aku paling suka bergurau dengannya malah ma juga pernah mengatakan perkara yang sama padaku. Aku paling sukakan masakannya, maka setiap kali aku memintanya untuk menyediakan masakannya yang menjadi kesukaanku, pasti dia akan menyediakannya untukku. Hanya kami yang menjadi anak-anak buatnya, kerana beliau tidak mempunyai zuriat keturunannya sendiri.

21 November 2010 (6.30 petang)

Ma mengajakku menziarahi cik mi di rumahnya. Sewaktu itu, aku sedang bercuti selama seminggu. Ma diberitahu oleh ibu saudaraku yang lain yang tinggal bersama cik mi, bahawa cik mi semakin kerap mengadu kesesakan nafas. Disebabkan aku kini berada di tahun clinical dan sedang membuat posting general surgery dan general medicine, maka ma memintaku untuk membuat pemeriksaan. Tanpa sebarang alat bantu pemeriksaan perubatan seperti stetoskop, aku hanya mampu membuat diagnosis melalui physical examination pada cik mi.

Sebaik tiba di rumah cik mi, beliau sedang berehat di ruang tamu. Wajahnya kelihatan agak lesu, namun masih mampu mengukir senyuman apabila aku mengusiknya. Pada ketika itu, cik mi hanya duduk bersila di lantai sambil menunjukkan bahagian perutnya yang kembung kepadaku. Semua yang berada di situ hanya menganggapnya sebagai angin yang memenuhi perut sehingga menyebabkan kesesakan nafas. Namun, sebaik aku selesai menunaikan solat maghrib di rumahnya, aku merasakan physical examination secara jelas harus dilakukan untuk membuat diagnosis yang betul. Apabila pesakit mengadu kesesakan nafas dan merasakan buncit pada bahagian perut, maka physical examination hendaklah dibuat dalam keadaan pesakit berbaring.

Setelah selesai solat maghrib, aku terus ke bilik cik mi untuk membuat pemeriksaan lanjut. Ketika aku masuk ke biliknya, beliau masih di hamparan sujud menunaikan solat sunat. Sebaik cik mi selesai menunaikan solatnya, aku meminta cik mi untuk berbaring sambil membuka sedikit pakaiannya untuk memperlihatkan bahagian abdomen. Pada masa yang sama ma dan ibu-ibu saudaraku yang lain datang untuk melihat aku membuat pemerikasaan. Alangkah terkejutnya aku melihat bahagian abdomennya yang sangat buncit dan melebar ke bahagian tepi badan. Perkara pertama yang terlintas difikiranku "it is not an air, but it is fluid accumulated around the abdomen which is known as ascites. Ascites is a common clinical presentation for patient with chronic liver disease, heart failure and kidney failure." Keadaan cik mi benar-benar mengingatkan aku pada pesakit pertama chronic liver disease yang aku temui di HTAA sewaktu bedside teaching bersama pakar. Presentation yang sama, menyebabkan aku mula merasa risau, namun aku mencuba sedaya upaya menyembunyikan kerisauan yang membelenggu hatiku agar ia tidak terzahir di raut wajahku. Hanya ma yang mampu membaca air muka ku ketika itu.

Aku meneruskan pemeriksaan seperti yang pernah aku pelajari sebelum ni. Aku bukan lah seorang doktor, malah bukan juga pelajar perubatan, namun hanya seorang pelajar pergigian. But that is what people expecting from those whose going to get a title Dr. Cik mi adalah pesakit pertama yang diperiksa ku tanpa terlebih dahulu diperiksa dan di diagnose oleh doktor yang berlesen. Berdasarkan kepada ciri-ciri yang terzahir sewaktu pemeriksaan, ia benar-benar meyakinkan aku bahawa penyakit yang dihidapi cik mi adalah chronic liver disease with hepatomegaly. She's presenting with palmar erythema, yellowish of the sclera, spide nivaea, ascites, hepatomegaly and bilateral pedal edema up to the knee. Apa yang berlegar difikiranku hanya aku diamkan. Bukan kerana tidak mahu berlaku jujur pada pesakit, tapi psikologi pesakit yang tidak begitu bersedia untuk menerima sebarang berita yang kurang baik mengenai kesihatannya. Maka aku hanya berkata padanya supaya tidak perlu risau dan adalah lebih baik baginya berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut. Dari awal lagi, cik mi berkeras tidak mahu ke hospital, namun setelah aku memberitahu aku hanya boleh membantu membuat pemerikasaan dan tidak mampu untuk mengubati, beliau mula kelihatan lebih yakin untuk berjumpa doktor. Penjelasan lanjut mengenai keadaan cik mi hanya aku jelaskan kepada ma dan ibu saudaraku yang lain di luar rumah sebelum aku pulang. Aku memerlukan bantuan mereka untuk memujuk cik mi ke hospital kerana peyakitnya bukan lah sesuatu yang senang untuk diubati. Air di dalam badannya harus dikeluarkan segeran untuk mengelaknya berkumpul sehingga ke peparu yang boleh membawa kepada jangkitan peparu.

Hanya setelah cuti ku tamat, dan aku kembali ke kampus, cik mi setuju untuk berjumpa doktor di klinik swasta. Beliau terus di refer ke HSNZ dan sebaik tiba periksa di hospital, beliau di tahan serta-merta. Aku hanya mendapat khabar cik mi dari perbualan telefon dengan ma. Sebelum cik mi bersetuju ke klinik, ma memberitahu perutnya semakin kembung dan kakinya juga semakin bengkak. Ma memberitahu, sebaik di tahan di wad medikal HSNZ, beliau terus dipasangkan dengan wayar oksigen pada hidung. Dari situ aku dapat membuat kesimpulan, air yang terkumpul di dalam badan cik mi sudah sampai ke bahagian peparu, dan meliputi kawasan di sekeliling peparu atau disebut sebagai plueral effusion. Ini menyebabkan pesakit tidak dapat bernafas dengan normal kerana air yang terkumpul di sekeliling peparu menghalang pengembangan peparu secara maksimum ketika pesakit menarik nafas menjadikan pesakit kesesakan nafas. Pada pagi itu juga, aku menerima sms dari abang memberitahu diagnosis doktor tertulis chronic liver disease with hepatocellular. Diagnosis yang sama seperti yang berlegar difikiranku sebelum ini.

Seminggu cik mi ditahan di HSNZ dan beliau dibenarkan pulang. Kata ma, bengkak pada kaki cik mi sudah surut, namun beliau masih perlu hadir ke hospital untuk pemeriksaan CT scan dan blood test. Aku merasa lega mendengar berita itu. Mudah-mudahan beliau akan semakin sembuh kerana tiada yang mustahil di sisi Allah. Aku juga merasa semakin senang setelah ma memberitahu cik mi semakin berselera menjamah makanan berbanding sebelum ini.

to be continue...

