KEBANGKITAN generasi baru Islam dinanti...

Saturday, January 3, 2009

Demi perjuangan, Rashid Ganushi tinggalkan Tunisia

Susunan Ustaz Zainudin Hashim



Beliau mendapat pendidikan awal di kampung halamannya sebelum meneruskan pengajian peringkat menengah di bandar Qabis, kemudian menyambung di Tunis ibu negara Tunisia di peringkat pengajian tinggi di Universiti Zaitunah.

Kemudian Rashid ke Mesir dan Syria menyambung pelajaran di salah sebuah universiti di situ dalam bidang Falsafah, dari sinilah beliau mula berjinak dengan 'Falsafah Islam' yang membentuk pemikiran manusia kepada agama.

Selanjutnya beliau menyambung pelajaran di Univeristi Sorbonne, Perancis bagi menghalusi perbandingan antara falsafah Islam dan Barat, hingga beliau semakin tertarik untuk memperdalami pemikiran serta falsafah Islam yang mencakup semua keperluan hidup manusia.

Pada akhir 60-an, beliau kembali ke Tunisia untuk bergerak aktif dalam gerakan Islam hingga berjaya menubuhkan Harakah Nahdah Islamiyah dengan menjadikan golongan belia sebagai sasaran dakwahnya hingga menular ke negara jiran seperti Algeria dan Maghribi.

Beliau pernah dipenjara beberapa kali kerana dituduh menyebarkan fahaman yang boleh mengancam keselamatan negara.

Pada 1981 beliau dijatuhkan hukuman penjara 11 tahun, pada 1987 sekali kali dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup, pada 1998 beliau berjaya meloloskan diri hingga ke Eropah.

Beliau banyak menghasilkan bahan-bahan ilmiah berupa rencana dan buku-buku bahan bacaan rujukan seperti 'Toriquna ila al-hadarah', Nahnu wa al-Gharb, Hak al-Ukhtilaf wawajib wehdat as-sof, al-Qadiyyah al-Palestiniyyah fi muftariq at-turuq dan al-Mar'ah baina al-Quran wawaqi' al-Muslimin.

Perjuangan Islam dalam arena politik di Tunisia mengalami hambatan yang amat serius apabila Kementerian Pengadilan dan Undang-undang Tunisia mengeluarkan arahan melarang Harakah Nahdah Islamiyah membentuk sebuah parti politik berdasarkan agama.

Justeru, ramai daripada kalangan para aktivis gerakan Islam yang ada kaitan langsung dengan Ikhwan Muslimun terpaksa meninggalkan negara berikutan tangkapan demi tangkapan bagi mengatur langkah dan strategi khususnya bagi menghadapi kerenah para pemerintah negara yang diketuai Presiden Zein El-Abidin Ali yang kuat berpegang kepada aliran Sekularisme.

Ura-ura laporan media massa Tunisia bahawa pihak berkuasa Tunisia mungkin akan mempertimbangkan bagi membenarkan pembentukan sebuah parti Islam yang layak bertanding dalam pilihan raya umum, terrnyata pandangan yang meleset.

Kementerian Pengadilan dan Undang-undang Tunisia menganggap pembentukan parti berasas Islam itu seolah-olah mengiyakan pemerintah sebagai sebuah pemerintah kafir kerana tidak melaksanakan peraturan dan undang-undang dalam pentadbiran negara.

Menterinya, Albashir Attakari dalam kenyataannya di stesen televisyen Tunisia mengatakan, "Kami menolak mana-mana kelompok atau gerakan yang berhasrat mahu membentuk parti atas dasar agama Islam yang menjadi agama semua rakyat Tunisia. Jika kami menerima parti politik berasas agama, maka sama saja kami mengkafirkan semua rakyat Tunisia."

Beliau yang bercakap dalam nada penuh yakin menegaskan, bahawa parti yang berlandaskan agama termasuk Islam tidak dibenarkan wujud kerana ia sudah menjadi peraturan dan perlembagaan negara yang melarang terbentuknya sebuah parti atas dasar agama yang telah diguna pakai sejak Tunisia mencapai kemerdekaan daripada Perancis pada 20 Mac 1956.

Ini kerana menurutnya rakyat sudah dapat menerima Parti Tajammu� Dusturi Demokratik yang juga parti pemerintah.

Harakah Nahdah Islamiyah pimpinan Rashid Ganushi mengatakan bahawa organisasinya sejak dibentuk pada 1981 berupaya untuk berdamai dengan pihak berkuasa bagi mendapatkan legitimasi dari aspek undang-undang negara.

Keghairahan kononnya pihak berkuasa mahu mempertimbangkan pembentukan sebuah parti Islam, sebenarnya ia hanya gimik politik kotor bagi meredakan keadaan.

Pada masa sama, pihak berkuasa mengeluarkan arahan agar semua para aktivis, pertubuhan, gerakan yang berselindung di bawah nama Islam ditangkap dan disita.

Rashid Ganushi sebagai pimpinan tertinggi Harakah Nahdah Islamiyah, pernah dilarang selama berada di bawah kekuasaan Presiden Zein El-Abidin Bin Ali bagi menyampaikan ceramah, motivasi, khutbah melalui radio Zaituna, yang diambil sempena nama masjid terbesar di Tunisia.

Beliau telah dicop sebagai perintis gerakan Islam oleh pihak berkuasa yang mampu menggugat kerajaan.

Sejak itu, beliau sering diburu siang dan malam bagi mengurangkan pengaruhnya yang dilihat semakin mendapat tempat di hati para pencinta Islam di Tunisia, termasuk golongan wanita, para pelajar sekolah dan universiti yang mampu membela hak mereka sebagai warganegara beragama Islam.

Awal 90-an disifatkan oleh para aktivis Islam seluruh dunia sebagai tahun-tahun malang bagi gerakan Islam, kerana pada tahun-tahun itu juga Barisan Pembebasan Islam (FIS) di Algeria yang hampir menang dalam pilihan raya umum negara itu telah dinafikan hak kemenangan.

Malah pemimpin tertinggi mereka seperti Dr Abbasi Madani dan Ali Benhaj dipenjara, tidak kurang juga anggota Harakah Nahdah Islamiyah Tunisia ditangkap dan dipenjara beberapa tahun kerana dituduh mengancam keselamatan negara.

Tidak ada cara yang boleh menyelamatkan diri, maka Rashid Ganushi yang terselamat daripada tangkapan walaupun diburu, meloloskan dirinya untuk ke Eropah dan hidup di sana hingga sekarang.

No comments: