Photobucket

KEBANGKITAN generasi baru Islam dinanti...

Tuesday, August 17, 2010

Saat ia tiba...

Usai menikmati juadah kiriman Ilahi buatnya...Hatinya terasa sayu... Malam pertama Ramadhan menjengah kembali. Bayunya lembut mengusap wajah... wajah yang tidak mampu ditafsirkan oleh sesiapa pun akan sesuatu yang tersirat disebaliknya. Haruman bayunya berbeza dari hari-hari sebelumnya, tiupannya juga berbeza. Membawa ingatannya jauh tenggelam, tenggelam kembali.... menjengah saat malam 1 Ramadhan yang dilaluinya tahun lalu. Lantas hatinya berbisik..."Terima kasih ya Allah, kerana Engkau masih memberiku kesempatan untuk menemui malam pertama Ramadhan. Namun usia ku semakin singkat, dan aku... aku semakin hampir untuk kembali ke pangkuanmu..." Bergenang titisan jernih itu di kelopak matanya...dan dia...masih seperti dulu... tidak akan sesekali membiarkan sesiapa pun melihat mutiara jernih itu gugur. Baginya rintihan hatinya adalah menjadi kerahsiaan saat dia berkhalwah dengan Rabbnya...

Ingatannya terus tenggelam... bermuhasabah mengingati dan mengimbau kembali Ramadhan yang lalu. Itu lah Ramadhan yang dirasakan paling berbeza buat dirinya. 2 minggu sebelum tibanya bulan yang penuh rahmat itu, hatinya sentiasa berdebar. Menanti sesuatu yang tdak pasti. Malamnya tidak lena dan segala keresahan di hatinya sedayanya ditenangkan di hamparan tahajud. Setiap malamnya tidak sesekali ia biarkan berlalu pergi begitu sahaja melainkan dengan tangisan penuh kesyahduan di hadapan Rabbnya. Rintihannya cuma satu, "berilah aku kesempatan untuk bertemu Ramadhan Ya Allah, kerana aku semakin merasakan saat untuk aku kembali kepadaMu kian menghampiri. Panjangkan lah usia ku agar aku masih punya kesempatan untuk bernafas meraikan ketibaan bulan rahmatMu.." Demikian lah rintihannya yang diulang-ulang pada setiap malam, yang ditemani dengan esak tangisan ketika setiap insan sedang hanyut dalam lena mereka. Esak tangisnya bagaikan anak kecil yang ditingalkan keseorangan di dalam hutan yang gelap tanpa ada sesiapa menemani. Itulah dia... insan yang menjadikan tangisannya sebagai santapan utama saat dua pertiga malam menjelma. Sesekali esakannya tidak dapat diseka, dan sudah pasti ia akan dapat didengar andai ada insan yang masih terjaga.

Malam pertama 1 Ramadhan di sambutnya penuh kesyukuran. Hatinya cukup sayu, kerana masih diberi kesempatan untuk menyambut Ramadhan. Malam itu, tangisannya semakin kuat, bukan kerana sedih tetapi kerana terlalu bersyukur. Seawal dia mengangkat takbir pertama tahajudnya hinggalah salam yang terakhir solatnya, mutiara jernih itu gugur ke pipinya, laju... bagaikan tidak tahu bila akan hentinya... membasahi hamparan sujud dan telekung yang dipakainya. 2 rakaat solat sunat taubat, 2 rakaat tahajud dan 2 rakaat solat istikharah. Itulah hadiah yang sentiasa dipersembahkan buat Rabbnya saat dua pertiga malam menjelma. Usai setiap solat sunat itu, pasti ada rintihan khusus yang akan diluahkannya. Begitulah dia... segala rintihan, tangisan dan kegelisahan di hatinya hanya lah menjadi rahsia antara dia dan PenciptaNya. Sesekali tiada satu pun lafaz yang terkeluar dari mulutnya melainkan hanya tangisan yang terzahir kerana dia tahu Allah itu Maha Mengetahui... maka terlafazlah dari lisannya ayat 29 dari surah Ali-'Imran yang bermaksud

"Katakanlah, jika kamu sembunyikan apa yang ada dalam hatimu atau kamu nyatakan, Allah pasti mengetahuinya. Dia mengetahui apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Dan Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu."

"Engkau Maha Mengetahui Ya Allah, sekali pun tiada kata yang dapat aku zahirkan. Aku serahkan segala urusanku kepadaMu kerana Engkau lebih mengetahui apa yang terbaik untuk diriku."