Wednesday, December 15, 2010

Nota cintaku

Alhamdulillah, syukran lillah. Aku masih diberi peluang memanjatkan syukur kehadrat Ilahi. Tiada lafaz yang mampu mengungkap segenap perasaan yang memenuhi jiwa. Setelah bertalu-talu ditarbiyyah secara terus dari Rabb, kini natijahnya kian dirasai. Moga ia adalah petanda terbaik nazarku diterima olehNya. Hanya sujud di keheningan malam yang mampu aku persembahkan. Sekalipun harga yang aku tawarkan begitu kecil nilainya jika dibandingkan dengan segala nikmat yang Engkau berikan. Namun, Engkau masih menerima bayaranku dengan memberikan sesuatu yang teramat mahal buatku. Engkau memintaku mengembalikan sesuatu kepadaMu untuk Kau tukarkan dengan sesuatu yang lebih berharga. Kini aku kembali menikmati keasyikannya setelah sekian lama keasyikan itu Engkau uji. Moga istiqamahku ini terus berkekalan hingga ke nafas terakhirku agar jiwaku dapat terus bersatu dengan jiwaMU. ameen..

Sunday, December 12, 2010

Bunga yang CANTIK jarang HARUM

Alhmdulillah hari ini aku masih bernyawa dengan nikmat iman dan Islam. Usai solat subuh pagi tadi, aku masih berkesempatan memberi makanan rohani dengan membaca buku karangan penulis yang sangat aku gemari, Dr 'Aidh bin Abdullah Al-Qarni. Setelah matahari memancarkan sinar ke seluruh alam, aktiviti ku disambung dengan membasuh kereta yang sudah agak lama dibiarkan tanpa dicuci. Setelah sejam membuat operasi, kini kembali mengintai blog yang sudah beberapa hari tidak di update. Hati sangat teruja untuk mengarang entry baru, namun masa agak menghimpit lantaran masih ada urusan lain yang perlu diselesaikan selepas ini. Maka, bermulalah sesi meneroka koleksi-koleksi terdapat dalam simpanan. Tajuk entry ini pernah ditulis oleh ustaz Pahrol di blognya. Analogi khas untuk insan bergelar muslimah, moga bermanfaat untuk semua.

Bunga yang cantik jarang harum

Wanita sinonim dengan kecantikan. Istilah “cermin” dalam bahasa Arab dekat sangat dengan wanita – kerana cermin itu dekat pula dengan kecantikan. Bercermin untuk kelihatan cantik. Ke mana-mana wanita pergi, cermin ada di sisi.

Bagi yang tidak cantik bagaimana? Mereka bukan wanita?

Tunggu dulu, setiap yang Allah cipta pasti indah kerana Allah itu Maha Indah dan suka pada keindahan. Tuhan tidak mencipta manusia hodoh, Tuhan hanya mencipta manusia dengan kecantikan berbeza. Jadi, ingat itu… setiap wanita berhak untuk cantik!

Soalnya, di manakah letaknya kecantikan sebenar pada seorang wanita? Kalau kita tanyakan kepada para lelaki maka sudah pasti kita akan temui pelbagai jawapan. Ada yang merasakan kecantikan wanitaitu pada wajah, pada bentuk tubuh, pada kebijaksanaan atau pada tingkah lakunya.

Dan pada yang menyatakan kecantikan pada wajah pula terbahagi kepada pelbagai pandangan, ada yang mengatakan kecantikannya terletak pada hidung, pada mata dan sebagainya. Pendekata kecantikan itu bagi anggapan sesetengah orang sangat relatif sifatnya. Lain orang, lain penilaiannya.

Namun sebagai seorang Islam, kita tentulah ada kayu ukur tersendiri untuk menilai kecantikan. Kita tentunya mengukur kecantikan wanita mengikut kayu ukur Islam. Dan tentu sahaja kecantikan yang menjadi penilaian Islam adalah lebih hakiki dan abadi lagi.

Misalnya, kalaulah kecantikan itu hanya terletak pada wajah, wajah itu lambat-laun akan dimakan usia. Itu hanya bersifat sementara. Apabila usia meningkat, kulit akan berkedut tentulah wajah tidak cantik lagi. Jadi tentulah ini bukan ukuran kecantikan yang sejati dan abadi.

Sebagai hamba Allah, kita hendaklah melihat kecantikan selaras dengan penilaian Allah atas keyakinan apa yang dinilai oleh-Nya lebih tepat dan betul. Apakah kecantikan yang dimaksudkan itu? Kecantikan yang dimaksudkan ialah kecantikan budi pekerti ataupun akhlak. Itulah misi utama kedatangan Rasulullah SAW – untuk menyempurnakan akhlak manusia.

Kecantikan akhlak jika ada pada seseorang, lebih kekal. Inilah kecantikan yang hakiki mengikut penilaian Allah. Hancur badan dikandung tanah, budi baik di kenang juga. Kecantikan akhlak ini juga adalah satu yang lebih abadi. Kata pepatah lagi, hutang budi dibawa mati. Malah akhlak yang baik juga sangat disukai oleh hati manusia. Contohnya, kalaulah ada orang yang wajahnya sahaja cantik tetapi akhlaknya buruk, pasti dia akan dibenci.

Ya, mata menilai kecantikan pada rupa. Akal menilai pada fikiran. Nafsu menilai pada bentuk tubuh. Tetapi hati tentulah pada akhlak dan budi. Kecantikan akhlak ini diterima oleh semua orang. Katalah orang jujur, siapapun suka. Semua orang sepakat menyayangi orang yang jujur itu disukai. Sedangkan jika menurut ukuran rupa, penilaian manusia tetap tidak sama. Sebab itu ada pepatah yang mengatakan, ‘beauty in the eye of beholder’.

Rasulullah saw juga telah pernah menegaskan, sebaik-baik perhiasan adalah wanita yang solehah. Wanita solehah ialah perhiasan rumah-tangga, perhiasan masyarakat dan perhiasan negara. Jika ada ibu yang solehah, anak-anaknya tentu mendapat manfaat. Mereka akan terdidik dengan baik.

Jika ada isteri yang solehah, suami pun akan mendapat manfaat. Para isteri ini akan memudahkan urusan rumah-tangga, menjalinkan hubungan keluarga dengan penuh kasih-sayang dan lain-lain. Tutur katanya baik, tingkah lakunya baik, senyumannya menawan dan segala-galanya indah… mereka bayangan bidadari syurga di dunia ini.

Kenapa banyak wanita yang memiliki kecantikan tetapi musnah hidupnya? Ada ungkapan yang berbunyi, kemusnahan akan menimpa bila wanita mula merasai dirinya cantik dan mempamerkan kecantikan. Sejauhmana benarnya, wallahua’lam. Tetapi apa yang pasti, menurut Islam jika kecantikan tidak disertai iman yang kuat, maka pemiliknya akan hilang kawalan diri. Akibatnya ramai wanita cantik diperdayakan oleh syaitan untuk menggoda manusia melakukan kemungkaran. Lihatlah di sekeliling kita. Kata orang, bunga yang cantik jarang yang harum! Ini sudah menjadi sesuatu yang lumrah.

Tanpa iman, kecantikan akan dipergunakan ke arah kejahatan dan kemaksiatan, yang akhirnya akan memusnahkan diri pemiliknya dan orang lain. Cuba kita lihat apa yang terjadi kepada bintang filem barat (di sinipun apa kurangnya), ada yang memporak-perandakan negara, rumah-tangga dan berakhir dengan sakit jiwa dan bunuh diri.

Cantik tidak salah, tetapi salah menggunakan kecantikan itulah yang salah. Kata orang, wanita yang cantik jarang berakhlak. Umpama bunga yang cantik, jarang yang wangi. Tetapi kalau cantik dan berakhlak pula, inilah yang hebat. Umpama cantiknya wanita solehah pada zaman nabi seperti Siti Aishah RA, Atikah binti Zaid dan lain-lain.

Beruntunglah jika kamu menjadi umpama bunga yang cantik dan wangi

Bagaimana mendapat kecantikan sejati? Perlu kita faham kecantikan itu bermula dari dalam ke luar. Bukan sebaliknya. Oleh itu pertama, tanamkan di dalam hati kita iman yang benar-benar kuat berdasarkan ilmu yang tepat dan penghayatan yang tinggi. Iman itu keyakinan, kasih sayang, kemaafan, sangka baik dan reda. Rasa-rasa ini buktikanlah dengan perbuatan yang baik. Bila hati baik, wajah akan sentiasa cantik.

Jadi perkara kedua ialah susulilah iman itu dengan perbuatan yang baik. Ertinya, kita atur kehidupan mengikut syariat atau peraturan Tuhan. Dan apabila iman ditanam, syariat ditegakkan, akan berbuahlah akhlak yang mulia. Wajah, perilaku dan peribadi kita akan nampak cantik sekali. Inilah yang dikatakan kecantikan yang hakiki. Biar buruk rupa, jangan buruk perangai. Apa gunanya mulut yang cantik kalau kita gunakan untuk mengumpat?

Ya, kecantikan akhlak… boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja, oleh yang rupawan mahupun yang hodoh. Itu bukti keadilan Allah yang mencipta wanita dengan berbagai wajah dan rupa… tapi peluangnya untuk “cantik” tetap serupa!

Tuesday, December 7, 2010

Teristimewa buat ibuku


Al-kisah 1

Di sebuah daerah yang terletak di negeri Terengganu dan paling hampir dengan negeri Pahang, bercuti sambil menziarahi saudara-mara yang menetap di sana. Di suatu pagi yang hening...

Saya: "Ma, meh kite gi Mekah."
Ma : "Mari lah kite gi tahun depang, ikut lah gi wat umroh ke haji ke."
Saya: "Kalu haji susoh lah siket. Ama takdok cuti lame. Kite gi umroh doh lah. Kite gi tahun depang. Lepah ama habih belajor kite gi haji pulok."
Ma : "Tapi nok ajok sape jadi mahram? tu lah, ingatkan nok harap ke die suruh cari mahram, die pulok jawab dok tahu."
Saya: "hmm..."


Al-kisah 2


Sewaktu bercuti selama seminggu bermula dari hari pertama raya qurban, jemputan kahwin penuh. Termasuklah majlis dua orang rakan sebaya di kampung ku.

Ma : '"Kawan-kawan mu sume kawin blake doh. Bile pulok tahu anok ma ni."
Saya: "Orang lain habih blajor doh, kerje doh, buleh lah kawin"
Ma : " Anok ma ni blajor lame sangat tekpung..."
Saya: "hmm..."

Di kampung ku terdapat 3 orang yang sebaya denganku, totalnya 4 orang termasuk aku, solehah, aisyah dan munira. Solehah sudah terlebih dahulu mendirikan rumah tangga sebaik sahaja menamatkan alam persekolahan dan kini sudah memiliki 2 orang anak. Hanya aku, aisyah dan munira yang melanjutkan pengajian ke menara gading. Aisyah dan munira telah pun menamatkan pengajian mereka tahun lepas dan kini telah berkerja. Jadi, sewaktu cuti baru-baru ini, mereka telah pun sama-sama melangkah ke alam perkahwinan. Buat Aisyah dan Munira, selamat pengantin baru dan semoga berbahagia disamping pasangan masing-masing.


Al-kisah 3


Suatu pagi, masih sewaktu cuti, bersiap-siap untuk ke kenduri perkahwinan sahabat sekampus...

Ma : "kawan-kawan mu ni rama doh kawin"
Kakak: "memang lah ma, kawan-kawan die takdop kerje lain, kawin pastu branak, siap ade anok kembor, hok nok buleh anok no2 pun ade jugok..."
Ma : "tinggal anok ma jelah hok dok kawin lagi ni..."
Saya : "hmmm...."




Wahai ibuku,
Usahlah dirisaukan akan sesuatu yang telah tertulis untuk anakmu,

Sungguh Si Penciptanya lebih mengetahui apa yang terbaik untuk setiap ciptaanNya...

termasuklah aku, anakmu ini wahai ibuku..


Wahai ibuku,

Sesungguhnya Rabbmu sedang menyiapkan jiwa anakmu...
agar ia setanding untuk mendampingi jiwa seorang mujahid yang berjuang di jalanNya,

maka usahlah engkau merasa khuatir akan aturan Tuhanmu...

Nama itu sudah pun tertulis saat ia meniupkan ruh ku ke dalam rahim mu,

namun saatnya belum tiba buat aku untuk bersatu dengan pemilik nama itu,

kerana Allah juga sedang menyiapkan jiwanya untukku,

menyiapkan rohaninya agar dia siap untuk menjadi pemimpin...
yang mampu membimbing seluruh ahli keluarganya ke jalan Ilahi...


Wahai ibuku,

Aku begitu menginginkan untuk memiliki jiwa setabah mu,

Berjaya mendampingi hati seorang insan yang begitu kuat ikatannya dengan Ilahi,
Insan yang ku kenal sedari kecil
seorang yang begitu istiqamah dalam ibadahnya...
tidak pernah membiarkan malam-malamnya berlalu sepi...
memastikan zuriat keturunannya mengenal akan Rabbnya,
Dia lah insan yang aku gelarkan ayah...
Saat dia dijemput Ilahi,
engkau penyambung kepada acuan tarbiyyah yang telah siap diterapkannya kepada anak-anakmu,
engkau harungi segala dugaan dan kepayahan,

Hingga hari ini, kau sudah mampu tersenyum melihat kejayaan anak-anakmu...


Wahai ibuku,

Tarbiyyah yang telah diberikan Allah untukku masih belum cukup untuk aku menjadi sepertimu,

oleh kerana itu, hilangkanlah segala resah di hatimu...
lantaran melihat dugaan yang Allah datangkan untuk anakmu,

Maafkan aku andai ada kalanya aku terpaksa membohongimu,

Sekali pun engkau tidak pernah mendidikku untuk berbohong,

Tetapi itulah yang sebaiknya untukmu...

lantaran aku tidak sanggup untuk melihat raut kerisauan di wajahmu...
setiap kali engkau memandang tepat ke mata ku...

Akan aku sorokkan segala kedukaan di sudut yang paling jauh dan paling dalam di hatiku,

Agar engkau tidak sesekali dapat menemuinya...

Walaupun aku tahu, engkau sering berusaha untuk mencarinya...
saat engkau menerung tajam ke dalam mataku...


Maafkan aku wahai ibuku,

kerana Tuhanku hanya mendidikku jalan untuk membahagiakan hatimu,

bukannya jalan untuk menambah kedukaan dan kerisauan di hatimu...


Wahai ibuku,

Sebesar mana pun ujian yang perlu dihadapi anakmu,

Jangan lah sesekali engkau khuatiri,

Kerana Tuhanmu telah berkata
la yukallifullahu nafsan illa wus'aha
cukuplah sekadar engkau meyakini akan janjiNya,

Kerana Penciptanya lebih berhak untuk mendengar dan memujuk hatinya...

lantas menguatkan jiwanya,

Hanya doamu yang ku pinta...

mengiringi setiap langkah perjalananku...

agar aku senantiasa di dalam redhaNya...

Wahai ibuku,
Sesungguhnya Allah sedang menyiapkan anakmu...

agar ia kembali dan tergolong antara penghuni seindah-indah perkampungan yang tidak dapat dibayangkan oleh fikiran manusia,

Oleh itu... bahagiakan lah hatimu...

Kerana Rabbnya masih di sisinya...melihat, menjaga, dan mentarbiyyah dirinya...

Moga kasih dan cintaku untukmu terus kekal hingga ke syurga,

kerana aku terlalu menyayangimu wahai ibuku.....




Monday, December 6, 2010

1432H



PADA 1 Muharam setiap tahun, umat Islam merayakan sambutan Maal Hijrah, bergembira atas kehadiran tahun baru dalam kalendar Islam.Sambutan itu tidak disebut dalam al-Quran atau nas Sunah Nabi secara terus terang tetapi ia tetap dianggap perayaan umat Islam.

Ironinya umat Islam masih lebih cenderung meraikan secara berlebihan-lebihan tahun baru Masihi (1 Januari) baru-baru ini termasuk dicemari perbuatan songsang lantas mencemarkan kemuliaan Muharam.

Kemuliaan Muharam yang pada hari itu kita berselawat memuji-muji Rasulullah - satu amalan yang diperintah Allah. Kita alunkan nasyid-nasyid seperti Tala'al Badru 'Alaina bagi mengingati kembali betapa gembira kaum Ansar menyambut kehadiran Rasulullah bersama Muhajirin di Madinah.

Maal Hijrah atau Awal Muharram adalah merupakan permulaan tahun baru bagi takwin Islam. Ianya bermula sempena memperingati penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w dari Kota Mekah ke Madinah dalam tahun 622 masihi. Di samping itu ianya juga merujuk kepada peralihan daripada sesuatu yang buruk atau kurang kepada yang baik atau sempurna.

Perpindahan Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat r.a dari Kota Mekah ke Madinah merupakan pembinaan langkah baru sebagai persiapan menghadapi cabaran yang bakal tiba secara terus menerus. Hijrah bukanlah asing dalam Islam dan ia adalah sebahagian daripada Islam. Hijrah kerana menuntut ilmu, mencari kebenaran, berjihad, berdakwah, mencari nafkah, kerana perniagaan dan bermacam-macam hijrah lagi adalah tuntutan dan asas ajaran Islam itu sendiri.

Jika pada kebiasaannya kita berazam pada setiap tahun baru masihi, apa kata kali ini kita juga berazam semasa ketibaan tahun baru hijrah. Malah jika kita tidak pernah langsung berazam selama ini bolehlah dimulakan sekarang. Azam ini bolehlah lebih ke arah pengisian rohani dan keagamaan. Mungkin kepada mereka yang tidak pernah solat berazam untuk mula bersolat, mereka yang bersolat tetapi tidak cukup lima waktu berazam untuk melengkapkan solat lima waktu dan mereka yang bersolat lima waktu berazam untuk meningkat kualiti solat mereka.

Di samping itu perkuatkan juga fahaman aqidah, syariat dan akhlak kita. Apabila fahaman kita jelas maka iman dan taqwa kita juga akan kukuh. Percayalah lebih rapat kita dengan Allah s.w.t. akan lebih tenang jiwa kita menghadapi kehidupan yang penuh cabaran dan dugaan ini.

Untuk membaca lebih lanjut mengenai bulan pertama dalam kalendar Hijri, sila rujuk artikel yang telah di'post'kan 2 tahun yang lepas di blog ini [click untuk bacaan lanjut]

Doa Akhir Tahun

Doa ini dibaca 3 kali pada akhir waktu ‘Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada akhir bulan Zulhijjah. Sesiapa yang membaca doa ini, Syaitan akan berkata, “Kesusahan bagiku dan sia-sia lah pekerjaanku menggoda anak Adam pada setahun ini dan Allah binasakan aku satu saat jua. Dengan sebab membaca doa ini, Allah ampunkan dosanya setahun”.



Doa Awal Tahun

Doa Awal Tahun dibaca 3 kali selepas maghrib pada malam satu
Sesiapa yang membaca doa ini, Syaitan berkata, “Telah amanlah anak Adam ini daripada godaan pada tahun ini kerana Allah telah mewakilkan dua Malaikat memeliharanya daripada fitnah Syaitan”.


Wednesday, December 1, 2010

Kisah Bidadari As-Syura

Athiah bin Khalaf adalah seorang saudagar Mesir yang terkenal. Pada asalnya, beliau adla seorang yang kaya-raya, namun akhirnya beliau telah jatuh miskin. Satu-satunya kekayaan yang masih tertinggal padanya adalah sepasang pakaian yang dikenakannya.

Pada Hari Asyura, 10 muharram, Athiah bin Khalaf menunaikan shalat subuh di masjid Amru bin Ash. Ketika ia sedang duduk sendirian disalah satu sudut masjid, datanglah seorang ibu bersama beberapa orang anak yang masih kecil-kecil.

“Tuan, tolong lepaskanlah aku dan anak-anakku dari kesulitan hidup. Suamiku telah meninggal tanpa mewariskan apa-apa. Pekerjaan meminta-minta baru aku lakukan sekali ini. Aku juga keluar rumah kerana terpaksa. Tolonglah tuan.”

Sejenak Athiah berfikir, apakah yang mesti diberikan pada wanita itu? Sedangkan ia sendiri tidak memiliki apa-apa, kecuali pakaian yang melekat di badannya. Jika pakaian ini kusumbangkan, akan terbukalah auratku, fikirnya. Tapi jika ku tolak permintaannya, bagaimana nanti kata Rasulullah saw terhadapku.

“Baiklah, ikut aku ke rumah,” ajak Athiah lembut. Sesampai di rumah ia menyuruh wanita tersebut menunggu diluar. Setelah membuka pakaiannya, Athiah menyerahkan kepada wanita itu dari balik pintu.

“Mudah-mudahan Allah SWT memberi tuan pakaian dan perhiasan dari syurga. Tuan tidak akan lagi memerlukan bantuan dari orang lain selama hidup.”

Athiah sangat gembira mendengarnya. Setelah itu ia hanya mengunci diri dalam kamar. Ia berzikir siang malam. Sampailah pada suatu malam ia bermimpi melihat seorang bidadari yang cantik molek. Tangan kiri bidadari itu memegang epal beraroma harum dan setelah dibelah keluarlah sejumlah perhiasan syurga. Bidadari itu mengenakan perhiasan syurga kepada Athiah, lantas duduk menghiburnya.

“ Siapakah engkau?” Tanya Athiah.

“Saya Aasyura, isteri mu dalam syurga ini,” jawab bidadari itu.

“Bagaimana saya boleh mendapatkan kebahagiaan seperti ini?”

“Berkat doa wanita yang engkau tolong kelmarin.”

Athiah tersentak. Ia bangun dari tidurnya dengan riang gembira. Lantas mengambil air wudhu' dan solat dua rakaat, sebagai pernyataan syukur kepada Allah SWT. Usai solat, Athiah bin Khalaf berdoa. “Ya Allah, andai benar mimpiku tadi dan bidadari itu yang akan menjadi isteriku, cabutlah nyawaku sekarang juga, supaya aku segera mendapatkannya.”

Belum sampai ia mengaminkan doanya, Allah telah memakbulkan permintaannya. Pada waktu itulah Athiah meninggal dunia.


Surat Cinta untuk Sang MUSLIMAH

"Wahai saudariku yang muslimah, yang berada di jalan jihad, Saudari pula memainkan peranan yang penting di dalam lapangan jihad .Peranan saudari bermula dari rumah tangga, iaitu dengan mentarbiyyahkan generasi-generasi kita, membesarkan mereka dan menyiapkan mereka untuk berjihad."

Wanitalah yang memproses lelaki.Bagi wanita-wanita muslimat, mereka mengajar anak-anak tentang kehidupan dakwah, peperangan menghadapi musuh gerakan islam, sama seperti mereka menghafazkan anak-anak mereka surah dari Al-Quran.

Begitu juga dengan al-ukhtul, muslimat yang menghidupkan roh jihad adalah menjadi pembantu kepada suaminya supaya berjihad, ia menggesa suaminya supaya berjihad, berdoa agar suaminya tidak akan pulang hidup-hidup, doakan agar suaminya pulang sebagai As-syahid. Bukannya menjadi fitnah kepada suaminya ataupun melemah dan menghalangnya.

Ia juga selalu mengelokkan penjagaan harta dan anak-anak suaminya sepanjang ketiadaan suaminya yang sedang berjihad. Pada masa dahulu seorang wanita muslimah itu memainkan peranan di medan jihad. Mereka telah melakukan kerja memberi minum tentera dan merawat pejuang yang luka. Bahkan kadangkala seorang wanita yang dipilih turut menghunuskan senjata mempertahankan maruah Islam, agar matinya asbab kerana mempertahankan Islam! Contohnya ialah seperti yang telah dilakukan oleh ummu nusaibah binti kaab kerana mempertahankan Rasulullah S.A.W dalam peperangan Uhud.(Mustafa Mashyur)

"Lalu masihkah ada lagi wanita-wanita yang jurangnya amat jauh dengan dirimu? yang selalu bertegur sapa dan masih ada yang mencurigaimu? wanita yang jaraknya amat jauh untuk didekati, walaupun dekat di kalangan kita."

Persoalan itu bagaikan musuh-musuh yang mesti diperangi, apa yang mengesankan ialah jawapan kepada musuh kita ialah diri kita sendiri. Diri kita yang lemah dari segi akhlak, lemah dari segi akidah, lemah dari segi tarbiyyah, lemah dari segi fikrah.

Perjuangan itu menempah susah kerana maharnya amatlah berharga. Janganlah ada diantara kita meninggalkan lapangan ini, meninggalkan jemaah umpama seekor biri-biri yang keseorangan ia senang menjadi sasaran musuh-musuh islam.

Usrah bukan berlaku di dalam bilik sahaja tetapi ianya bertebaran di tengah lapang yang boleh dilihat kebaikannya. Kemudiannya jurang yang amat jauh adalah jurang yang perlu didekati , ukhwah dan ehsan menjadi rutin bersahabat, kesannya jarak yang amat didekati adalah sifat mahabbah sesama ummat.

Dalam kenangan : Mujahidah yang cekal walaupun dipenjara & diseksa Zainab Al-Ghazali, dipenjarakan bersama adik kepada syed Qutb (Mujahidah Hamidah), Jasadnya yang mulia diiringi ribuan rakyat pada 3 Ogos 2005 di Masjid Rabia’tul Adawiyah. Lahir di buhaira Mesir pada tahun 1917, berketurunan Saidina Umar (R.A)

Sunday, November 14, 2010

Dakwah itu Cinta


Memang seperti itu dakwah.
Dakwah adalah cinta...

Dan cinta akan meminta semuanya dari dirimu.
Sampai fikiranmumu... sampai perhatianmu...berjalan...duduk... dan tidurmu.

Bahkan di tengah lelapmu, isi mimpimu pun tentang dakwah...

Tentang umat yang kau cintai
...

Dakwah menyedut saripati tenagamu..
Sehingga ke tulang belulangmu.

Bahkan hingga ke daging terakhir yang menempel ditubuh rentamu.

Tubuh yang luluh lantak diseret-seret...

Tubuh yang hancur lebur dipaksa berlari...

Seperti itu pula kejadiannya pada rambut Rasulullah.
Tapi kepalanya beruban karena beban berat dari ayat yg diturunkan Allah....

Sebagaimana tubuh mulia Umar bin Abdul Aziz.

Dia memimpin hanya sebentar...
Tapi kaum muslimin sudah dibuat dalam kerahmatan..
Tidak ada lagi orang miskin yg meminta sedekah.
Tubuh mulia itu terkoyak-koyak.

Terpanar membayangkan sekeras apa sang Khalifah bekerja.


Tubuh yang segar bugar itu sampai lunyai.

Hanya dalam 2 tahun ia sakit parah kemudian meninggal.
Adakah memang itu yang diharapkannya....

mati sebagai jiwa yang tenang.


Dan di ditemukan akhirat kelak, mungkin tubuh Umar Al-Khatthab juga dilihat tercabik-cabik. Kepalanya sampai botak.

Umar yang perkasa pun akhirnya membawa tongkat ke mana-mana.

Akhirnya diperjelas dengan salah satu luka paling legenda di sepanjang sejarah..

luka ditikamnya seorang Khalifah yang sholih...

yang sedang bermesra-mesraan dengan Tuhannya saat solat.


Dakwah bukannya tidak melelahkan...
Bukannya tidak membosankan...
Dakwah bukannya tidak menyakitkan...

Bahkan juga para pejuang risalah bukannya sepi dari godaan kefuturan.


Tidak…

Justeru kelelahan...

Justeru rasa sakit itu selalu bersama mereka sepanjang hidupnya....
Setiap hari...


Satu kisah tragis, akan segera mereka sambung lagi dengan amalan yang jauh lebih “tragis”.
Lantaran kerana rasa sakit itu selalu mereka rasakan...
selalu menemani…


Oleh kerana rasa sakit itu selalu mengintai ke manapun mereka pergi…

akhirnya menjadi adaptasi....

Kalau iman dan godaan rasa lelah selalu bertempur...

pada akhirnya salah satunya harus mengalah...

Rasa lelah itu sendiri yang akhirnya lelah untuk mencekik iman...
Lalu terus berkobar dalam dada...
Begitu pula rasa sakit,
hingga luka tak kau rasa lagi sebagai luka...
Hingga hasrat untuk mengeluh tidak lagi terlalu menggoda dibandingkan jihad yang begitu cantik...

Begitupun Umar.
Saat Rasulullah wafat, ia histeria!.

Saat Abu Bakar wafat, ia tidak lagi mengamuk...

Bukannya tidak cinta pada abu Bakar....
Tapi seringnya “ditinggalkan”...

dan hal itu sudah menjadi kewajaran.


Bagaikan tonik bagi iman..

Kerana itu kamu tahu.

Pejuang yang heboh ria memperkayakan amalannya adalah mujahid yang telah berjaya.

Yang takjub pada rasa sakit dan pengorbanannya juga begitu.
Kerana mereka jarang disakiti di jalan Allah...

Kerana tidak setiap saat mereka memproduksikan karya-karya besar.

Maka setiap kali hal itu mereka kerjakan...

setiap kali hal itu mereka rasakan...

mereka merasa menjadi orang besar.

Dan mereka menjadi tumpuan untuk didoakan mewarisi para mujahid sejati..


“Ya Allah, berilah Kami petunjuk… sungguh Engkau Maha Pengasih lagi maha Penyayang… “


Maka satu lagi seorang pejuang tubuhnya luluh.
Jasadnya di koyak beban dakwah.
Tapi iman di hatinya memancarkan cinta…
Mengajak kita untuk terus berlari…!


Teruslah bergerak, hingga kelelahan itu lelah mengikutimu.

Teruslah berlari, hingga kebosanan itu bosan mengejarmu.

Teruslah berjalan, hingga keletihan itu letih bersamamu.

Teruslah bertahan, hingga kefuturan itu futur menyertaimu.

Tetaplah berjaga, hingga kelesuan itu lesu menemanimu.


Kalau iman dan syaitan terus bertempur. Pada akhirnya salah satunya harus mengalah. Pastikan iman mu memenangi pertempuran itu...

Saturday, November 13, 2010

....

Tuhanku ampunkanlah segala dosaku
Tuhanku maafkanlah kejahilan hambaMu

Ku sering melanggar laranganMu
Dalam sedar ataupun tidak
Ku sering meninggalkan suruhanMu
Walau sedar aku milikMu

Bilakah diri ini kan kembali
Kepada fitrah sebenar
Pagi ku ingat petang ku alpa
Begitulah silih berganti

Oh Tuhanku Kau pimpinlah diri ini
Yang mendamba cintaMu
Aku lemah aku jahil
Tanpa pimpinan dariMu

Ku sering berjanji depanMu
Sering jua ku memungkiri
Ku pernah menangis keranaMu
Kemudian ketawa semula

Kau Pengasih Kau Penyayang Kau Pengampun
Kepada hamba-hambaMu
Selangkah ku kepadaMu
Seribu langkah Kau pada ku

Tuhan diri ini tidak layak ke syurga Mu
Tapi tidak pula aku sanggup ke neraka Mu

Ku takut kepadaMu
Ku harap jua padaMu
Moga ku kan selamat dunia akhirat
Seperti rasul dan sahabat


Teduduk... lesu... Tangisan itu kembali bergema... Esakan yang semakin kuat... membasahi hamparan sujud, bagaikan tiada lagi tempat untuk berpaut. Butiran tasbih semakin kuat digenggam, di bilang satu per satu... Sambil lisannya menguntaikan lafaz "laa ilaaha illaAllah"... Dari satu kalimah ke satu kalimah. Entah mengapa setiap lafaz kalimah yang ditutur terasa begitu meruntun hati menjadikan titisan-titisan itu semakin laju mencurah-curah membasahi pipi...Terasa diri begitu kerdil di hadapan Allah... Diselubungi rasa bersalah yang teramat, menghadap Ilahi dengan hati yang kotor... Dicemari titik-titik hitam lantaran dosa-dosa yang tidak pernah putus....penuh...

Ya Allah, Engkau ambillah kembali apa yang telah Kau berikan padaku. Aku gagal Ya Allah... aku gagal memelihara amanahMu sebaiknya... aku telah mengkhianati amanah yang telah Kau berikan padaku. Maka malam ini, aku hadir di hadapanMu untuk memulangkannya kembali kepadaMu... Engkau adalah sebaik-baik Pemelihara. Kau ambillah ia kembali Ya Allah... Kau campakkanlah ia ke lautMu yang paling dalam, yang tidak akan ada sesiapa pun yang dapat menemuinya melainkan ia hanya dalam pengetahuanMu... agar ia akan terus kekal menjadi milik mutlakMu.

Ya Allah, imanku ada ketikanya terasa begitu kuat dan ada ketikanya terasa begitu lemah. Dan malam ini, aku merasakan imanku semakin lemah... Aku lemah Ya Allah... Aku takut aku sudah tidak mampu lagi untuk meneruskan perjalananku dengan baki kekuatan yang masih ada. Maka berikanlah aku kekuatan Ya Allah... hanya Engkau sahaja yang dapat membantuku. Aku lebih rela ditinggalkan seluruh makhlukMu asalkan Engkau tidak meninggalkan aku, sentiasa di sisiku, menemaniku.... Kau jadikanlah aku hambaMu yang taat akan segala perintah dan laranganMu serta anak yang soleh. Kau pimpinlah aku Ya Allah, kerana hanya padaMu tempat aku bergantung...ameen

Mereka yang paling kuat di sisi manusia adalah mereka yang paling lemah di hadapan Allah...

Sunday, November 7, 2010

Dzulhijjah...Ke Arah Memastikan Kelangsungan Momentum Ramadhan

Dzulhijjah merupakan bulan yang ke-12 di dalam kalendar Hijrah berdasarkan hisab Qamariyyah. Ia adalah bulan penutup kepada tahun Hijrah sebelum memasuki tahun Hijrah yang baru. Dzulhijjah adalah masa terbaik untuk membuat check list amalan setelah 2 bulan berlalunya pesta ibadah iaitu Ramadhan. Ia adlah masa terbaik untuk menilai sejauh mana madrasah tarbiyyah yang telah dilalui selama sebulan di bulan Ramadhan benar-benar memberi kesan atau sekadar menjadi satu pesta tahunan. Adakah amalan yang dilakukan sepanjang Ramadhan masih diteruskan sehingga hari ini? Atau, adakah hari ini kita telah kembali ke tangkuk yang lama seperti sebelumnya? Tiada lagi Qiamullail, tiada lagi solat berjemaah di masjid, tiada lagi tadarus Al-Quran.

Buat mereka yang mungkin telah terlepas peluang keemasan yang ditawarkan oleh Allah di bulan Ramadhan, juga buat mereka yang merindui ruh ibadah seperti bulan Ramadhan, jangan lah bersedih kerana sesungguhny Allah kembali membuka seluas-luasnya pintu kerahmatan di bulan Dzulhijjah bermula pada hari ini sehingga kemuncaknya pada 9 Dzulhijjah. Ini berdasarkan hadith Nabi saw yang bermaksud:

Daripada Ibnu Abbas r.a, Rasulullah saw besabda: " Tidak ada hari yang amal soleh padanya lebih dikasihi Allah selain daripada hari-hari sepuluh ini (sepuluh hari pertama Dzulhijjah)." Para sahabat bertanya: Walaupun berjihad di jalan Allah? Rasulullah saw bersabda: "Walaupun berjihad di jalan Allah, kecuali lelaki yang keluar berjihad membawa diri serta hartanya dan tidak kembali lagi selepas itu (syahid)." (Riwayat Ahmad dan Tirmidzi)

Kelebihan sepuluh hari awal bulan Dzulhijjah ini telah ditulis di dalam rislah asal yang bertajuk Fadl Ayyam 'Asyr Dzulhijjah.

