Photobucket

KEBANGKITAN generasi baru Islam dinanti...

Friday, May 23, 2008

Mahathir Mulakan Plan B


"Saya akan pohon untuk masuk Umno apabila Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah berhenti daripada menjadi Presiden Umno, Pengerusi BN dan Perdana Menteri Malaysia" - Tun Mahathir

"Kita mesti mengelakkan dari terperangkap dengan agenda peribadi untuk menggantikan pemimpin yang
lemah dengan pemimpin yang rasuah"
- Anwar Ibrahim.

Selain daripada menyatakan kegembiraan atas keputusan beliau dan menganggap tindakan itu
mengambarkan kehancuran yang sedang berlaku dalam parti Umno, ada beberapa perkara yang perlu dilihat serta dianalisis terutamanya oleh pembangkang.

Berpuluh tahun berada kancah politik Malaysia dengan 22 tahun daripadanya sebagai Perdana Menteri adakah Mahathir meninggalkan Umno semata-mata kerana emosi beliau yang terlalu kecewa dengan pimpinan Umno sekarang yang disifatkan tidak demokratik, lupa perjuangan, pembodek dan macam-macam lagi itu.

Mahathir memulakan apa yang boleh disebut sebagai peperangannya dengan Abdullah tidak lama selepas jawatan Perdana Menteri itu diserahkan oleh beliau sendiri kepada Abdullah.

Sepanjang tempoh itu, satu-satunya yang boleh dikaitkan dengan kemarahan paling ketara beliau terhadap Abdullah hanyalah pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Sungai Buloh.

Isu jambatan bengkok atau AP dan kemudiannya penguasaan budak-budak tingkat empat hanyalah asam garam terhadap kemarahan tersebut. kecuali ada pihak yang benar-benar yakin terhadap keikhlasan Mahathir di atas kritikan terhadap Abdullah boleh menolak teori ini.

Manakala Anwar, selepas pembebasannya mula menyusun langkah dan mengatur strategis satu demi satu untuk mencapai hasrat yang beliau sendiri uar-uarkan iaitu mahu menukar kepimpinan negara ini atas slogan untuk perubahan.

Walaupun tidak melafazkan beliau sebagai orangnya, namum atas dasar 'understanding' mahupun berdasarkan percakapan umum yang persetujuannya telah diolah dengan cukup teliti, dengan jelas dapat dibaca hanya Anwar lah tokoh yang bakal ditabalkan sebagai Perdana Menteri untuk menggantikan kepimpinan yang ada.

Melihat kepada senario pasca pilihan raya umum ke-11 baru-baru ini, kebarangkalian Anwar akan sampai ke puncak kuasa semakin melebar.
Tidak hairanlah Anwar dalam reaksinya terhadap perkembangan terkini Mahathir, seperti melihat ada agenda besar disebaliknya.

"Kita mesti mengelakkan dari terperangkap dengan agenda peribadi untuk menggantikan pemimpin yang lemah dengan pemimpin yang rasuah" katanya dalam blog beliau.

Berbalik kepada Mahathir, si politikus licik ini sudah menghidu kemungkinan-kemungkinan tersebut sejak awal-awal lagi. Kekhuatiran beliau terhadap Anwar menjadi Perdana Menteri tidak perlu dijelaskan sekiranya memahami krisis yang berlaku pada tahun 1998.

Justeru, dari situlah usaha untuk memastikan Anwar tidak berjaya sampai ke puncak kuasa diusahakan habis-habisan oleh beliau. Tetapi malangnya di bawah kepimpinan Abdullah peluang Anwar terbuka luas. Sama ada Abdullah sendiri mahukan Anwar menjadi Perdana Menteri, itu persoalan yang lain, hakikatnya di bawah Abdullah laluan Anwar lebih mudah.

Langkah paling selamat perlu dilakukan oleh Mahathir hanyalah mengantikan Abdullah secepat mungkin kepada tokoh lain yang mestilah tidak mesra Anwar sifatnya.

Berdasarkan apa yang Mahathir lakukan sepanjang serangannya terhadap Abdullah selama ini dapat dirumuskan hanya bertujuan untuk mengantikan Abdullah secepat yang boleh.

Selepas pilihan raya, usaha itu semakin diperhebatkan, malahan beliau sama ada secara terancang atau kebetulan telah mendapat 'back-up' daripada sebahagian Umno yang lain apabila semakin ramai secara terbuka memberi tekanan atau mewakili suara mendesak berlakunya peralihan kuasa yang diketahui Mahathir adalah orang paling awal mencetusknnya.

Namun sejauh mana kejayaan itu, persoalan inilah perlu dianalisis secara mendalam oleh pihak-pihak yang mempunyai kaitan politik secara langsung atau tidak langsung dengan perkembangan mutakhir politik Mahathir ini.

Atas satu tujuan iaitu untuk memastikan jawatan Presiden Umno sekaligus Perdana Menteri Malaysia diserahkan kepada orang lain dari Umno sebelum dirampas oleh Anwar, boleh jadi Mahathir telah gagal strategi pertamanya kerana Abdullah masih lagi disaat ini Presiden Umno dan Perdana Menteri.

Bagaimanapun boleh jadi strategi Mahathir diperingkat ini berjaya kerana beliau (strategi serangan pertama itu) hanyalah mahukan seperti mana yang berlaku ketika ini iaitu mewujudkan tekanan-tekanan dari Umno terhadap Abdullah supaya melepaskan jawatannya.

Justeru sebab paling besar kenapa beliau meninggalkan Umno hanya berkisar kepada dua kemungkinan tersebut iaitu sama ada memulakan strategi baru selepas kegagalan plan A beliau atau memasuki fasa seterusnya untuk menyempurnakan plan peralihan kuasa daripada Abdullah kepada seorang yang tidak mesra Anwar.

Mana-mana daripada dua sebab di atas, Mahathir kini telah memasuki plan B yang mana atas kapasiti beliau bukan lagi ahli Umno, kemungkinan 'game' selepas ini akan melibatkan parti-parti politik pembangkang dengan lebih efisyen daripada apa yang parti-parti politik pembangkang sumbangkan menjayakan perancangan awal beliau - sama ada secara sedar atau tidak sedar.

Antara yang boleh diramalkan, tindakan Mahathir ini akan menimbulkan suasana panik di kalangan Umno yang secara tidak faham akan membaca partinya sedang menuju kehancuran.

Sudah tentu momentum panik itu kurang berkesan dengan Mahathir seorang sahaja yang keluar parti,dengan strategi yang tersusun tindakan meninggalkan parti ini akan berterusan dari masa ke semasa dengan penyertaan pihak tertentu atas nama pengikut Mahathir.

Dalam masa yang sama, usaha untuk menimbulkan rasa panik ini akan dibantu pula dengan kempen-kempen pembangkang yang akan menggunakan modal Mahathir keluar parti kepada rakyat jelata supaya menjauhi Umno kerana parti itu semakin kacau beliau.

Hasilnya, desakan supaya memulihkan Umno dari kalangan ahlinya akan semakin hebat yang mana caranya telahpun diletakkan ke dalam kepala mereka sejak awal-awal lagi iaitu plan peralihan kuasa.

Sehubungan itu, mentafsir tindakan Mahathir keluar Umno kerana kecewa dengan apa yang berlaku dalam parti itu semata-mata perlu difikirkan banyak kali.

Seorang yang licik seperti Mahathir apa sahaja yang dilakukan tidak dibuat secara membuta tuli bahkan masa paling sesuai untuk beliau tinggalkan Umno ini dipercayai dari kajian mendalam berdasarkan plan strateginya.

Ada beberapa waktu yang boleh dikatakan Mahathir sesuai untuk meniggalkan Umno, tetapi beliau hanya memilih meninggalkan Umno setelah road show nya menemui begitu ramai perwakilan serta pimpinan Umno dalam perlbagai program yang dianjurkan selesai.

Paling ketara beliau telah meniggalkan mesej penting kepada ahli-ahli Umno dalam ucapan terakhirnya sebagai ahli Umno.

"Saya akan pohon untuk masuk Umno apabila Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah berhenti daripada menjadi Presiden Umno, Pengerusi BN dan Perdana Menteri Malaysia"

Oleh: Hafiz Mohd Baqi
sumber: http://siasahdaily.blogspot.com/

No comments: