Photobucket

KEBANGKITAN generasi baru Islam dinanti...

Thursday, May 13, 2010

Saat Berpisah


Sebaik-baik penasihat ialah kematian. Namun, mana mungkin orang yang pernah mati datang kepada kita untuk menasihatkan? Mengingatkan mati, menakutkan. Manusia akan takut pada apa yang tidak diketahuinya.

Semuanya masih misteri. Hanya tinggal Al Quran dan Al Hadis untuk kita rujuk bagi mengetahui tentang kematian. Namun berapa kerat antara kita yang berbuat demikian… Cerita tentang kematian akan mematikan rasa kemanisan menikmati hidup ini. Dan akibatnya, mati terus mati dalam hidup kita!

Jika seseorang mengingati mati, akan mudah hatinya dilentur kepada makrufat dan makrifat. Jika mengingati kematian jiwa akan jeran dan bosan dengan maksiat dan sayyiat (perkara yang buruk). Jika mati itu hidup di dalam hati kita…kita akan mudah memberi dan meminta maaf. Kita akan mudah bersabar dan bertenang dengan karenah insan. Nikmat dosa akan sirna dengan mengingati mati. Azab taat akan kecil bila teringat saat kembali.

Ketika hatimu jemu dengan ketaatan, mula tergiur dengan kemaksiatan… kenang-kenangkanlah SAAT BERPISAH

Saat perpisahan itu pasti tiba. Dan tidak ada masa yang sesuai untuk saat itu. Kita datang tidak diminta, kita pulang tidak diduga. Bila sanggup hidup, mesti sanggup mati. Bila sanggup datang, mesti sanggup pulang. Kita hanya menghabisi bilah-bilah hari yang telah ditentukan. Tujuan ke sini untuk diuji… tiba masanya pasti kembali!

Mengapa terlalu enggan untuk berpisah? Nikmat sangatkah dunia ini? Padahal senang dan susah bertukar ganti, suka dan duka datang dan pergi. Tidak ada yang kekal lama, semuanya bersifat sementara. Jika mati tidak memisahkan, kesenangan ini pun akan pergi jua. Kata mereka yang arif tentang kehidupan:


“Manusia lahir bersama tangisan, dicelahi kehidupannya oleh tangisan dan akan dihantar ke pusara oleh tangisan.”

Pernahkah ada kesenangan yang abadi dan hakiki? Tidak ada. Justeru, hiduplah berpada-pada. Hiduplah bagai musafir lalu yang singgah bagaikan dagang di rantau orang. Hatinya tetap merindui kampung halaman. Hiduplah bagai orang yang sedang menyeberangi satu jambatan. Tidak sudi berlama-lama kerana di situ hanya sementara. Kakinya melangkah kencang justeru jiwanya sudah di seberang.

Hidup mesti sederhana kerana dunia ini sementara. Sederhana itu bukan pada ringgit dan harta tetapi pada jiwa dan rasa. Jangan terlalu gembira, jangan terlalu berdukacita.

Tidak ada kesenangan yang tidak diiringi kesukaran dan tidak ada kesukaran yang tidak diiringi kesenangan. Selepas ketawa, pasti menyusul air mata. Selepas nestapa pasti kegembiraan menjelma. Allah memberikan kita terang… untuk bersyukur. Allah berikan kita gelap… untuk bersabar.

Jadilah insan lara yang temannya mujahadah dan taubat. Sentiasalah berusaha menjadi insan yang baik walaupun masih digamit oleh ghairah kejahatan dan dosa. Jatuh, bangun kembali. Jatuh, bangun lagi.

Ukirlah seribu taubat walaupun telah berkali-kali ia dimungkiri. Allah tidak akan jemu dengan taubat hamba-Nya selagi kita tidak putus asa kepada-Nya. Tempuhi jalan mujahadah sekalipun langkahmu pernah goyah. Jangan mengalah. Kau tidak akan kalah selagi tidak mengalah.

Luruskan jalan menuju Tuhan dengan tulusnya hati sesama insan. Elakkan hasad, jauhi mengumpat. Jika tidak mampu menambah, jangan mengurang. Jika tidak mampu menjulang, jangan menghalang. Ingat selalu kata hukama:


“Jika tidak mampu menjadi garam yang memasinkan ikan, jangan jadi lalat yang membusukkannya.”

Jika tidak dapat mengucapkan perkataan yang baik, banyakkan diam. Jika memberi nasihat dirasakan terlalu berat, cukuplah dengan menghulurkan doa dan munajat. Setiap kita mempunyai kelebihan. Kata orang, Tuhan tidak mencipta manusia bodoh… Tuhan mencipta manusia dengan kebijaksanaan berbeza.


Justeru, carilah apakah “kebijaksanaan” itu kerana itulah saluran kita untuk berbakti. Ketika rasa takut singgah oleh kebimbangan dijemput maut… katalah pada diri, bila berdepan dengannya kita akan lupa segala-galanya. Kesayangan yang kita takutkan kehilangannya, kecintaan yang kita bimbangkan perpisahan dengannya, akan menjadi sedebu bila berdepan dengan detik itu.

Kita akan terlupa akan jalan yang telah jauh kita tinggalkan di belakang kerana memandangkan jalan yang lebih jauh merentang di hadapan. Nikmat dunia akan kita lupakan sebaik sahaja melihat azab di akhirat. Dan azab di dunia akan kita lupakan setelah melihat nikmat di akhirat.

Sesungguhnya mati itu bukan satu pengakhiran tetapi ia satu permulaan kepada satu kehidupan yang lebih sejati dan hakiki. Mati itu hanya proses perpindahan – dari alam dunia ke alam barzakh. Sama seperti kelahiran – proses berpindah dari alam rahim ke alam dunia.

Ya, kalau sanggup datang. Mesti sanggup pulang. Hati sewajarnya sentiasa merasa bertemu tak jemu, berpisah tak gelisah. Bukankah kita bertemu untuk berpisah? Dan berpisah untuk bertemu? Semoga kembara kita di dunia akan tiba bersama di hujung destinasinya… syurga!

Pada kita, cuma pasrah…

PASRAH Tuhan,
Pada Mu aku pasrah
akur, alah dan menyerah
Seluruhnya sudah pudar
cintaku kian tercalar

Tuhan,
Senjaku semakin dekat
Di sumur dosa aku melarat
di hujung umur kupasti kembali
sedang hatiku tak suci lagi

Tuhan,
Langkahku entahkan mati
mendaki kasihMu nan tinggi
namun cintaku bukan palsu
walaupun sering terganggu

Tuhan,
kekadang terasa sayang-Mu
bersama kurnia hidayah
kekadang terasa murka-Mu
seiring patahnya mujahadah

Tuhan,
terlerai ribuan taubatku
terungkai semua janjiku
kataku sering mungkir
CintaMu sering terpinggir

Tuhan,
Aku masih setia
mengemis di jendela usia
terus mencari wajah diri
menadah keampunan Ilahi!

Sumber: genta-rasa.com

Tuesday, May 11, 2010

Kita Diuji dengan Pilihan


Apa yang membezakan manusia dan malaikat adalah pada kemampuan manusia membuat pilihan. Keupayaannya untuk memilih kebaikan dan dalam masa yang sama menolak kejahatan, menjadikan manusia itu sentiasa berusaha menjadi lebih baik, dan memindahkan kebaikan itu kepada kehidupan di sekitarnya.

Semasa memilih kebaikan, dia mendapat kebaikan.

Semasa terpilih kejahatan, usahanya untuk kembali kepada kebaikan menjadikannya kembali baik malah bertambah baik.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:


Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan Yang sesuai Dengan keadaannya). Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa; Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya bersih (dengan iman dan amal kebajikan), dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat) [Al-Shams 91: 7-10]


Setiap hari kita membuat keputusan. Semasa mendengar azan subuh, kita membuat pilihan pertama sama ada mahu bangun atau tidur kembali. Memilih baju, memilih kasut, memilih sarapan, dan memilih jalan. Pilihan-pilihan itulah tempat Allah menilai kita. Pilihan yang baik mengundang kebaikan. Pilihan yang jahat mengundang sesal lagi mudarat.

Bagaimanakah pilihan-pilihan kita setakat ini?

Pilihan semasa hidup susah.

Pilihan semasa hidup senang.

Semasa susah kita tiada banyak pilihan.

Semasa senang, kita diuji dengan banyaknya pilihan. Antara Halal dan Haram, antara Kufur dan Iman.

Merujuk kepada kisah Nabi Allah Yusuf alayhi al-Salaam, baginda berada di dalam ujian yang berat semasa terkurung dalam buangan di lubang telaga akibat konspirasi adik beradiknya. Bayangkan, seorang budak, terpisah daripada ibu bapanya, terbuang ke telaga buta, siang dan malam dalam kegelapan dan sendirian, apakah ada yang lebih teruk untuk dialami oleh seorang budak seperti Yusuf?

Tetapi semasa di dalam telaga, Yusuf tiada banyak pilihan. Bersabar adalah satu-satunya cara untuk baginda bertahan. Baginda terpaksa bertahan. Terpaksa bersabar. Itu sahaja pilihan yang ada.

Akan tetapi, ujian yang menjadikan Yusuf seorang insan pilihan Allah yang begitu hebat adalah semasa baginda di istana Mesir.

Di dalam telaga, Yusuf diuji.

Di dalam istana, Yusuf masih juga diuji.

Hidup adalah ujian.

Firman Allah:

“Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya; dan perempuan itu pun menutup pintu-pintu serta berkata: “Marilah ke mari, aku bersedia untukmu”. Yusuf menjawab: “aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu); Sesungguhnya Tuhanku telah memuliharaku dengan sebaik-baiknya; sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya” [Yusuf 12: 23]

Benar!

Itulah saat paling genting buat Yusuf.

Diuji dengan pilihan.

Wanita bangsawan yang selama ini menjadi ibu angkatnya, menyerahkan diri untuk dijamah dengan zina. Sedangkan Yusuf ada banyak peluang. Beliau adalah anak asing di bumi Mesir. Tiada ibu bapa, tiada adik beradik dan saudara mara, tiada muka yang bakal diconteng arang!

Saat itu, Yusuf diuji, menerima zina yang enak untuk sebuah kecenderungan nafsu, atau menolaknya dengan kuasa Iman.

“Datanglah kepadaku” kata wanita yang digelar Zulaikha itu.

“Aku berlindung dengan Allah!” itulah jawapan Yusuf.

Engkau selama ini adalah ibu angkatku, engkau memberiku bumbung untuk berteduh, engkau memberiku lantai tempat bersantai, engkau memberiku makan dan minum, engkau tuanku tetapi ALLAH adalah TUHANKU!

Sesungguhnya Dia telah melindungiku selama ini, dan tidak akan berjaya orang-orang yang zalim!

Itulah penegasan Yusuf. Baginda berjaya dalam ujian pilihannya. Memilih untuk menolak zina, semata-mata kerana IMAN.

Ramai di kalangan kita yang bertahan dalam ujian kesusahan.

Tetapi bagaimana dengan ujian kesenangan?

Hari ini, anak-anak muda di Universiti boleh mendapat wang secara mudah melalui pilihan zina. Menyerah diri menjadi pelayan seks kepada manusia-manusia keji yang berwang, membolehkan mereka mengatasi masalah kekurangan wang pinjaman, memakai telefon bimbit mewah, menukar motorsikal kepada kereta dan memakai pakaian berjenama, hanya dengan berkata YA kepada peluang yang terbentang di depan mata. Buat kerja paling sedap, dapat hasil paling mantap!


Daripada Ibn Masoud radhiyallahu ‘anhu beliau berkata: Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda: Sesungguhnya di antara perkara yang diketahui oleh sekalian manusia daripada kalam nukilan Kenabian ialah: Jika kamu sudah tiada rasa malu, maka buat sahajalah apa yang kamu suka! [Hadith riwayat al-Bukhari]


Malu yang datang dari Iman.

Namun, apakah caranya untuk anak-anak muda kita memiliki keyakinan seperti Yusuf? Keyakinan

bahawa Allah tidak akan sekali-kali memberi kejayaan hidup kepada manusia yang zalim. Keyakinan untuk berkata TIDAK kepada ZINA!

Jauh dari keluarga, seperti jauhnya Yusuf dari bumi Palestin, bagaimanakah anak perantau di Menara Gading boleh menolak zina yang pada hari ini, zina itu lebih mudah berbanding jalan yang halal?

Tiadalah jawapan lain, kecuali kembali kepada IMAN.

Iman yang membimbing kita membuat pilihan dalam kehidupan.

Sesungguhnya itulah hikmah mengapa kita diberi peringatan tentang TAQWA, saban minggu di Mimbar Jumaat.

TAQWA seperti yang dijelaskan dalam perbualan Ubai bin Kaab bersama Umar al-Khattab radhiyallahu ‘anhuma.

Lalu Ubai menjawab dengan menyoal: Apakah engkau pernah menempuh jalan yang banyak duri? Umar menjawab: Sudah tentu. Lalu Ubai bertanya lagi: Justeru apakah yang engkau lakukan? Umar membalas: Aku akan melangkah dengan teliti dan berhati-hati. Kata Ubai: Maka demikian itulah maksud TAQWA.


Sesungguhnya hidup kita ini adalah sebuah perjalanan. Di kiri dan kanannya ada banyak duri, banyak cabaran. Ada duri yang mengundang luka, yang berkehendakkan kita supaya berada di tahap sedar yang tinggi, serta sentiasa mampu mengawal diri.

Sedarlah!

Kawallah!

Hidup ini menuntut kita membuat pilihan.

Pilihlah jalan yang memberi bahagia Dunia dan Akhirat.

Jauhilah pilihan yang buta, mencari sedap yang seketika, tetapi derita selama-lamanya.

Jangan banyak memberi alasan.

Semakin banyak memberi alasan, semakin hilanglah daripada hidupmu, rahmat dan bantuan Tuhan.

sumber : saifulislam.com