Kelebihan sepuluh hari awal Dzulhijjah

الحمد لله رب العالمين, والصلاة والسلام على سيد المرسلين ..... وبعد:

Di antara kelebihan dan kurniaan Allah untuk hamba-Nya ialah dijadikan bagi mereka beberapa musim untuk memperbanyakkan amal ibadat dengan dijanjikan pahala yang berganda banyaknya. Salah satunya ialah:

Sepuluh hari yang terawal pada bulan Zul-Hijjah.

Beberapa dalil dari Al-Quran dan Hadis telah menyebut tentang kelebihannya:

Firman Allah I:

وَالْفَجْرِ وَلَيَالٍ عَشْرٍ (سورة الفجر: 1-2

"Dan demi waktu fajar, dan malam yang sepuluh itu." (Al-Fajr:1-2)

Yang dimaksudkan di sini ialah sepuluh malam yang pertama pada bulan Zul-Hijjah. Demikian juga tafsiran Ibnu Abbas, Ibnu Az-Zubair, Mujahid dan lainnya. (Di riwayatkan oleh Imam Bukhari).

2. Dari Ibnu Abbas r.a, Rasulullah saw telah bersabda:

( ما من أيام, العمل الصالح فيهن أحب إلى الله من هذه الأيام العشر). قالوا: ولا الجهاد في سبيل الله؟ قال : (ولا الجهاد في سبيل الله إلا رجل خرج بنفسه وماله فلم يرجع من ذلك بشيء ).

[رواه البخاري 969، وأحمد 1968، والترمذي 757، واللفظ له].

Maksudnya: “Tidak ada hari yang amal soleh padanya lebih dikasihi Allah selain dari hari-hari yang sepuluh ini.” Para sahabat bertanya: Walaupun berjihad di jalan Allah? Rasulullah bersabda: “Walaupun berjihad di jalan Allah, kecuali lelaki yang keluar (berjihad) membawa diri serta hartanya dan tidak kembali lagi selepas itu (syahid).”(H.R: Al-Bukhari, Ahmad, At-Tirmizi).

3. Firman Allah I:

}وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فِي أَيَّامٍ مَّعْلُومَاتٍ{ [سورة الحج: 28]

Maksudnya: "Hendaklah kamu menyebut nama Allah pada hari-hari yang ditentukan." (Al-Haj:28)

Kata Ibnu Abbas : Maksudnya ialah hari-hari yang sepuluh itu.

4. Dari Ibnu Umar r.a, Rasulullah saw bersabda:

(ما من أيام أعظم عند الله، ولا أحب إليه العمل فيهن من هذه الأيام العشر، فأكثروا فيهن من التهليل والتكبير والتحميد)

[رواه أحمد 5446-صحيح]

Maksudnya: “Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah dari hari-hari yang sepuluh ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid.”

5. Adalah Said bin Jubir (perawi yang meriwayatkan Hadis Ibnu Abbas di atas) apabila tiba hari yang tersebut beliau beribadah bersungguh-sungguh sedaya-upayanya. (Riwayat Ad-Darimi- Hasan).

6. Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar: Yang jelasnya, di antara sebab keistimewaan sepuluh hari Zul-Hijjah ini ialah kerana terhimpun di dalamnya beberapa ibadat yang besar iaitu: solat, puasa, sedekah dan Haji. Pada waktu lain, ibadat-ibadat ini tidak pernah terhimpun sebegitu.


AMALAN-AMALAN YANG BAIK DILAKUKAN PADA HARI-HARI TERSEBUT:

1. SOLAT

Disunatkan keluar cepat menuju ke tempat solat fardhu (berjemaah) dan memperbanyakkan solat sunat kerana ianya sebaik-baik amalan.

Thauban berkata: Aku mendengar Rasulullah saw bersabda (maksudnya): “Hendaklah kamu memperbanyakkan sujud kepada Allah, kerana setiap kali kamu sujud kepada-Nya, Allah akan angkatkan darjatmu kepada-Nya dan dihapuskan kesalahanmu.” (H.R Muslim.)
Ini umum untuk semua waktu.

2. PUASA

Dari Hunaidah bin Khalid, dari isterinya, dari setengah isteri-isteri Rasulullah saw berkata: "Rasulullah saw berpuasa pada hari sembilan Zul-Hijjah, pada hari Asyura (10 Muharram) dan tiga hari pada setiap bulan." (H.R Imam Ahmad, Abu Daud dan Nasa’ei).

Kata Imam An-Nawawi: Berpuasa pada hari-hari sepuluh adalah sunat yang sangat digalakkan.

Di dalam hadith yang lain pula Raslullah saw bersabda: "...Sesiapa yang berpuasa pada salah satu daripada hari-hari tersebut (10 hari pertama Dzulhijjah) adalah seumpama berpuasa sepanjang tahun, beribadaha pada salah satu daripada malam-malam tersebut adalah seumpama beribadah di malam Lailatulqadr." (Riwayat At-Tirmidzi)

Berdasarkan hadith ini, malam-malam di 10 hari pertama Dzulhijjah adalah masa terbaik bagi umat Islam untuk kembali bermujahadah melaksanakan Qiamullail bagi meraikan tawaran kedua dari Allah selepas berlalunya Ramadhan. Selain itu, amat digalakkan untuk berpuasa terus bermula dari 1 Dzulhijjah hingga 9 Dzulhijjah, namun bagi yang tidak mampu adalah lebih afdhal untuk berpuasa pada 9 Dzulhijjah yang dianggap sebagai hari kemuncak kerana fadhilatnya yang lebih besar.


3. TAKBIR, TAHLIL dan TAHMID

Ini kerana hadis Ibnu Umar yang di atas mengatakan: “Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil (mengucapkan La-ilaha-illaLlah), bertakbir (mengucapkan Allahu-Akbar) dan bertahmid (mengucapkan Alhamdulillah).”

Kata Imam Bukhari: "Ibnu Umar dan Abu Hurairah r.a menuju ke pasar pada hari-hari sepuluh dan bertakbir. Orang ramai yang mendengarnya kemudian turut bertakbir sama."

Katanya lagi: "Ibnu Umar sewaktu berada di dalam khemahnya di Mina bertakbir, apabila orang ramai yang berada di masjid dan pasar mendengarnya, mereka turut bertakbir sama sehingga Mina riuh dengan suara takbir."

Ibnu Umar r.a bertakbir di Mina pada hari-hari tersebut selepas mengerjakan solat, pada waktu rehat, di dalam majlis dan di semua tempat. Maka sunat mengangkat suara sewaktu bertakbir berdasarkan perbuatan Sayyidina Umar, anaknya dan Abu Hurairah r.a.