Begitulah setiap malamnya. Tidak pernah dibiarkan satu pun dari malam Ramadhan nya yang lalu dibiarkan berlalu begitu sahaja. Bagaikan insan yang sedang mabuk bercinta. Setiap hari dinanti saat untuk bertemu dengan kekasihnya. Dan begitulah dia... setiap hari menanti tibanya waktu untuk bertemu dengan Rabbnya. Munajatnya semakin panjang ketika melewati malam-malam terakhir Ramadhan. Sehinggalah tibanya malam 1 Syawal. Berbeza buat dirinya... Di waktu insan lain sedang bergembira dan sibuk membuat persiapan menyambut Syawal, dia menahan kesayuan mendengar takbir raya yang berkemundang. Banyak kiriman ringkas yang diterima. Namun hanya satu yang menyentuh jiwanya. Kiriman ringkas dari seorang kakak yang pernah menjadi naqibahnya suatu ketika dahulu. "Selamat kembali ke fitrah. Moga kalam la'alakum tattaqun terus subur dalam diri. Jaga diri. wslm."

Kiriman itu masih dia simpan sehingga hari ini sebagai muhasabah untuk dirinya. Menangislah ia saat membaca kiriman tersebut. Lantas hatinya berkata, "Ya, mulai malam ini aku telah kembali kepada fitrahku yang asal. Perlu berhadapan dengan godaan syaitan yang tidak pernah berputus asa untuk memesongkan hati anak-anak Adam dan juga nafsuku yang akan kembali memuncak setelah sebulan dilemahkan. Ya Allah moga tarbiyah sebulan yang telah Kau aturkan untukku kali ini cukup buatku untuk mengukuhkan benteng keimanan di hatiku bagi menghadap ujianMu yang mendatang."

Malam itu, dia bangun seperti biasa pada waktu yang telah dijanjikan. Ketika dia sedang bersiap untuk bertemu Rabbnya dia mendengar ibunya juga bangun untuk menghidupkan suasana malam itu. Sememangnya dia telah merancang lebih awal bersama ibunya untuk bangun bermunajat pada malam itu, menuaikan solat sunat tasbih 2 rakaat sebagai tanda penutup Ramadhan dan menyambut tibanya Syawal. Masing-masing tenggelam dalam munajat sendiri. Solat yang memakan masa lebih dari setengah jam, setiap pergerakan dan tasbih yang dilafazkan hanya diiringi dengan titisan jernih yang tidak putus. Dan rintihan itu kembali kedengaran, "Sungguh aku tidak mengetahui apa mungkin ini adalah Ramadhan yang terakhir buatku. Dan aku juga tidak mengetahui apakah aku masih punya kesempatan untk menemuinya lagi. Tapi aku mohon agar Engkau masih memberi aku kesempatan untuk bertemunya lagi Ya Allah. Tenggelamkan lah aku dalam kerinduan itu, seperti mana Engkau sedang memberikannya pada aku sekarang.."

Setahun telah berlalu, dan Ramadhan kembali tiba. Hatinya merintih lagi, "Sungguh Engkau telah mempersiapkan aku dulu. Dan sungguh ujian Mu semakin berat untukku. Apa mungkin aku masih mampu menjadikan ia sebaik yang lalu agar aku semakin kuat untuk melalui dugaan yang semakin memberat yang telah Kau siapkan dihadapanku. Ya Allah, andai perjalananku sudah hampir tiba ke penghujungnya, aku mohon agar Kau peliharakan iman ku, agar aku dapat kembali ke pangkuanMu dalam keadaan yang beriman dan mendapat tempat di sisiMu. Namun, jika perjalananku ini masih panjang, aku minta agar Engkau tidak meningggalkan aku... Kau pimpinlah tanganku ini sehingga akhir hanyatku agar aku tidak terpesong dari jalanMu."

Itulah dia...hanya insan biasa yang sangat lemah. Ada ketikanya imannya cukup tinggi dan menebal...dan ada ketikanya imannya cukup rendah dan tipis. Namun saat dia menyedari akan kealpaannya, dia akan kembali ke hamparan sujudnya. Memohon keampunan dan kekuatan dari Tuhan yang Maha Mendengar, Maha Mengetahui, Maha Pengasih dan Penyayang serta Maha memilki segala kekuatan.

Telahku nukilkan kalam yang terindah saat ku merintih di hadapan Rabbku...dan Dia membalasnya dengan membisikkan kalam-kalamNya yang jauh lebih indah... agar jiwaku kembali tenang dan tahu bahawa Dia tidak pernah meninggalkan aku...

Ramadhan yang sama, natijah yang berbeza