Antara lafaz-lafaz takbir yang diriwayatkan oleh para sahabat dan tabiin:

الله أَكْبَر. الله أكْبَر. الله أكْبَر كَبِيْراً.

الله أكْبَر. الله أكْبَر. لا إِلهَ إِلا الله وَالله أكْبَر.

الله أكْبَر. وَلِلّهِ الْحَمْد.

الله أكْبَر. الله أكْبَر. الله أكْبَر. لا إِلهَ إلا الله وَالله أكْبَر.

الله أكْبَر. الله أكْبَر . وَلله الْحَمْد.

4. PUASA PADA HARI ARAFAH

Hendaklah berpuasa bagi sesiapa yang mampu pada hari Arafah (9 Zul-Hijjah) kerana amalan ini telah sabit dari Rasulullah r. Baginda telah bersabda mengenai kelebihannya.

(أحتسب على الله أن يكفر السنة التي قبله والسنة التي بعده)

[رواه مسلم]

Maksudnya: “Aku mengharapkan Allah menghapuskan kesalahan setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.” (H.R Muslim).

Antara hadith lain, Habsah pernah berkata bahawa Nabi Muhammad s.a.w tidak pernah meninggalkan pusa 9 Dzulhijjah, bahkan baginda pernah menyebut: "Tidak ada hari yang paling mulia yang dituntut umatku berpuasa melainkan puasa bulan Ramadhan dan puasa pada 9 Dzulhijjah."

Jumhur ulama mengatakan bahawa adalah mustahab berpuasa bagi mereka yang bukan jemaah Haji dan tidak digalakkan bagi mereka yang sedang menunaikan haji berdasarkan kepada hadith dari Umm Fadhil (isteri al-Abbas):

أنهم شكوا في صوم النبي صلى الله عليه وسلم يوم عرفة، فأرسلت إليه بلبن، فشرب، وهو يخطب الناس بعرفة

Maksudnya; "Bahawa mereka ragu akan puasa Nabi saw pada hari Arafah, maka dikirim kepada baginda susu lalu (baginda) meminumnya, dan beliau sedang berkhutbah di Arafah" - (Hadith riwayat Muttafaqun 'alaih)

Ia menunjukkan tidak disukai (tidak digalakkan) berpuasa bagi mereka yang berwuquf disaat yang agung ini, dan hikmah tidak berpuasa kerana kemungkinan akan melemahkan mereka dari melakukan zikir dan do'a, dan melakukan amalan-amalan haji.

5. KELEBIHAN HARI RAYA KORBAN (YAUM AN-NAHR), 10 ZUL-HIJJAH.

Kebanyakan orang Islam telah lupa akan kelebihan hari ini. Kebesaran dan kelebihan perhimpunan umat Islam yang begitu ramai dari seluruh pelusuk dunia. Sesetengah ulama’ berpendapat hari ini ialah hari yang paling afdhal didalam setahun sehingga melebihi hari Arafah. Kata Ibnu Al-Qayyim: "Sebaik-baik hari di sisi Allah ialah hari Nahr, iaitu hari Haji yang besar (Hajj Al-Akbar)" seperti yang tersebut di dalam Sunan Abi Daud [No.1765],

Antara hadith Rasulullah saw yang bermaksud: “Sesungguhnya hari yang paling besar di sisi Allah ialah hari Nahr, kemudian hari Qar”. (Hari Qar ialah hari yang para jamaah haji mabit (bermalam) di Mina iaitu hari kesebelas Zul-Hijjah).

Setengah ulama' lain pula berpendapat hari Arafah lebih afdhal kerana berpuasa pada hari itu mengampunkan dua tahun kesalahan, tidak ada hari lain yang Allah merdekakan hamba-Nya lebih ramai dari hari Arafah dan pada hari itu juga Allah I turun menghampiri hamba-Nya dan berbangga kepada malaikat dengan hamba-Nya yang berwukuf pada hari tersebut.

Yang lebih tepatnya ialah pendapat yang pertama (Hari Nahr), kerana hadith telah jelas menyebutkan kelebihannya dan tidak ada yang menyalahinya.

Samada hari Nahr atau hari Arafah yang lebih utama, hendaklah setiap muslim, yang bermukim atau yang mengerjakan haji mengambil peluang ini dengan sepenuhnya untuk mendapatkan kelebihan beribadat pada keduanya.

6. SEDEKAH

Amatlah digalakkan bagi umat Islam untuk menggandakan amalan bersedekah lebih daripada biasa berdasarkan fadhilat 10 awal Dzulhijjah secara umum, di mana setiap amalan kebajikan akan digandakan ganjarannya.

CARA MENYAMBUT MUSIM KEBAJIKAN:

1. Setiap muslim hendaklah menyambut kedatangan musim kebajikan umumnya dengan bertaubat yang sebenar-benarnya, meninggalkan segala dosa dan maksiat kerana dosalah yang menyekat manusia dari kebaikan dan menjauhkannya dari Tuhannya.

2. Menanam semangat dan azam yang kuat untuk mendapatkan keredhaan Allah swt.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, nescaya Kami tunjukkan kepada mereka jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar bersama mereka yang berbuat baik." (Al-Ankabut: 69).

Terdapat juga riwayat-riwayat yang lain menceritakan tentang kelebihan 10 hari awal Dzulhijjah antaranya:-

Nabi SAW bersadba:

“Tidak ada amalan yang lebih suci di sisi Allah dan tidak ada yang lebih besar pahalanya daripada kebaikan yang dia kerjakan pada sepuluh hari al-Adha (Dzul Hijjah). (Hadith riwayat Darimi 1/358 dengan sanad yang hasan, sebagaimana dijelaskan dalam al-irwa’ 3/398 oleh al-Albani).

Ibnu Rajab mengatakan, “Hadits ini menunjukkan bahwa beramal pada sepuluh hari bulan Dzul Hijjah lebih dicintai di sisi Allah daripada beramal pada hari-hari yang lain tanpa pengecualian. Apabila beramal pada hari-hari itu lebih dicintai Allah maka hal itu lebih utama di sisiNya”. (Lathaiful Ma’arif 458)

Abu Utsman al-Hindi (Lihat biografinya dalam Tahdzibut Tahdzib 6/249 oleh Ibnu Hajar) berkata: “Para salaf mengagungkan tiga waktu dari sepuluh hari yang utama. Sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadhan, sepuluh hari pertama pada bulan Dzul Hijjah, dan sepuluh hari pertama bulan Muharram”. (Lathaiful Maarif 39).

Bahkan Said bin Jubair apabila telah masuk sepuluh hari pertama bulan Dzul Hijjah beliau sangat bersungguh-sungguh dalam beramal, sampai tidak ada yang dapat menandinginya. (al-Irwa 3/398).

Sebahagian dari artikel ini telah diambil dan diolah dari risalah asal bertajuk Fadl Ayyam Asyr Zul-Hijjah, terbitan Dar Al-Watan, Riyadh dan telah disemak oleh: Sheikh Abdullah bin Abdur Rahman Al-Jibrin. Dialih bahasa oleh: Abu Anas Madani (Dr Abdul Basit Abd Rahman)